SIASAH PAS DI TENGAH DUA BLOK KEMARUK KUASA.

SIASAH PAS DI TENGAH DUA BLOK KEMARUK KUASA.

Adat berpolitik, mesti mengejar kuasa. Bodohlah sesiapa menyertai politik tetapi tidak mahu berkuasa. Kerana politik adalah satu seni untuk sampai ke tampuk pengaruh dan kekuasaan.

PAS di arena politik juga mengatur langkah untuk berkuasa. Bezanya PAS tidak jadikan kuasa sebagai matlamat. Sebaliknya kuasa cuma dijadikan satu wasilah atau medium untuk mempraktikkan Islam yang syumul. Dengan erti kata lain, matlamat utama PAS adalah untuk mempraktikkan Islam sebagaimana yang diperintahkan tuhan. Jika boleh dipraktikkan tanpa wasilah kuasa, atau ada lagi wasilah lain selain kuasa, maka PAS akan gunakan segalanya.

Kerana itulah sebahagian orang sukar memahami perjuangan PAS. Kerana mereka menilai melalui kacamata politik adat. Mereka membanding PAS dengan parti-parti lain yang menumpukan sepenuh usaha untuk meraih kuasa. Sebarang program yang dilihat tidak menyumbang ke arah kuasa, dianggap sebagai sia-sia dan tidak bijak.

PAS BUKAN SEKADAR PARTI POLITIK

Sedang PAS adalah gerakan Islam bukan sekadar parti politik. Selain wasilah politik untuk meraih kuasa mempraktikkan Islam, PAS turut mengguna wasilah tarbiyyah ataupun pendidikan, untuk mendidik manusia mengenal Islam yang tulen, secara ilmu dan bermanhaj. Kerana itu PAS satu-satunya parti di Malaysia yang memiliki beratus bahkan beribu buah pusat pendidikan, samada langsung di bawah PAS atau dinaungi oleh ahli PAS. PAS juga adalah gerakan dakwah, yang turun ke segenap ruang inci masyarakat menyampaikan risalah Islam. PAS sangat sinonim dengan mimbar, meja kuliah, streetdakwah, risalah makalah Islamik dan apa sahaja yang boleh menarik orang kepada Islam.

Sudah pasti ada yang mempersoal. Apa guna berhabis ratusan ribu semata-mata untuk mendirikan bangunan madrasah untuk budak yang belum layak mengundi? Apa guna membazir tenaga mengedar risalah tentang solat dan aurat, tetapi tidak berkempen supaya undi PAS? Ya. Memang tidak ada guna kalau PAS sekadar parti bermatlamat kuasa.

CARA PAS BERPOLITIK

Di arena politik pun, PAS meletakkan Islam dihadapan. Kuasa mungkin yang kedua atau ketiga. Walau parti-parti lain sibuk mengejar kuasa, PAS akan pastikan Islam tidak terancam. PAS boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja, asalkan mereka sanggup bersama PAS ke arah mempraktikkan Islam. Begitu juga PAS akan bermusuh dengan sesiapa sahaja, selagimana mereka memusuhi Islam.

Dua blok politik yang sering menjadi bualan, iaitu BN dan PH. Tidak boleh dinafikan lagi keduanya berebut untuk meraih kuasa. Bila mereka pasang matlamat akhir adalah kuasa, segala langkah yang membawa ke arah kuasa itu adalah halal mesti dilakukan.

Jadi jangan hairan kenapa Mahathir yang dulu ditentang kerana kezaliman terhadap rakyat, penindasan terhadap Islam dan korupsi di zaman pemerintahannya, kini ditatang bagai minyak yang penuh. Siap dilantik menjadi pemimpin teratas mereka (top-dog). Sehingga kini Mahathir tidak pernah mengaku salah, meminta maaf, menarik balik atau menunjukkan sebarang tanda-tanda insaf atas segala kedajalan lampau. Tetapi kerana berkongsi matlamat merebut kuasa, semua itu dilupakan mudah. Nasib Islam langsung tidak diperbincangkan secara jelas oleh pakatan itu.

Jangan hairan juga kenapa Umno mahu bersama PAS dalam perjuangan RUU355, tetapi masih tidak bertegas dalam isu RUU164. Mana-mana yang menguntungkan matlamat kuasa, segalanya boleh dilakukan. Mana-mana yang boleh mengancam kuasa, itu perlu dihindarkan. Itulah adat dunia politik.

DI TENGAH DUA BLOK

Walaupun kedua pihak tidak henti mengajak PAS bersama, bergabung membentuk satu kekuatan politik bagi menghadapi pilihanraya, sehingga kini PAS masih selesa bersama Gagasan Sejahtera (Gagasan). Pakatan ini lebih memberi ruang yang luas kepada PAS untuk sampai kepada matlamat perjuangannya. Membaiki negara dengan Islam.

Dalam waktu yang sama PAS sentiasa terbuka untuk sebarang rundingan, samada PH atau BN, jika ia selari dengan perjuangan PAS. PAS sedia berkongsi semangat perjuangan RUU355 dengan Umno, sehingga terpaksa menentang PH. PAS juga boleh berkongsi bantahan GST dengan PH, sehingga menentang Umno dan BN.

Yang pasti PH dan BN masih lagi berkongsi dua perkara sama, iaitu mengejar kuasa. Jadi apakah mungkin mereka berpakat, sehingga terpaksa menentang PAS? Apa yang mustahil dalam politik? 5 tahun lepas pun kita rasa mustahil Lim Kit Siang akan bersama dengan Mahathir. Dulu pun kita rasa mustahil Umno akan sokong tatacara jenayah syariah.

Mahathir sudah berkali-kali keluar masuk Umno. Tapi dulu dia menentang Umno sebagai individu, dia masuk Umno juga sebagai individu. Kini dia menentang Umno sebagai top-dog PH. Maka apakah mungkin dia bakal masuk Umno kembali dengan semua dog-dog PH yang lain?

Dalam dunia politik, kita perlu letak semua kemungkinan itu. Politik juga adalah seni sejuta kemungkinan. Jangan bimbang, PAS tidak akan rugi jika berlaku sedemikian. Bahkan ia lebih baik untuk masa depan perjuangan PAS yang mengguna pendekatan siasah nafas panjang. Yang rugi hanya segelintir dalam PAS yang mengharap kemenangan segera.

(Alang Ibn Shukrimun)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *