TERGELINCIR

Oleh: Haris Zalkapli
29 April 2020

Gerakan nasionalis konservatif, walaupun secara keseluruhannya masih sederhana, mudah dituduh fasis atau mempunyai kecenderungan fasis, kerana isu-isu yang bertentangan dengan pihak liberal, seperti ketuanan kaum asal dan hal ehwal agama dan adat.

Liberal sememangnya tidak pernah penat menggunakan dakwaan fasis pada konservatif, malah pada konservatif yang paling sederhana. Liberal juga terlalu mudah mengambil imej-imej dari luar, seperti Hitler, dan Mussolini, tanpa melihat lebih dalam latar ideologinya.

Walaupun gerakan nasionalis konservatif di Malaysia (yang sebenarnya juga menikmati sokongan daripada satu jumlah besar Islamis) secara keseluruhannya boleh dikatakan moderat, wujud kecenderungan lebih berhaluan kanan dalam gerakan ini, sama ada dalam kumpulan sama atau kumpulan lain yang bersekutu atau berkaitan.

Isu berkait xenofobia kebelakangan ini telah menjejaskan sedikit kelompok nasionalis konservatif, dan mencetuskan juga perbezaan dalaman tentang isu yang sebenar dan sikap yang sepatutnya diambil. Kelihatan kelompok ini yang sederhana berdepan kesukaran menjarakkan diri daripada kecenderungan kanan jauh, dan pada masa sama mengekalkan kesatuan.

Sebahagian puncanya ialah sikap defensif berlebihan sesetengah daripada mereka, dan tidak dinafikan juga sikap yang memang jelas xenofobia. Malah, tercetus juga kecaman kuat satu kelompok terhadap seorang ahli Parlimen PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang bila diperhalusi, didorong oleh salah faham, dan mungkin juga sikap gelojoh. Kritikan ini pula dilakukan dalam bahasa yang tidak konsisten, dan sangat sarat dengan falasi.

Selain pergeseran dalaman kalangan nasionalis, perkembangan ini juga berpotensi mewujudkan atau melebarkan jurang antara nasionalis dengan Islamis, yang mempunyai lebih banyak persamaan dan kepentingan bersama berbanding perbezaan.

Isu didasari nasionalisme yang tercetus ini, menjadi satu ujian kepada golongan nasionalis konservatif, yang nampaknya tergelincir teruk hingga membenarkan dakwaan fasis selama ini ditimbulkan semula, dan dapat diolah untuk membina persepsi ini.

Pautan artikel dalam gambar:

https://morningstaronline.co.uk/article/f/lets-get-clear-about-what-fascism-actually

Tinggalkan komen anda