SHEIKH WAN MUSTAFA: MENYATUKAN UMAT MEMBANGKITKAN PATANI

Oleh: Mohd Fadli Ghani
Institut al-Balaghul Mubin
6 Ramadhan 1441 / 29 April 2020

*RAMADHAN DAN PERJUANGAN ~ 1441 (Siri 6)

PERPECAHAN Kerajaan Patani sepanjang abad ke-18M menjadi punca kehancuran mereka. Selepas perang terakhir pada 1683M untuk memaksa Patani membayar ufti, Siam tidak lagi mengganggu Patani. Sebaliknya orang Melayu yang berpecah kerana selesa tidak lagi diancam musuh. Ia bermula dengan wilayah-wilayah Melayu melepaskan diri dari kekuasaan Patani dimulai oleh Singgora pada 1679M, diikuti oleh Badelung (1680M), Terengganu (1725M), Legeh (1745M) dan Kelantan (1749M). Dari sebuah empayar Melayu yang besar, kini Patani menjadi sebuah negeri yang kecil sahaja meliputi kawasan Sai di selatan hingga ke Chennak di utara dan Reman di barat.

Kedua, para pemimpin telah bersaing sesama sendiri sehingga beberapa sultan telah dijatuhkan dan dibunuh, selain berlaku perebutan kuasa di wilayah-wilayah Patani. Pada 1767M, Siam Ayutthya telah jatuh diserang Burma, lalu Patani telah berhenti membayar ufti kepada Siam. Tetapi pada 1768M, Phya Taksin telah berjaya menguasai semula Ayutthya dan seluruh Tanah Siam dikuasai menjelang 1776M. Apabila Rama I menjadi raja pada 1782M, mereka melancarkan semula gerakan ke atas Tanah Melayu di selatan.

Dalam keadaan berpecah-belah dan berlaku perebutan kuasa ini, Siam dengan mudah menyerang Patani, bermula dengan serangan ke atas Ligor dan diikuti oleh Singgora, menyebab Ligor jatuh pada 1769M. Dalam tahun 1776M, Siam meminta bantuan Patani untuk menghadapi Burma, oleh kerana Patani menolak, Siam telah menyerang Patani pada 1785M. Kerana kalah dalam perang ini, Patani telah bertukar menjadi jajahan Siam hingga sekarang.

Bersatu Untuk Bangkit

Kejatuhan Patani memberi pengajaran besar kepada orang Melayu yang kini terjajah. Tengku Lamidin, seorang pembesar telah dipilih oleh Siam menjadi raja patung di Patani. Para ulamak yang menjadi pembesar tidak berdiam diri. Hulubalang Wan Pa yang menjadi hulubalang pada zaman Sultan Muhammad (1776-1786), telah menjadi Wazirah al-Harbiyah (Menteri Pertahanan) Patani di bawah Tengku Lamidin. Walaupun hanya sebagai raja patung, Tengku Lamidin tetap tidak rela bangsanya dijajah. Lalu gerakan kebangkitan disusun dengan dikepalai oleh Hulubalang Wan Pa yang sudah bergelar Datuk Panglima Kaya Patani.

Tengku Lamidin telah membina kotanya di Pelawan, manakala Datu Pengkalan dilantik memerintah di Kerisik. Rakyat yang berpecah disatukan semula dan pada 1789M, Tengku Lamidin telah mengajak seorang Raja Annam, Raja Ong Chieng Su untuk menyerang Siam dari arah berbeza. Patani menyerang dari selatan dan Annam menyerang dari utara. Tetapi malangnya strategi ini dibocorkan oleh Raja Annam kepada Siam. Ini menimbulkan kemarahan Siam.

Di Patani, Datuk Panglima Kaya telah mempersiapkan tenteranya, sedangkan Siam juga telah menghantar panglimanya, Phraya Kalahum ke Patani. Tentera Patani berjaya mengalahkan Siam di Tiba dan terus menyerang Chenok hingga ke Singgora, lalu bertembung dengan tentera Siam dari Singgora yang berkubu di Bukit Anak Gajah. Kemudian tentera Siam Ligor pula membantu, sehingga berlaku pertempuran besar tetapi dikuasai oleh Patani. Datuk Panglima Kaya bersama Tengku Lamidin berjaya menghalau Siam hingga ke Badelung.

Apabila ketumbukan tentera Phraya Kalahum tiba, lalu bersatu dengan tentera Raja Singgora dan Raja Ligor, maka tercetuslah perang selama tiga tahun, berakhir 1791M. Kerana terlalu lama berperang, walaupun belum ada kalah-menang, tetapi tentera kedua-dua pihak terpaksa berundur. Tengku Lamidin kembali ke Patani bersama tentera Melayu. Tiba-tiba Siam melancarkan semula serangan kilat ke atas Kota Perawan sehingga Patani tewas dan Tengku Lamidin ditangkap sebelum dibunuh atas tuduhan memberontak.

Siam mengangkat pula Datu Pengkalan menjadi Raja Patani pada 1791M, tetapi sebagai raja patung juga. Datuk Panglima Kaya Wan Pa terus berperanan dalam kerajaan. Oleh kerana orang-orang Siam terlalu campur tangan, Datuk Panglima dan Datu Pengkalan telah berpakat untuk menyerang orang Siam secara mengejut pada 1808M. Ketua orang Siam, Laksamana Dajang terpaksa lari ke Singgora dan meminta bantuan dari Bangkok. Raja Singgora dan Raja Ligor pula menghantar tentera, lalu Datu Pengkalan, Datu Pujud, Datu Sai dan datu-datu yang lain telah disatukan oleh Datuk Panglima Kaya untuk menghadapi serangan Siam.

Setelah berperang habis-habisan selama beberapa bulan, orang Siam telah kalah lalu mereka berundur ke Singgora dan Laksamana Dajang terpaksa lari ke Ligor. Ekoran kekalahan ini, Phraya Kalahum telah membawa tentera dengan kapal perang ke Patani, di samping tentera Siam dari Singgora dan Ligor. Pertempuran berlaku di Baruh Laguni dan Kota Kerisik. Siam berjaya membunuh Datu Pengkalan dan orang Melayu kalah lagi.

Kesan daripada kekalahan inilah, Siam mengambil langkah baru yang lebih keras. Pertama, mereka melantik orang Cina-Siam, Nai Kwan Sai, anak raja Chenok sebagai raja Patani yang menyebabkan kedaulatan tercabut dari orang Melayu. Kedua, pada 1816M, Siam telah memecahkan Patani kepada dua kawasan. Tujuh wilayah utara dari Tiba hingga Singgora diletakkan di bawah Ligor, manakala tujuh wilayah lagi dipecahkan dengan raja masing-masing, diletakkan di bawah Nai Phai, Raja Jering.

Hulubalang Wan Pa: Pembangkit Perjuangan

Hulubalang Wan Pa atau Datuk Panglima Kaya adalah gelaran kepada Sheikh Wan Mustafa bin Wan Muhammad bin Wan Zainal Abidin (Faqih Wan Musa al-Laqihi) bin Wan Mohamad Salleh al-Laqihi bin Ali Mansor al-Laqihi (Syed Ali Nurul Alam) bin Syed Hussein Jamadil Kubra. Beliau mempunyai moyang yang sama dengan Sheikh Daud al-Fathani, tetapi hanya bertemu pada Syed Ali Nurul Alam. Beliau lahir pada 1747M di Bendang Daya, Patani dan mendapat pendidikan dari datuknya Sheikh Faqih Wan Musa al-Laqihi, seorang ulamak besar ketika itu. Beliau juga menggurui Sheikh Abdul Rahman Pauh Bok, selain beberapa ulamak lain, sehingga muncul sebagai ulamak yang disegani ketika itu. Dengan kedudukan ini, beliau telah mendapat tempat sebagai seorang pembesar Kerajaan Fathani yang ketika ini dikendalikan oleh tokoh dari keluarga Syed Ali Nurul Alam seperti Wan Yusof (Datuk Kaya Ratna Diraja), Wan Ismail (Datuk Kaya Pandak Orang Kaya Biji Diraja) dan Wan Nik (Datuk Wan), iaitu anak-anak Faqih Ali (Andik Ali).

Pada awalnya, beliau berkhidmat sebagai Hulubalang Kerajaan Patani bersama Sheikh Nik Abdul Wahab (Tok Nik Hab). Kerana jasanya dalam perang 1786M, beliau dilantik sebagai Wazirah al-Harbiyah bergelar Datuk Panglima Kaya, sekali gus menjadi panglima agung Patani pada zaman Tengku Lamidin. Antara tokoh ulamak yang menjadi pembesar ketika ini termasuklah Sheikh Haji Wan Mohamad yang terkenal dengan gelaran Tok Ketitir Tanjung Patani itu. Datuk Wan Su, anak Datuk Ratna Diraja Wan Yusof pula menjadi Bendahara Patani, manakala Datuk Wan Abu Bakar, anak Datuk Orang Kaya Biji Diraja Wan Ismail turut menjadi pembesar, selain Wan Daim (anak Datuk Wan Nik) yang terkenal itu sebagai Datu Jambu.

Penglibatan para ulamak-pentadbir yang senior dalam Kerajaan Patani telah memudahkan Datuk Panglima Kaya menyusun pergerakan mereka dalam menghadapi tentera Siam. Tetapi selepas kekalahan pada 1808M, Siam telah melantik Nai Kwan Sai sebagai Raja Patani, menyebabkan semua ulamak tersingkir daripada kerajaan. Ketika perang tercetus pada 1831-1832M, Datuk Panglima Kaya yang sudah tua menggunakan pengaruhnya untuk memujuk Raja-raja Melayu Patani, Nongcik, Jalor dan Teluban supaya belot terhadap Raja Jering, Nai Phai, lalu bersatu di Tiba untuk menyerang Siam di Singgora bersama tentera Kedah.

Patani Kalah: Bina Pondok Bendang Daya

Setelah Patani kalah lagi pada 1832M, maka ramailah ulamak Patani berundur ke Mekah, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak dan Seberang Prai. Datuk Panglima Kaya yang sudah berumur 85 tahun tidak berundur, tetapi tidak aktif lagi dalam politik. Beliau balik ke Bendang Daya untuk membuka pondok dengan harapan anak-anak didiknya nanti menyambung jihad ke atas Siam. Pondoknya dikenali sebagai Pondok Sena, tetapi akhirnya lebih popular sebagai Pondok Bendang Daya, dan di kalangan ulamak beliau dikenali sebagai Tok Bendang Daya Tua. Ada riwayat mengatakan, beliau telah menanam pokok sena berbaris-baris di kawasan pondoknya, lalu kawasan itu dikenali sebagai Sena Janjar.

Tok Bendang Daya Tua diberikan umur panjang dan wafat pada 1863M dalam usia 120 tahun. Cerita popular menyebutkan bahawa beliau bertemu dengan Lailatul Qadar lalu berdoa supaya keturunannya menjadi ulamak. Dengan izin Allah, empat anaknya menjadi ulamak besar iaitu Sheikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya Muda), Sheikh Abdul Latif di Bangkok, Sheikh Wan Mohamad Zain dan Sheikh Wan Daud di Mekah. Cucunya yang ternama ialah Sheikh Wan Ahmad Mohd Zain (Tuan Faridah), Sheikh Wan Ismail (Pak Da Eil) dan Sheikh Wan Ibrahim (Pak Chu Him Gajah Mati).

*Gambar: Telaga Lailatul Qadr Bendang Daya, dikisahkan Tok Bendang Daya Tua bertemu malam lailatul qadr ketika ingin berwuduk di telaga ini, kemudian beliau berdoa agar zuriat keturunannya menjadi ulamak.

Pautan:

Artikel asal – https://m.facebook.com/mohdfadlighani

Tinggalkan komen anda