TARBIAH RAMADHAN: JANGAN MELOMPAT KE LUAR TABII

Oleh: Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
5 Ramadhan 1441 / 28 April 2020

Ramadhan dan ibadat-ibadat yang dilakukan bertujuan mentarbiah orang-orang yang beriman bagi membina sahsiah (jati diri kemanusiaan) mengikut fitrah yang sebenar, berbeza dengan kejadian malaikat, binatang, tumbuhan dan batu yang keras.

Manusia mempunyai jasad, roh dan akal, serta hidup berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Maka manusia hidup dengan tujuan beribadat, mentadbir dunia dan berwawasan akhirat, bukan sekadar makan untuk menguatkan nafsu tanpa mempunyai sebarang wawasan hidup.

Sifat kejadian manusia berbeza dengan malaikat kerana mempunyai jasad dan nafsu, berbeza dengan binatang kerana mempunyai akal, dan berbeza dengan pokok dan batu kerana bergerak ke sana ke mari.

Manusia itu mempunyai peranan tersendiri kerana fitrah penciptaannya yang berbeza dengan makhluk yang lain. Firman Allah:

أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah al-Mu’minun: 115)

Memilih sesuatu yang terbaik adalah menjadi fitrah (tabii) kehidupan semua makhluk, terutamanya bagi manusia untuk menyelamatkan rukun kehidupan iaitu; menjaga agama, nyawa, akal, maruah dan harta.

Manusia yang berakal berusaha sedaya upaya ke arah kebaikan dan saling bertolong menolong sesama mereka dalam hidup bermasyarakat madani (bertamadun), kecuali dalam keadaan darurat mengikut tahap dan keperluan.

Binatang juga ada perasaan sendiri, seperti memilih makanan yang lazat, selamat dan berkhasiat, tempat yang selesa dan aman bagi diri dan kelompoknya. Walaupun tidak berakal, binatang tidak makan makanan yang memabukkan atau mematikan, dengan menggunakan kemampuan pancaindera melihat, menghidu dan merasa untuk menilainya. Begitu juga binatang membina sarang di tempat yang selamat bagi diri sendiri, anak dan kawanan.

Tumbuh-tumbuhan pula hidup di kawasan tanah dan suhu udara mengikut kesesuaian masing-masing serta memerlukan baja untuk perkembangan kesuburan yang berterusan.

Namun, ada di kalangan manusia yang tidak memanfaatkan kurniaan Allah SWT untuk dirinya sendiri. Allah berfirman:

صُمُّ بُكۡمٌ عُمۡيٞ فَهُمۡ لَا يَرۡجِعُونَ

“Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).” (Surah al-Baqarah: 18)

Firman Allah:

وَمَثَلُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ كَمَثَلِ ٱلَّذِي يَنۡعِقُ بِمَا لَا يَسۡمَعُ إِلَّا دُعَآءٗ وَنِدَآءٗۚ صُمُّ بُكۡمٌ عُمۡيٞ فَهُمۡ لَا يَعۡقِلُونَ

“Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), sama seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.” (Surah al-Baqarah: 171)

Allah SWT berfirman lagi:

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَٰئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ أُوْلَٰئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam ramai penghuni daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raf: 179)

Firman Allah:

وَلَقَدۡ مَكَّنَّهُمۡ فِيمَآ إِن مَّكَّنَّكُمۡ فِيهِ وَجَعَلۡنَا لَهُمۡ سَمۡعٗا وَأَبۡصَٰرٗا وَأَفۡ‍ِٔدَةٗ فَمَآ أَغۡنَىٰ عَنۡهُمۡ سَمۡعُهُمۡ وَلَآ أَبۡصَٰرُهُمۡ وَلَآ أَفۡ‍ِٔدَتُهُم مِّن شَيۡءٍ إِذۡ كَانُواْ يَجۡحَدُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَحَاقَ بِهِم مَّا كَانُواْ بِهِۦ يَسۡتَهۡزِءُونَ

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah meneguhkan kedudukan mereka (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kamu menguasainya, dan Kami telah jadikan bagi mereka pendengaran dan penglihatan serta hati; dalam pada itu, pendengaran dan penglihatan serta hati mereka tidak memberikan faedah sedikit pun kepada mereka, kerana mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat keterangan Allah; dan (dengan yang demikian) mereka diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.” (Surah al-Ahqaf: 26)

Ya! Terdapat manusia yang menjadi makhluk perosak, bahkan lebih sesat daripada binatang yang mencuri buah-buahan yang terbaik. Mereka memilih pendekatan mencari keburukan atau kesilapan orang lain untuk menjatuhkan dan mengaibkannya.

Lebih teruk lagi ada manusia yang tidak tahu mencari kebenaran, sebaliknya hanya mencari keburukan dan kerosakan sahaja, sehingga memejamkan mata terhadap perkara yang positif. Mereka mengintai perkara negatif yang timbul dan mencari setiap kelemahan untuk memburukkan lagi keadaan, bukannya mengkritik untuk menasihat dan membina.

Pada hari ini dengan menggunakan media yang paling canggih, mereka memilih setiap maklumat berpandukan teori barat yang menjadi kiblat dan kebanggaan mereka iaitu matlamat menghalalkan cara (end justifies the means). Mereka sanggup mematahkan yang bengkok, menghancurkan yang retak, merebahkan yang condong, sehingga menyiram minyak ketika terbakar supaya menjadi lebih merebak.

Islam mengajar supaya kita melihat setiap kebaikan daripada semua pihak tanpa memilih kawan atau lawan. Kita hendaklah memberikan nasihat bagi setiap kesalahan dan menyelamatkan manusia seramai mungkin tanpa memaksa mereka untuk bersama Islam. Seterusnya wajib berlaku adil walaupun terhadap musuh, dan jangan melampau walaupun terhadap penceroboh.

Firman Allah:

وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampau; kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.” (Surah al-Baqarah: 190)

Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sesekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melaksanakan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah: 8)

Firman Allah:

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ١٢٥ وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّبِرِينَ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ١٢٧ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحۡسِنُونَ

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang terbaik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (125); Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan ke atas kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126); Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. (127); Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya (128).” (Surah al-Nahl: 125-128)

Maka puasa yang diwajibkan pada bulan Ramadhan ini bertujuan membina sifat taqwa yang dibuktikan dalam kehidupan beribadat dan bermasyarakat.

Tinggalkan komen anda