SAMAN SARAWAK REPORT – AYAH CHIK 1, BROWN 0

SAMAN SARAWAK REPORT;
AYAH CHIK 1, BROWN 0

Presiden PAS telah memulakan proses tuntutan sivil terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown pada Disember tahun lepas. Pada ketika itu peguam Ayah Chik telah menghantar surat tuntutan guaman kepada Brown menuntut beberapa perkara. Firma guaman yang mewakili Ayah ChiK di UK adalah Carter-Ruck, firma yang juga sebelum ini mewakili beliau ketika menang kes saman terhadap akhbar Daily Mirror pada tahun 2008.

Notis saman secara rasmi diterima oleh Brown adalah pada April tahun ini, setelah berbagai karenah dilakukan oleh pihak mereka seolah sengaja melengahkan masa. Pendengaran pertama kes ditetapkan pada 16 Jun untuk mendengar keterangan dari kedua-dua belah pihak.

Malangnya editor SR itu tidak mengemukakan keterangan, sebaliknya memohon jaminan kos dahulu (security for cost) daripada pihak Presiden PAS. Maka mahkamah menetapkan pendengaran kedua pada 2 Ogos untuk memutuskan permohonan tersebut.

Jaminan kos adalah satu bentuk deposit wang kepada badan kehakiman supaya pampasan kos pihak pemohon terjamin sekiranya kes berjaya dimenangi pihak mereka kelak. Brown menuntut sebanyak 800k Pound Sterling sebagai jaminan kos.

Ketika pendengaran, peguam Brown mengemukakan tiga hujah kenapa mereka menuntut jaminan kos. Pertama kerana Presiden PAS berada di Malaysia. Dakwanya badan kehakiman di Malaysia pula tidak mampu menguatkuasakan keputusan mahkamah di UK kerana tidak memiliki perjanjian bersama dalam perkara tersebut.

Malangnya hakim menolak hujah itu selepas peguam Ayah Chik menyatakan perjanjian tersebut wujud sejak merdeka lagi, iaitu pada tahun 1958 dikenali sebagai Akta Penguatkuasaan Penghakiman Bersilang 1958 (pindaan 1972).

Hujah kedua pula, peguam Brown menyatakan bahawa beliau tidak dapat ke Malaysia untuk menuntut kos penghakiman nanti kerana terdapat waran tangkap ke atasnya. Namun hujah itu juga dipatahkan oleh peguam Ayah Chik apabila menjawab bahawa beliau tidak perlu pun ke Malaysia untuk menuntut kos tersebut. Lantik sahaja peguam di sana untuk menguruskannya sebagaimana yang dilakukan oleh Ayah Chik ketika ini. Sepanjang kes berjalan, beliau tidak pernah hadir walaupun sekali.

Akhirnya hujah kedua juga ditolak mahkamah.

Hujah ketiga yang dikemukakan agak kelakar. Beliau mendakwa sistem kehakiman di Malaysia adalah korup dan mustahil beliau akan mendapat pampasan kosnya. Mendengarkan perkara tersebut, hakim berang lalu meninggikan suara di mahkamah. Beliau menempelak bagaimana peguam Brown boleh menyatakan demikian tanpa disokong apa-apa bukti.

Barangkali yang membuatkan hakim begitu marah adalah kerana beliau juga dari sekolah undang-undang yang sama dengan hakim Malaysia. Kebanyakan pengamal undang-undang terutama yang senior di Malaysia menerima pendidikan di United Kingdom. Boleh jadi ramai hakim kenalan beliau di Malaysia. Boleh jadi juga beliau sendiri pernah berkhidmat di Malaysia.

Saya tak dapat bayangkan bagaimana peguam itu boleh menuduh sistem kehakiman Malaysia ini korup sedangkan yang menyebelahi Sarawak Report di Malaysia juga ramai peguam yang berada dalam sistem ini. Hanipa Maidin, Zaid Ibrahim, Siti Kasim dan ramai lagi. Mungkin yang dimaksudkan korup adalah mereka-mereka ini.

Akhirnya hakim menolak segala hujahan dan permohonan editor SR. Atas kesinambungan itu, pihak Presiden PAS pula menawarkan sejumlah 80,000 ringgit sebagai jaminan kos kepada pihak mereka, mengambil kira proses penguatkuasaan penghakiman di Malaysia. Hakim bersetuju dengan tawaran tersebut.

Apa yang menarik, hakim telah mengumumkan bahawa sesi ini telah dimenangi oleh pihak Ayah Chik. Oleh itu beliau mengarahkan pihak Brown membayar dua pertiga daripada jumlah kos semasa pihak Ayah Chik, selain menanggung sendiri kos mereka.

Sebagai pendahuluan, sejumlah 15000 pound perlu dibayar ‘segera’ kepada pihak Ayah Chik. Bakinya perlu dijelaskan sebelum 23 Ogos akan datang. Jika Brown gagal berbuat demikian, beliau boleh diisytiharkan muflis oleh Mahkamah UK.

Peguam Brown tidak berpuashati. Beliau bangun untuk merayu dikaji semula ketetapan tersebut. Hakim dengan tegas mengatakan, tiada sebarang rayuan diterima! Itulah padahnya cari pasal dengan sistem kehakiman.

Perbicaraan akan bermula 23 Ogos nanti. Editor SR itu wajib kemukakan semua bukti-bukti dakwaannya tentang 90 juta yang disebutkan. Walaupun gagal berbuat demikian setelah dituntut sejak hampir setahun lalu, kali ini beliau tidak akan dapat lari lagi.

Tidak sabar untuk menunggu babak seterusnya, bagaimana beliau bakal dikantoikan terkontang-kanting bersama konco-konconya. Mahathir, Rafizi, Nik Nazmi PKR, Dyana Sofya DAP dan yang seangkatan dengannya.

Tahniah Carter-Ruck. Tahniah Presiden PAS. Anda beroleh kemenangan pertama yang cukup bergaya. Syabas juga untuk hakim yang sempoi.

(Alang Ibn Shukrimun)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *