Uthmaniyah kembali ke Teluk Parsi

Uthmaniyah kembali ke Teluk Parsi

Keputusan Turki meluluskan penghantaran tentera ke Qatar dengan segera baru-baru ini bukan semata-mata berdasarkan perkembangan terkini, tetapi berdasarkan satu pakatan strategik yang telah mula dibina sejak sedekad lalu antara Doha dan Ankara. Tahun 2017 ini cukup 10 tahun perjanjian kerjasama pembangunan pertahanan antara kedua-dua negara dicapai. Perjanjian penting kerjasama pertahanan dicapai antara kedua-dua pada 2007 dan kemudian 2012. Kerjasama pertahanan Turki-Qatar semakin dipertingkatkan sejak itu, dan mencapai kemuncaknya pada 2015 melalui perjanjian melibatkan pangkalan tentera bersama di Qatar.

Perkembangan sejak kebangkitan “Arab spring” mendorong kerjasama ini dikukuhkan lagi. Turki juga berjanji untuk membantu mempertahankan Qatar daripada ancaman luar. Perkembangan ini semua memenuhi sentimen “neo-Uthmaniyah” yang dirasai oleh Turki yang kini beraspirasi untuk meningkatkan kedudukan serantaunya. Qatar menyediakan peluang ini untuk Turki, dan Turki melihat Qatar sangat bernilai sebagai sekutu di dunia Arab yang sekaligus membantu projeksi kuasanya. Bantuan segera yang diberi oleh Turki ini juga hasil kerjasama yang ditingkatkan pada penghujung 2015, apabila hubungan Turki dengan Rusia terjejas ekoran tertembaknya sebuah jet tentera Rusia. Qatar pada masa itu menjadi harapan Turki untuk bekalan gas sekiranya Rusia bertindak memutuskan bekalan.

Turki kini membuktikan nilai persahabatan itu apabila bertindak membantu Qatar, walaupun berdepan risiko hubungan terjejas dengan Arab Saudi, walaupun Ankara sebolehnya tidak mahu hubungan dengan Riyadh merosot. Presiden Recep Tayyip Erdogan pasti sedar kesukaran yang bakal dihadapi sekiranya krisis bertambah buruk. Perkembangan terbaharu ini menunjukkan nilai dan potensi masa depan pakatan strategik Qatar-Turki. Kerjasama yang telah dicapai antara kedua-dua negara menampakkan kemungkinan untuk terus meningkat dan mengukuh, seiring dengan perkembangan terkini serantau.

Apapun kesudahan pemulauan terhadap Qatar, episod ini menjadi bukti kepada kedua-dua Turki dan Qatar tentang kepentingan kerjasama strategik mereka. Persamaan dasar luar kedua-dua negara menuntut mereka terus bekerjasama demi kepentingan itu yang tidak dikongsi oleh kuasa-kuasa serantau lain. Realiti hubungan Turki dengan Eropah dan hubungan Qatar dengan jiran-jiran Arabnya menjadi sebab penting keperluan kerjasama ini. Kedua-dua negara perlu mengukuhkan kerjasama memandangkan pakatan tradisi yang tidak terjamin.

Haris Zalkapli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *