Senjata [Qatar – Saudi]

Senjata [Qatar – Saudi]

Pakistan ialah sebuah negara yang berkepentingan dalam krisis diplomatik Qatar pada hari ini, walaupun terletak di luar rantau Teluk dan Asia Barat. Pakistan telah membina hubungan baik dengan kedua-dua Turki dan Qatar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada masa sama, Pakistan juga telah beberapa kali mengelak daripada terlibat dalam agenda dasar luar Saudi, terbaharu apabila menolak daripada menyertai operasi ketenteraan pimpinan Saudi di Yaman. Imbangan ini kelihatan makin sukar kepada Pakistan, lebih-lebih lagi sekiranya Saudi dan Emiriyah bertindak terhadap Pakistan.

Satu kuasa dimiliki Arab Saudi dan Emiriyah ialah pekerja dan warga Pakistan yang menetap di dua negara Teluk itu, yang juga menyumbang kepada ekonomi Pakistan. Menurut laporan al-Jazeera memetik sumber rasmi, seramai 1.9 juta warga Pakistan menetap di Arab Saudi, dan 1.2 juta lagi di Emiriyah, sebahagian besar bekerja. Hanya 115,000 berada di Qatar. Jumlah wang dihantar pulang ke Pakistan melebihi AS$4 bilion dari Saudi dan AS$3 bilion dari Emiriyah, manakala dari Qatar cuma AS$304 juta.

Riyadh pernah menggunakan “leverage” ini menjelang Perang Teluk 1990 terhadap Yaman. Yaman pada masa itu – yang baru bersatu antara Yaman Utara dan Selatan – menjadi ahli Majlis Keselamatan PBB. Yaman berkecuali dalam undian resolusi untuk menghukum Iraq, lalu dianggap menyebelahi Iraq dan khianat terhadap Saudi. Riyadh menghukum Yaman dengan menghalau warganya yang bekerja di Arab Saudi, dan tindakan ini diikuti oleh negara Arab Teluk lain. Sekitar 800,000 rakyat Yaman akhirnya pulang, menyebabkan satu masalah sosial dan ekonomi yang besar di negara termiskin Semenanjung Arab itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *