SHEIKH SYAMSUDDIN AS-SUMATRA-I: SYAHID MENENTANG PORTUGIS

Oleh: Mohd Fadli Ghani
Institut al-Balaghul Mubin
7 Ramadhan 1441 / 30 April 2020

*RAMADHAN DAN PERJUANGAN ~ 1441 (Siri 7)

KEKALAHAN Melaka bukan hanya mendapat perhatian Kerajaan Demak, tetapi juga Kerajaan Johor-Riau dan Aceh. Tapi sayang sekali, kerana buku-buku sejarah sekolah menutup maklumat jihad orang Melayu di Melaka menentang Portugis (1511-1641M) yang melibatkan lebih 40 kali perperangan. Ia juga melibatkan Lebih 10 buah negara Islam seperti Demak, Cirebon, Banten, Jepara, Siak, Johor-Riau, Kampar, Champa, Aceh dan lain-lain dalam menebus kejatuhan Melaka itu. Ini menunjukkan bahawa orang Melayu tidak melihat sahaja bumi mereka dijarah, melainkan mereka bangkit mempertahankannya.

Aceh (1514-1903M), adalah salah sebuah Kerajaan Islam yang bangkit ketika Melaka jatuh. Mereka tidak pernah bekerjasama dengan Portugis, bahkan menjadi sayap kekhalifahan Othmaniyah bagi Nusantara. Atas asas itu, bagi membebaskan Melaka dan menghalau Portugis, Aceh telah menyerang Melaka sebanyak tujuh kali (1537, 1547, 1568, 1571, 1578, 1587 dan 1629M), selain turut menyerang Johor-Riau sebanyak sembilan kali (1537, 1564, 1568, 1582, 1613, 1617, 1623, 1630 dan 1634M) kerana bersekutu dengan Portugis. Sebab utama serangan-serangan ini dilancarkan adalah untuk membebaskan Melaka, menyekat gerakan Kristianisasi dan persaingan perdagangan.

Walaupun serangan-serangan telah berlaku ke atas Portugis di Melaka sejak 1537M, tetapi serangan besar-besaran dibuat oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636M) yang paling berkesan. Selain faktor kepahlawanan Sultan Mahkota Alam, peranan para ulamak di Aceh sangat mempengaruhi tindakan-tindakan ke atas Portugis di Melaka. Tokoh ulamak terbesar di Aceh ketika ini ialah Sheikh Syamsuddin as-Sumatra-i yang merupakan Sheikh al-Islam Aceh. Sheikh Abdul Samad al-Falembani di dalam Siyarus Salikin mencatatkan bahawa beliau adalah Perdana Menteri Aceh.

Jihad Aceh di Melaka

Ketika Kerajaan Aceh Darussalam ditubuhkan pada 1514M, Sultan Ali Mughayat Syah (1496-1528M) tidak memberikan perhatian kepada Portugis di Melaka kerana Kerajaan Samudera-Pasai (1267-1521M) masih wujud. Tetapi, apabila Portugis menakluk Samudera-Pasai pada 1521M, Sultan Ali Mughayat Syah telah mengukuhkan gabungan semua kerajaan kecil membentuk Aceh Darussalam untuk menghadapi Portugis. Melihat kegelojohan Portugis dalam menyebarkan Kristian dan menguasai perdagangan rempah, Sultan Alauddin al-Qahhar (1537-1568M) telah melancarkan serangan ke atas Melaka beberapa kali mulai 1537M dan kemuncaknya pada 1568M. Ia berpunca daripada daripada tindakan Johor-Riau yang marahkan Aceh kerana menakluk Aru pada 1539M. Perbalahan panjang ini menyebabkan Aceh menyerang Johor-Riau pada 1564M. Kesannya, ketika Aceh menyerang Portugis di Melaka pada 1568M dengan bantuan Khilafah Othmaniyah, Johor-Riau telah bertindak membantu Portugis. Tindakan Johor-Riau ini menggagalkan usaha menghalau Portugis. Lantaran itu, Aceh menyerang Johor-Riau sekali lagi pada 1568M.

Ekoran itu, pada 1569M, Portugis telah mengepung Aceh di pantai Sumatera pada zaman Sultan Hussein Ali Riayat Shah (1568-1575M), tetapi gagal mengalahkan Aceh. Sebagai tindak balas, Aceh telah menyerang Portugis pada 1571M tetapi gagal. Serangan ke atas Portugis digiatkan semula oleh Sultan Alauddin Mansur Syah (1577-1589M) sebanyak dua kali iaitu pada 1578M dan 1587M. Serangan juga dibuat ke atas Johor-Riau pada 1582M, ekoran tindakan Johor-Riau bersekutu dengan Portugis, tetapi serangan ini gagal mengalahkan Johor-Riau apabila Portugis membantu Johor-Riau. Era inilah (1533-1587M) disebutkan Perang Tiga Segi Johor-Aceh-Melaka.

Setelah usaha beberapa orang Sultan Aceh ini tidak berjaya, pada zaman Sultan Ali Riayat Syah (1604-1606M), Portugis meningkatkan tekanan ke atas Aceh untuk mengawal laluan perdagangan, lalu Putera Mahkota Alam telah berjaya menghalau Portugis dan baginda dilantik menjadi Sultan Aceh bergelar Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1606-1636M). Sultan Iskandar Muda sangat tidak berpuas hati dengan tindakan Johor-Riau yang mengadakan perjanjian damai pada 6 Oktober 1610M yang menguntungkan ekonomi Portugis, telah menyerang Johor di Batu Sawan pada 6 Jun 1613M sehingga dapat menawan adinda Sultan Johor dan Bendahara Tun Seri Lanang. Pada 1623, Aceh sekali lagi menyerang Johor-Riau di atas sebab persekongkolan mereka dengan Portugis.

Kemuncak kepada gerakan jihad ke atas Portugis ini, pada November 1628M, Sultan Iskandar Muda telah mengirimkan 236 buah kapal bersama 20,000 tentera untuk mengepung Melaka. Armada Portugis yang diketuai oleh Deigo Lopez de Francesca telah tersepit dengan kepungan selama lima bulan ini, kerana kebanyakan kekuatan Portugis di Nusantara telah dimusnahkan oleh Belanda, menyebabkan mereka kesukaran mendapat bantuan. Akhirnya, Portugis terpaksa berundur dan Aceh dapat menguasai Melaka selama lapan bulan. Dalam bulan Februari 1630M, Raja Bujang (Sultan Abdul Jalil III), Sultan Pahang telah menyerang Melaka untuk membantu Portugis dan menyerang Aceh. Terkejut dengan serangan dari Pahang ini dan juga ketibaan bantuan dari Portugis di Goa, Aceh terpaksa berundur dan Portugis kembali berkuasa di Melaka.

Sheikh Syamsuddin as-Sumatra-i: Tokoh Jihad Aceh

Sheikh Syamsuddin as-Sumatra-I adalah adalah ulamak besar Nusantara pada abad ke-17M, sezaman dengan Sheikh Nuruddin ar-Raniri (m. 1658M) dan Sheikh Abdul Rauf Ali Singkel (m. 1693M). Beliau dilahirkan sekitar awal 1500M di Pasai. Ayahnya, Sheikh Abdullah as-Sumatra-i juga seorang ulamak. Setelah belajar dengan ayahnya dan beberapa ulamak Pasai, Sheikh Syamsuddin dikatakan belajar dengan Sunan Bonang (m. 1525M) di Jawa dan menjadi murid utama Sheikh Hamzah Fansuri (m. 1525M). Beliaulah yang dikatakan mewarisi pemikiran tasawuf Fansuri yang kemudiannya bertembung dengan ar-Raniry, walaupun tidak sempat bertemu dengannya.

Sebagai seorang ulamak muda, as-Sumatra-i diberikan peranan besar dalam Kerajaan Aceh di mana beliau dilantik sebagai Qadhi Malikul Adil (Ketua Hakim Negara), sekali gus sebagai Ketua Balai Gading Kerajaan Aceh. Qadhi Malikul Adil merupakan jawatan kedua tertinggi di Aceh, di mana pada akhirnya beliau menjadi Sheikh al-Islam Aceh. Beliau juga disebutkan sebagai Penasihat Sultan kepada Sultan Alauddin Riayat Syah IV (1596-1604M) dan Sultan Iskandar Muda, sekali gus menjadi Perdana Menteri Aceh. Dengan kedudukan dan pengaruhnya itulah, beliau memainkan peranan besar dalam gerakan jihad yang berlaku, terutama untuk menyekat pengaruh Portugis dan membebaskan Melaka.

Sebagai seorang ulamak besar, beliau telah menghasilkan sejumlah kitab yang kebanyakannya adalah kitab tasawuf aliran Sheikh Hamzah Fansuri sekitar 20 buah, di mana Sheikh Abdul Samad al-Falembani turut memetik pandangan dalam kitabnya, Jawahirul Haqaaiq dan Tanbiihut Thullab. Ar-Raniry yang tidak sejalan dengan beliau dalam ilmu tasawuf turut mengakui di dalam Bustanus Salatin bahawa “Adalah Sheikh (Syamsuddin) itu alim pada segala ilmu dan ialah yang termasyhur dengan pengetahuannya pada ilmu tasawuf dan beberapa kitab yang ditulisnya.

