SUNAN FATAHILLAH: TEWAS DI MELAKA, BENAM PORTUGIS DI SUNDA KELAPA

Oleh: Mohd Fadli Ghani
Institut al-Balaghul Mubin
9 Ramadhan 1441 / 2 Mei 2020

*RAMADHAN DAN PERJUANGAN ~ 1441 (Siri 9)

KEDATANGAN Portugis untuk menjarah bumi Melayu sejak 1509M adalah lanjutan daripada kejayaan Kerajaan Aragón dan Castilian menghancurkan Granada pada 1492M. Portugis juga telah mengadakan pakatan dengan pemimpin Syiah Shafawi, Syah Ismail untuk menguasai Laut Merah terutama Jedah, Mekah dan ‘Aden, tetapi gerakan mereka telah dihancurkan oleh Sultan Salim I, Sultan Othmaniyah pada 1512M. Di Alam Melayu, mereka mahu menghancurkan Kerajaan Melaka dan Samudera-Pasai untuk membolehkan mereka menguasai perdagangan rempah dan menyebarkan Kristian. Pada 1511M mereka berhasil menundukkan Melaka, kemudian menyerang Samudera-Pasai pada 1521M.

Penjajahan Portugis ini tidak dipandang sepi oleh umat Islam dari seluruh Nusantara. Kerana itu, sepanjang tempoh 130 tahun mereka menjajah Melaka, lebih 50 perperangan berlaku yang dilancarkan oleh kerajaan-kerajaan Islam sekitarnya. Kerajaan Islam terawal mengirimkan tentera ke atas Melaka ialah Kerajaan Demak, sedang para Wali Songo di Jawa menjadi penggerak utama usaha untuk menghalau penjajah Katholik ini. Sunan Gunung Jati adalah Wali Songo yang paling menonjol kerana beliau telah mengirimkan pasukan dari Demak sebanyak dua kali pada 1513M dan 1521M bagi memerangi Portugis. Turut bertindak kemudiannya ialah Aceh. Sedangkan Kampar, Cirebon, Banten, Champa, Johor-Riau dan lain-lain silih berganti untuk bertindak ke atas Portugis sehingga Benggali Putih itu mulai melemah pada awal abad ke-17M.

Kerajaan yang paling aggresif pada dekad pertama kejatuhan Melaka ialah Kerajaan Demak. Sultan Abdul Fatah (1482-1518M) telah menyusun armada laut yang diketuai oleh puteranya, Adipati Yunus (Pati Unus). Serangan segera dilancarkan pada 1512M, tetapi tidak berjaya menghancurkan Portugis ketika perang tercetus pada 1513M. Apabila Adipati Yunus menjadi sultan pada 1518M, baginda sekali lagi mengaturkan gerakan jihad yang lebih besar pada 1521M, di mana baginda dibantu oleh Sunan Fatahillah sebagai panglima kedua. Dalam serangan kedua ini, Adipati Yunus telah syahid dan kerana keadaan kucar-kacir, Sunan Fatahillah mengundurkan tenteranya ke Demak tanpa dapat menumpaskan Portugis.

Sunan Fatahillah dan Jihadnya di Melaka

Kisah jihad Kerajaan Demak ke atas Melaka telah disebutkan dalam Siri 2 tentang jihad Pati Unus. Adapun peranan Sunan Fatahillah dalam gerakan jihad ini belum diperkatakan secara mendalam. Sunan Fatahillah adalah seorang putera Pasai, negara yang diserang oleh Portugis pada 1521M. Portugis, setelah menghancurkan Melaka pada 1511M, dengan dipimpin oleh Alfonso de Alburquerque, mereka telah menyasarkan penguasaan ke atas Aceh, Pasai, Pedir, Aru dan Daya, iaitu negeri-negeri utara Sumatera untuk membolehkan mereka mangawal Selat Melaka.

Pergolakan politik di Samudera-Pasai tercetus ekoran kejatuhan Sultan Zainal Abidin IV setelah bapa saudaranya, Sultan Aru merampas kuasa pada 1517M. Orang Pasai kemudiannya membunuh Sultan Aru dan dinaikkan Puteta Orfacam (menurut sumber Portugis) dengan dukungan Portugis. Campur tangan Portugis di Samudera-Pasai ini telah menyebabkan Putera Orfacam telah dibunuh pula oleh Sultan Zainal Abidin IV. Atas alasan putera dukungannya dibunuh, Portugis menyerang Samudera-Pasai pada 1521M dan berjaya pula menghancurkan pusat pendidikan Islam yang berusia 254 tahun (1267-1521M) itu. Pada 1524M, Sultan Ali Mughayat Syah, Sultan Aceh berhasil menghalau Portugis dari Samudera-Pasai.

Sunan Fatahillah atau disebut oleh Portugis sebagai Fatalehen adalah seorang ulamak dan panglima perang yang lahir di Basem, Pasai pada 1490M. Kerana kelahiran Pasailah, maka dalam Kerajaan Demak, beliau dikenali sebagai Ratu Bagus Pase (Pasai). Ayahnya, Maulana Makhdar Ibrahim adalah anak kepada Maulana Malik Ibrahim, Wali Songo yang menyebarkan dakwah di Pasai sebelum ke Jawa. Ayah Maulana Malik Ibrahim ialah Syed Hussein Jamadil Kubra yang terkenal itu. Ketika campur tangan Portugis berlaku di Samudera-Pasai pada 1517M, Sunan Fatahillah masih berada di Pasai kerana beliau belajar agama dengan para ulamak Samudera-Pasai.

Pada 1520M, Sunan Fatahillah ke Demak di Pulau Jawa untuk menyambung pelajaran dengan para Wali Songo yang juga keluarganya. Ketika berada di Demak ini, gurunya, Sunan Gunung Jati telah melancarkan jihad kedua ke atas Melaka yang dipimpin sendiri oleh Sultan Adipati Yunus (1518-1521M). Sunan Fatahillah dilantik sebagai panglima kedua, membantu Sultan Adipati Yunus dan telah menyerbu Melaka. Ketika hampir menguasai Melaka, Sultan Adipati Yunus telah syahid sehingga tentera Islam menjadi kucar-kacir. Sebagai panglima, Sunan Fatahillah telah berjaya mengawal tenteranya dan berundur kembali ke Demak. Sunan Fatahillah telah dua kali melalui pengalaman pahit dengan Portugis, pertama di Pasai, 1517-1520M dan kedua di Melaka pada 1521M.

Ketika berusia 30 tahun, Sunan Fatahillah telah ke Mekah untuk mengerjakan haji dan belajar dengan ulamak Mekah selama tiga tahun, sebelum kembali ke Pasai pada 1524. Ketika itu beliau mendapati Samudera-Pasai masih diduduki oleh Portugis, lalu beliau ke Demak yang ketika itu diperintah oleh Sultan Trenggono (1521-1546M), adinda Sultan Adipati Yunus. Beliau mendapat khabar bahawa Portugis telah membina benteng di Sunda Kelapa (sekarang Jakarta) yang ketika itu dikuasai oleh Raja Pajajaran yang beragama Hindu. Dalam tahun 1524M itu juga, Sultan Trenggono telah menikahkan adiknya, Ratu Ayu puteri Sultan Abdul Fatah dengan Sunan Fatahillah, lalu beliau dilantik menjadi Senopati Ing Alaga (panglima di medan laga) menggantikan Adipati Yunus.

Tugas utama beliau ialah untuk membuka Banten dari Pajajaran dan menghalau Portugis dari Sunda Kelapa. Portugis sejak 1514M telah menghantar Tome Pires untuk meninjau peluang perniagaan di Jawa dan peninjau itu mencadangkan supaya Portugis membuka pusat perniagaannya di Sunda Kelapa, pelabuhan Pajajaran. Pada 21 Ogos 1522M, Portugis telah bertapak di Sunda Kelapa dengan izin Arya Penangsang, Raja Pajajaran. Sunan Fatahillah menganggap inilah peluang terbaiknya untuk menghancurkan Portugis di Nusantara. Sultan Trenggono percaya, walaupun Pajajaran telah lemah setelah banyak wilayahnya jatuh ke tangan Demak, tetapi Portugis akan menjadi ancaman besar jika dibiarkan.

