TENTANG KERAJAAN YANG KUAT DAN EFEKTIF

Oleh: Haris Zalkapli
2 Mei 2020

Isu moratorium bayaran pinjaman bank telah mengangkat peranan kerajaan, yang kini didesak supaya berperanan lebih besar dan bersikap lebih tegas dengan institusi perbankan.

Sebelum itu, kesukaran rakyat berdepan sekatan pergerakan didesak dan diharap dibantu dengan segera dan berkesan melalui bantuan kewangan dan pengecualian atau penangguhan beberapa bayaran.

Kuasa kerajaan bukan sahaja dimanifestasi dengan jelas semasa Perintah Kawalan Pergerakan, tetapi semakin diharapkan agar dapat ditingkatkan lagi supaya dapat memelihara kebajikan rakyat.

Daripada perjalanan jentera pentadbiran dan perubatan, dan bantuan kebajikan untuk menghadapi Covid-19, kerajaan menunjukkan kepentingan dan keperluannya pada masa yang sangat menguji kini.

Pada masa yang sukar ini, rakyat menuntut kerajaan segera membantu, rakyat memberikan kerjasama (dan data peribadi) dan sokongan mesra di media sosial, yang pada masa biasa tidak akan datang semudah ini.

Pada masa sama, parti pemerintah mendapat manfaat daripada kecekapan pentadbir dan pakar-pakar dalam birokrasi negara. Pakar perubatan ditonjolkan lebih daripada menteri daripada parti pemerintah untuk bercakap kepada rakyat.

Walaupun persaingan politik masih berlaku, usaha menangani wabak ini boleh dikatakan memberi kelegaan kepada gabungan parti pemerintah daripada tekanan dan desakan pembangkang.

Fokus semua ialah untuk menang melawan wabak ini. Saranan dari pelbagai pihak muncul saban hari ni media dan menerima respons positif kerajaan.

Satu hal yang menonjol kini ialah bagaimana rakyat nampak sangat mengharapkan kerajaan yang kuat dan berkesan, hingga memberi kekuatan kepada hujah menyokong pelaksanaan cukai seperti GST untuk meningkatkan hasil kerajaan agar dapat menyediakan safety net bagi rakyat.

Tinggalkan komen anda