Jihad Dikhianati: Temui Syahid di Melaka

Di sebalik kemasyhurannya sebagai seorang ulamak dan tokoh negarawan yang penting ketika Aceh berada di kemuncak kemasyhurannya, Sheikh Syamsuddin sangat giat mendukung gerakan-gerakan jihad ke atas Portugis di Melaka. Tidak berpuas hati dengan kegagalan Aceh untuk menghalau Portugis sejak 1537M, pada November 1628M, Sheikh Syamsuddin telah turun sendiri untuk memimpin jihad di Melaka sehingga Portugis berjaya ditewaskan. Ia bermula pada November 1628 apabila satu ketumbukan armada Aceh seramai 20,000 orang bersama 236 buah kapal diketuai oleh sebuah kapal perang terbesar, sepanjang 100 meter dan mempunyai tiga layar serta puluhan meriam. Kapal ini dinamakan Cakra Dunia yang bermaksud “Penggegar Dunia.” Mereka bergerak dari Aceh dan menyerbu Melaka.

Dalam perang ini, Sungai Melaka berjaya dikuasai oleh Aceh sehingga tentera Portugis terkeluar dari benteng pertahanan St John. Kemudian kubu Portugis di sebuah gereja bernama Madre de Dios, di atas Bukit Kota Melaka pula pecah setelah dua bulan dikepung. Portugis kemudiannya lari ke benteng terakhir mereka, di Bukit St Paul atau Bukit Cina. Kepungan terus berlangsung selama tiga bulan lagi, dan pada Mei 1629M, Portugis terpaksa berundur dari Melaka setelah bekalan mereka habis. Melaka jatuh ke tangan Aceh selama lapan bulan. Portugis cuba mendapatkan bantuan dari Wizurai di Goa, India dan mencari sekutu dari kalangan raja-raja Melayu. Setelah lapan bulan Aceh menguasai Melaka, pada Februari 1630M, sekutu Portugis dari Pahang telah datang membantu, serentak dengan ketibaan kapal Portugis dari Goa.

Pengkhianatan Raja Bujang (Sultan Abdul Jalil III), Raja Pahang ketika itu, telah membuatkan keadaan pertahanan Aceh menjadi huru-hara kerana serangan luar jangka ini. Pertahanan Aceh yang dipimpin oleh Orang Kaya Laksamana berada dalam keadaan leka ketika diserbu oleh tentera dari Pahang sehingg kubu Aceh pecah. Di sinilah berlakunya perselisihan antara Orang Kaya Maharaja Sri Maharaja dengan Orang Kaya Laksamana yang disebut oleh ar-Raniry dalam Bustanus Salatin. Akibatnya Kota Melaka tak terkawal lalu diserbu oleh musuh, sehingga ramai tentera Aceh telah syahid, termasuk Sheikh Syamsuddin sendiri. Selepas itu, kedua-dua Orang Kaya yang memimpin tentera Aceh ini terpaksa berundur dari Melaka pada akhir Februari 1630M.

Sejak itu juga, Sultan Iskandar Muda tidak lagi menyerang Melaka sehingga baginda wafat pada 1636M, kecuali menyerang Pahang di atas pengkhianatan itu pada 1630M dan 1634M. Tarikh kematian Sheikh Syamsuddin dicatatkan oleh ar-Raniry dalam Bustanus Salatin. Raniry mengatakan beliau syahid dalam perang ini pada Isnin, 12 Rejab 1039H, iaitu bersamaan 24 Februari 1630M. Walaupun beliau lahir di Pasai dan berkhidmat sebagai pembesar utama Kerajaan Aceh, tetapi Allah mentaqdir beliau syahid di Melaka. Maqam as-Syahid Sheikh Syamsuddin al-Sumatra-i terletak di Kg Ketek, Melaka. Kematian Sheikh Syamsuddin ternyata memberi kesan yang agak besar terhadap gerakan jihad di Melaka, walaupun selepas itu Sheikh Abdul Rauf Singkel dan ar-Raniry menjadi tokoh ulamak utama dalam Kerajaan Aceh pada abad ke-17M.

*Gambar: Perang Acheh-Portugis di Melaka pada tahun 1628-1630.

Pautan:

Artikel asal – https://m.facebook.com/mohdfadlighani

Tinggalkan komen anda