Jihad Sunan Fatahillah

Kegagalan pasukan Demak menghancurkan Portugis di Melaka tidak melunturkan semangat Sunan Fatahillah. Bahkan, kebencian beliau terhadap penjajahan Portugis di Samudera-Pasai membakar jihadnya. Pada 1526M, setelah mendapat izin gurunya, Sunan Gunung Jati, sebagai Senopati Ing Alaga yang diperintah oleh Sultan Trenggono, Sunan Fatahillah bergerak ke Banten, sebuah pelabuhan penting yang dikuasai Pajajaran. Gerakan pertama bermula di Cirebon, apabila Sunan Fatahillah bersama Sultan Trenggono berjaya menghapuskan saki-baki Pajajaran di negeri tersebut, yang sebelum ini bersekutu dengan Pajajaran tetapi telah menjadi Kesultanan Islam Cirebon sejak 1479M. Setelah itu, gerakan dilanjut ke Banten dan mendapat kejayaan yang sama. Putera Sunan Gunung Jati, Sultan Maulana Yusof Hassanuddin telah dilantik sebagai Sultan Banten yang pertama.

Pada 1527M, tentera Sunan Fatahillah tiba di Sunda Kelapa. Dengan bantuan tentera Cirebon, jumlah tentera Islam mengatasi tentera Pajajaran dan Portugis. Pajajaran hanya membawa tentera dari Pakuan (Bogor) untuk membantu Portugis. Mendapat maklumat awal gerakan Demak ini, pada 23 Oktober 1526M, tentera Potugis di Melaka telah bergerak ke Sunda Kelapa dengan 600 tentera dan beberapa kapal dipimpin oleh Cagayan Mafamede. Pemimpin utama tentera Portugis ialah Francisco de Sa. Kerana bencana di laut, Portugis lambat tiba dari Melaka, lalu Sunda Kelapa telah diserang dan dikuasai oleh Sunan Fatahillah.

Ketika tentera Portugis sampai, Sunda Kelapa telah jatuh ke tangan Demak, dan Portugis mendesak supaya perjanjian mereka dengan Pajajaran pada 1522M dipenuhi, tetapi ditolak oleh Sunan Fatahillah kerana Pajajaran tidak lagi berkuasa. Oleh sebab itu meletuslah perang pada 22 Jun 1527M bersamaan 22 Ramadhan 933H. Dalam perang ini, Demak berjaya menenggelamkan kapal Portugis dan menghalau kapal mereka yang terdampar setelah berlaku serangan bertubi-tubi dari kedua-dua pihak. Kisah perang ini boleh juga dibaca di https://berita.pas.org.my/sunan-fatahillah-halau-portugis-di-sunda-kelapa-mengekang-penjajahan-khatolik-22-ramadhan-933/.

Setelah berjaya menghalau Portugis dari Sunda Kelapa, bukan hanya dendam Sunan Fatahillah terhadap Portugis dapat ditebus, tetapi Sunda Kelapa telah jatuh ke tangan Demak. Kerajaan Hindu telah kehilangan wilayah-wilayahnya, kecuali di Pajajaran (di Rajagaluh dan Talaga) serta Blambangan sahaja. Sunan Fatahilah kemudiannya diangkat sebagai Gabenor Sunda Kelapa (1527-1552M). Tarikh kemenangan Sunan Fatahillah ke atas Sunda Kelapa hari ini dianggap sebagai hari pembukaan kota Jakarta, kerana Sunan Fatahillah telah menukar nama Sunda Kelapa kepada Jayakarta, yang disebut Jakarta sahaja, pada hari Sunan Fatahillah diangkat sebagai gabenor. Sunan Fatahillah wafat pada 1552M.

Tinggalkan komen anda