THE INVENTION OF WAKANDA

Oleh: Haris Zalkapli
3 September 2020

Kematian pelakon Chadwick Boseman menerima respon yang boleh dikatakan luar biasa, daripada peminat filem Black Panther, pengikut alam sinema Marvel, malah turut daripada mereka yang tidak mengikuti produk budaya popular ini.

Ada beberapa isu penting yang muncul ekoran kematian Boseman, yang berlaku pada masa kemuncak kempen Black lives Matter di Amerika Syarikat.

Satu yang menjadi petunjuk keadaan semasa ialah respon marah dan kecaman terhadap pelakon Avengers, Elizabeth Olsen yang tidak menunjukkan kesedihan di media sosial sehingga menyebabkan beliau menutup akaun media sosial.

Pada masa suasana simpati dan kesedihan ekoran kematian Boseman, Olsen menjadi mangsa “cancel culture” yang bukan disebabkan sebarang tindakan negatif, tetapi kerana tidak segera menunjukkan sikap yang sesuai pada masa ini, menjadi satu yang amat dipandang tinggi, walaupun sebahagiannya boleh dikatakan sekadar satu “virtue signalling“.

Masa pertembungan sengit perjuangan maruah dan jati diri minoriti ini juga disertai dengan “political correctness” yang berlebihan dan menjadi senjata yang tidak ada belas kasihan.

Pada masa sama, tidak boleh dielakkan juga untuk melihat kemunculan filem Black Panther pada 2018 sebagai terlambat, dan muncul sebagai versi “Black Panther” yang bukan radikal dan garang, tetapi yang dapat diterima Orang Kulit Putih, romanticized, dan Wakanda berlebihan kemajuannya.

Black Panther diangkat sebagai sebuah filem yang sepenuhnya menonjolkan Afrika dan warga kulit hitam Barat, memenuhi keperluan representasi pada masa kini, sekitar masa sama representasi diperolehi oleh orang Asia di Amerika Syarikat melalui filem Crazy Rich Asian.

Wakanda, negara yang dibayangkan dalam Black Panther, juga muncul dalam imej Afrika yang paling biasa dan mudah diterima warga Barat dan Orang Kulit Putih, iaitu imej Afrika sub-Sahara – antaranya Kenya – dan pakaian yang dapat dihadam oleh imaginasi Barat.

Wakanda sebahagian besarnya boleh dikatakan ialah Afrika yang menurut perspektif Orang Putih, seperti yang mungkin difahami oleh Melania Trump yang muncul dengan pakaian kolonial “Out of Africa” dalam lawatan pada 2018.

Wakanda dan Black Panther, paling utama ialah produk budaya popular Hollywood, yang tidak terasing daripada suasana sosial dan politik semasa AS, pada masa tindakan “take a knee” menjadi satu simbol identiti protes yang hebat.

Black Panther walau bagaimanapun muncul pada masa yang tepat dalam sejarah terkini AS, memenuhi keperluan budaya yang bukan terhad kepada budaya popular semata-mata, menarik perhatian pemerhati dan intelektual, dan membuat satu catatan penting dalam sejarah perjuangan minoriti Afrika di negara Barat yang amat mencabar kepada minoriti itu.

Tinggalkan komen anda