SHEIKH WAN AHMAD: BAPA KEMERDEKAAN MELAYU

Oleh: Mohd Fadli Ghani
Institut al-Balaghul Mubin
11 Ramadhan 1441 / 4 Mei 2020

*RAMADHAN DAN PERJUANGAN ~ 1441 (Siri 11)

KEBANGKITAN para ulamak di medan jihad sejak 1511M telah menjadi batu tanda yang sangat penting, bahawa umat Melayu Islam tidak pernah menyerah kalah kepada musuh-musuhnya. Setelah 280 tahun umat Islam berusaha membebaskan Melaka daripada penjajahan Portugis dan Belanda, pada 1786M tercatat dua peristiwa hitam, iaitu kedatangan British di Pulau Pinang dan kejatuhan Pattani di tangan Siam. Sebelum itu, pada 1769M, negeri-negeri Melayu yang lebih utara seperti Cupak (Chumpon), Randung (Ranong), Surat (Suratthani), Legor (Nakhon Si Thammarat), Bedelung (Patthalong) dan Singgora (Songkhla) telah jatuh ke tangan Siam.

Kejatuhan negeri-negeri Melayu di utara dan kedatangan British pada 1786M ini menandakan bahawa negeri-negeri Melayu yang lain juga akan menjadi mangsa politik buas bangsa penjajah. Ternyata benar, apabila Kedah terpaksa menjadi naungan Siam pada awal 1800M. Pada 1809M, Siam memaksa Kedah menentang kebangkitan Patani, diikuti oleh paksaan membantu Siam menyerang Burma pada 1810M. Akhirnya, Kedah diarahkan menyerang Perak pada 1817-1818M. Kerana campur tangan British melalui Perjanjian Burney 1826M, Perak tidak menjadi jajahan Siam. Sebaliknya, Siam meluaskan pengaruhnya di Kelantan dan Terengganu sejaK 1830-an.

Ketika Siam rakus menjarah negeri di utara, British menyasarkan penguasaan ke atas negeri Melayu yang kaya seperti Perak, Selangor, Sungai Ujong dan Pahang, setelah Pulau Pinang dan Seberang Perai dikuasai oleh mereka pada 1800M, manakala Perjanjian Inggeris-Belanda 1824M membolehkan British menguasai Melaka dan Singapura. Akhirnya, melalui Perjanjian Pangkor 1874M, negeri-negeri Melayu dikuasai satu-persatu sehingga ditubuhkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 1895M. Proses penjajahan baru ini tidak lagi dapat ditentang secara bersenjata dalam skala kecil, tetapi ia mesti melibatkan kesedaran menyeluruh bangsa Melayu untuk bangkit ke atas penjajahan.

Api Kebangkitan Dinyalakan Dari Mekah

Siri-siri kebangkitan di Melaka, Patani dan Kedah ternyata menghasilkan kesan yang tidak berbeza dengan kebangkitan Sheikh Yusof Tajul Khalwati di Makasar, Diponegoro di Jawa dan Tuanku Imam Bonjol di Minangkabau, iaitu gagal menghalau penjajah. Maka, menginsafi hakikat ini, Sheikh Wan Ahmad Wan Mohamad Zain al-Fathani seorang pemikir Melayu abad ke-19M telah mengatur jihad dalam bentuk lain untuk memerdekakan seluruh Alam Melayu. Beliau telah menyusun sebuah pergerakan politik baru orang Melayu, mendahului seluruh bangsa Islam yang lain untuk mencipta semula kebangkitan.

Dari Mekah, Sheikh Wan Ahmad yang selalu dikenali sebagai Tuan Faridah kerana kemasyhuran kitabnya, Faridah al-Faraid, telah mengkaderkan pejuang-pejuang generasi baru dalam pelbagai aspek. Antara aspek yang dibangunkan ialah pentadbiran, organisasi, percetakan dan penerbitan, pendidikan, diplomatik dan jihad qital. Sebarisan pejuang kebangsaan muncul pada akhir abad ke-19 seperti Syed Sheikh al-Hadi, Raja Ali Kelana, Tok Kenali, Dato’ Perdana Nik Mahmud, Raja Khalid Hitam, Tok Janggut dan lain-lain. Ketika Sheikh Wan Ahmad menutup umurnya pada 1908M, kader-kadernya telah bergerak dan berperanan, sehingga akhirnya sarjana seperti William R Roff telah mengakui bahawa perkembangan itu sebagai “origin of Malay nationalism“.

Sheikh Wan Ahmad: Pembangun Bangsa Yang Runtuh

Di kalangan ulamak Melayu di Mekah, telah diakui bahawa Sheikh Wan Ahmad adalah ulamak terbesar yang pernah lahir, sebaris dengan Sheikh Daud al-Fathani, Sheikh Nik Mat Kechik dan Tok Wan Ali Kutan dalam generasi sebelumnya. Beliau sebenarnya cucu kepada Sheikh Wan Mustafa (Tok Bendang Daya Tua) yang lebih terkenal sebagai Hulubalang Wan Pa. Ayahnya, Sheikh Wan Mohamad Zainal Abidin bin Tok Wan Pa lebih dikenali sebagai Sheikh Wan Mohamad Zain, abang kepada Tok Bendang Daya Muda dan Sheikh Wan Daud (Pak Cik Daud) yang terkenal di Mekah itu. Di sebelah ibunya, beliau adalah cucu kepada Sheikh Wan Abdul Latif, Wazirah al-Harbiyah (Menteri Pertahanan) Patani. Beliau dilahirkan di Kampung Sena Janjar, Jambu, Patani pada 10 April 1856M. Dengan darah ulamak dan pahlawan inilah beliau bangkit membina semula bangsanya yang telah runtuh.

Pada awalnya, Sheikh Wan Ahmad belajar di Pondok Bendang Daya dengan Tok Bendang Daya Muda, kemudian beliau ke Mekah, Madinah, Baitul Maqdis dan Mesir untuk mendalami pelbagai ilmu sehingga 1880M. Beliau diriwayatkan telah menguasai 47 bidang ilmu sehingga Snouck Hurgronje menyebutnya sebagai “a savant of merit“. Setelah tujuh tahun di Mesir, beliau kembali ke Mekah dan menjadi guru yang terkemuka di Masjid al-Haram. Beliau bermukim di Mekah sehingga wafat pada 14 Januari 1908M.

Membangun Kader-kader Pejuang

Di samping mengajar pelbagai bidang ilmu di Mekah, menulis dan mentahqiq kitab serta menjadi pegawai kanan Khilafah Othmaniyah, Sheikh Wan Ahmad memberikan fokus utama untuk mengkaderkan pejuang-pejuang sehingga berhasil mengubah pemikiran dan pergerakan bangsa Melayu dalam menuju kemerdekaan. Dalam hal ini, catatan sejarah negara kita telah melupakan peranan para ulamak dalam membina kesedaran umat, berbanding pejuang nasionalis sekular yang muncul pada saat akhir dan memproklamasikan diri mereka sebagai pengasas kemerdekaan negara.

Secara umum, dapat kita tinjau peranan Sheikh Wan Ahmad terhadap pembinaan kader-kader perjuang ini dalam beberapa aspek berikut:

i) Melatih Ulamak Berorganisasi

Sheikh Wan Ahmad yang melalui pengalaman politik di Mesir di mana budaya politik berorganisasi dan berparti telah berkembang mengikut pengaruh Eropah telah menubuhkan badan politik pertama bagi orang Melayu iaitu Jam’iyah al-Fathaniyah di Mekah pada 1873M. Melalui jam’iyat ini, orang Melayu mula terdedah dengan budaya organisasi. Dua muridnya dari Riau, Raja Ali Kelana dan Syed Sheikh al-Hadi telah menubuhkan pula Jam’iyah al-Rusyidiyah di Pulau Penyengat pada 1880M sebagai badan politik Islam yang pertama di Nusantara. Setelah itu muncul Jam’iyat al-Khair di Riau dan Betawi, sebelum tertubuhnya Sarekat Dagang Islam pada 1905M. Di Tanah Melayu, Tok Kenali menubuhkan Jam’iyat al-‘Asriyah di Kota Bharu pada 1915M. Akhirnya pergerakan politik berkembang dan mewujudkan parti-parti politik bermula dengan penubuhan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) pada 1926M.

ii) Membangunkan Inteligensia Melayu

Sheikh Wan Ahmad berpandangan sistem pendidikan di Mesir lebih terkehadapan berbandingan sistem tradisional di Mekah. Beliau sebagai orang Melayu pertama belajar di Mesir, beliau telah mengalih kiblat pendidikan orang Melayu ke Mesir dengan menghantar murid-muridnya ke sana. Kemudian, di Nusantara mulai muncul sistem pendidikan moden yang disebut madrasah, menggantikan pondok, diasaskan oleh murid-muridnya. Madrasah pertama di Tanah Melayu ialah Madrasah al-Ihsaniyah, Teluk Intan yang ditubuhkan pada 1901M. Sheikh Salleh Masri menubuhkan Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam pada 1906, Tok Kenali menubuhkan Sekolah Majlis di Kota Bharu pada 1915M dan Syed Sheikh al-Hadi menubuhkan Madrasah al-Iqbal di Singapura pada 1908M, Madrasah al-Hadi di Melaka (1918M) dan Madrasah al-Mashoor, Pulau Pinang (1919M).

iii) Menubuhkan Percetakan dan Penerbitan

Sheikh Wan Ahmad merupakan Pengarah Jawatankuasa Pengadaan Percetakan Kerajaan Othmaniyah. Beliau membuka kilang cetak yang dikenali sebagai Matbaah al-Amiriyah di Istanbul, Kaherah dan Mekah untuk mencetak kitab-kitab agama. Sejak itu, buku-buku agama dicetak dengan banyak dan memudahkan generasi baru belajar. Beliau menubuhkan bahagian Bahasa Melayu pada 1882M untuk mencetak kitab-kitab Melayu. Beliau melatih beberapa ulamak seperti Sheikh Ismail Daudi al-Fathani dan Sheikh Hussein Idris Kelantan untuk tujuan percetakan bahasa Melayu. Kemudian bahagian Bahasa Aceh, Jawa dan Bugis turut ditubuhkan. Matbaah al-Amiriyah ditubuhkan juga di Bombay, Champa, Riau, Singapura, Kelantan dan Patani. Kemajuan percetakan ini telah membolehkan kitab-kitab tersebar dengan meluas, terbitnya buku-buku bercetak dalam pelbagai genre dan juga penerbitan akhbar-akhbar. Pada 1906M, Syed Sheikh, Sheikh Tahir Jalaluddin dan Sheikh Abbas Taha menerbitkan al-Imam, akhbar terpenting dalam memperkatakan tentang kesedaran bangsa.

iv) Melatih Pentadbir Melayu

Dalam kalangan murid-murid Sheikh Wan Ahmad seperti Dato’ Perdana Nik Mahmud, Dato’ Laksamana Mohamad Mohd Said, Raja Ali Kelana dan beberapa yang lain, mereka menerima pendidikan khusus tentang pentadbiran negara. Kemudian mereka muncul sebagai tokoh-tokoh pentadbir yang terkenal dalam menghadapi perluasan pengaruh Siam. Raja Khalid Hitam Riau pula menjadi seorang diplomat yang bertanggungjawab terhadap usaha mengajak Jepun menghalau British dari Alam Melayu. Manakala Sheikh Wan Ishak pula menjadi wakil untuk perhubungan Melayu di Kemboja

v) Jihad qital

Jihad di medan perang adalah darah daging umat Islam Patani sejak bumi mereka dijajah. Pada dekad pertama abad ke-20M, British mula berusaha mendirikan negara haram Israel dan menguasai negeri-negeri Melayu di utara. Seorang murid Sheikh Wan Ahmad, Haji Hassan Munas didorong khusus untuk menyekat kemasukan British ke Tanah Melayu. Tokoh yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut ini telah bangkit ke atas penjajah di Kelantan pada 1915M. Sebelum itu, Tokku Paloh yang rapat dengan Sheikh Wan Ahmad turut berperanan terhadap kebangkitan Mat Kilau di Pahang pada 1895M dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu pada 1924-1928M.

Pada asasnya, kajian-kajian kebangkitan nasionalisme orang Melayu pada abad ke-20M akan menemui akar kebangkitan itu adalah bermula daripada gerakan Sheikh Wan Ahmad di Mekah. Peranan besar Tuan Faridah ini telah melahirkan sejumlah besar ulamak-ulamak di Tanah Melayu dan Kepulauan Nusantara yang kemudiannya menjadi perjuang-pejuang ataupun melahirkan para pejuang pada generasi berikutnya. Perjuangan umat Melayu Islam berkembang dan semakin maju menjelang Perang Dunia Kedua kesan daripada peranan multi aspek yang dilakukan oleh Sheikh Wan Ahmad al-Fathani.

Tinggalkan komen anda