TRAGEDI TAHFIZ TERBAKAR, SEBUAH PENDEDAHAN DARI ALLAH.

Negara digemparkan dengan peristiwa yang mengorbankan 23 nyawa insan-insan al-Quran. Ajaibnya jiwa orang-orang beriman, bersyukur atas nikmat dan cekal bersabar apabila diuji. Allah memaparkan peristiwa di hadapan mata, sebagai pelajaran hidup yang memperkenalkan kita akan gelagat sebenar manusia.

Terzahir jelas golongan yang bernama Islam tetapi berhati serigala. Sentiasa menanti peluang untuk menghemburkan prejudis terhadap usaha iman yang telah lama terbuku dalam pekung masing-masing. Seterusnya mencari-cari alasan untuk membantutkan perkembangan agama Islam.

Menjentik jiwa kita yang masih berbaki iman, agar semakin menyayangi insan-insan al-Quran, sementara mereka masih ada bersama kita.

Menyedarkan masyarakat bahawa selama ini usaha agama dibangunkan secara berdikari dalam keadaan serba kekurangan.

Mendedahkan betapa hipokritnya politikus yang selama ini begitu bengis terhadap institusi agama. Namun setelah tidak mempunyai kuasa, menunjukkan simpati kononnya perihatin.

Untuk penguasa, bantulah golongan yang mewakilkan diri untuk menjaga agama Islam kita, sementara mereka masih ada. Jangan selepas mereka tiada, baru terhegeh-hegeh sudi membantu.

Kadar jenayah semakin dahsyat. Bahkan telah menjahanamkan manusia bertukar menjadi binatang. Undang-undang yang sedia ada terbukti gagal menakutkan penjenayah dan bakal-bakal penjenayah. Kembalilah kepada undang-undang Islam. Pintu taubat masih terbuka.

Beruntunglah kalian adik-adik huffaz yang beroleh syahid. Malanglah kami yang masih hidup di dunia, tetapi masih tidak sedar diri.

Abdul Mu’izz Muhammad
16 September 2017.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *