TADABBUR SURAH TOHA – PENGENALAN SURAH

Oleh: Asyraf Hanif
9 Ramadhan 1441 / 2 Mei 2020

Surah ini dinamakan Surah Thoha kerana surah ini bermula dengan kalimah طه.

Menurut pendapat Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili bahawa طه merupakan sebahagian daripada nama Nabi Muhammad SAW.

Tetapi ada juga pendapat lain yang mengatakan bahawa طه hanyalah sekadar huruf pembuka surah yang tidak membawa makna sepertimana surah-surah yang lain.

Hubungan Dengan Surah Sebelumnya

Surah Thoha mempunyai beberapa perkaitan dengan surah sebelumnya iaitu Surah Maryam antaranya:-

1- Dalam Surah Maryam diceritakan tentang kisah-kisah para nabi dan rasul seperti kisah Nabi Zakaria AS, Nabi Yahya AS, Nabi Ibrahim AS dan Nabi Musa AS secara umum dan dalam Surah Thoha, kisah Nabi Musa AS disambung penceritaannya secara terperinci bermula dengan penerimaan wahyu di Gunung Sinai sehinggalah babak Bani Israil menyembah lembu.

Begitu juga dengan kisah Nabi Adam AS di mana pada Surah Maryam hanya disebutkan namanya sahaja tetapi disambung penceritaanya secara jelas pada Surah Thoha.

2- Pada akhir surah Maryam disebutkan berkenaan penurunan al-Quran itu dipermudah dengan mengikut bahasa Nabi Muhammad SAW iaitu bahasa Arab. Lalu pada awal Surah Thoha, Allah SWT memberikan penegasan tentang penurunan al-Quran itu bukanlah suatu perkara yang berat untuk diterima.

Kandungan Surah

Menurut Said Qutb, Surah Thoha diterangkan dengan dibahagikan kepada dua pusingan iaitu:-

Pusingan Pertama – pengawalan Surah Thoha ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW untuk memberikan kekuatan dan diberikan contoh kisah Nabi Musa AS sebagai pedoman dan bukti naungan Allah SWT dalam gerak kerja dakwah.

Pusingan Kedua – Mengandungi pemandangan-pemandangan kiamat sebagai amaran kepada manusia yang kufur dan diceritakan kisah Nabi Adam AS sebagai peringatan terhadap sikap manusia yang mudah melupakan ketetapan Allah SWT dan musuh manusia yang sentiasa wujud sehingga kiamat.

Keunikan Dan Kelembutan

Surah Thoha merupakan satu surah yang unik kerana ayat-ayat yang digunakan Allah SWT begitu lembut dan memikat hati manusia.

Sepertimana disebutkan oleh Said Qutb, nada irama dalam surah ini keseluruhannya mempunyai nada irama yang lembut, lunak dan merdu dengan bunyi panjang di setiap pengakhiran ayat kerana berakhir dengan alif maqsurah.

Tidak hairanlah apabila Saidina Umar al-Khattab RA yang bengis pun boleh menggapai hidayah Allah SWT apabila mendengar permulaan surah Thoha kerana kelembutannya memikat hati si pendengar.

Tinggalkan komen anda