SALAH FAHAM TERHADAP PELARIAN ROHINGYA

Oleh: Firzan Haniff
24 April 2020

Rohingya; sebuah etnik yang menjadi pelarian sebelum COVID-19, dan masih pelarian ketika COVID-19.

Pertama, perlu dijelaskan beberapa salah faham berkenaan Rohingya. Salah faham yang telah mengundang terlalu banyak kebencian, diskriminasi, dan komen rasis.

1- “Rohingya ialah pelarian Bangladesh.” Salah. Rohingya ialah sebuah etnik, dan penduduk asal Rakhine, Myanmar. Sebab tu Bangladesh tak terima depa. Myanmar dakwa Rohingya ialah etnik Bengali dan tak mengiktiraf Rohingya sebagai warganegara.

2- “Rohingya dibenci sebab pengotor.” Betul dan salah. Ya, ada yang pengotor. Tapi, Rohingya dibenci di Myanmar juga sebab mereka berbeza dari rakyat Myanmar yang lain. Rakyat Myanmar berkulit sawo matang, Rohingya berkulit gelap. Rakyat Myanmar beragama Buddha, Rohingya beragama Islam, solat, pakai hijab. Ini bertentangan dengan polisi asimilasi kerajaan Myanmar.

3- “Rohingya dihalau dari Myanmar.” Betul dan salah. Bukan setakat dihalau, tetapi ada laporan bahawa Rohingya juga dibunuh, dirogol, dimusnahkan rumah, dan dikenakan polisi mengawal kelahiran. Sekarang, Myanmar sedang disiasat atas tuduhan pembasmian kaum (genocide) terhadap Rohingya.

Kedua, dilema antara bantuan kemanusiaan dan kedaulatan negara.

Ini dilema sepanjang zaman; mana yang perlu diutamakan. Untuk menyelamatkan nyawa, bantuan kemanusiaan mesti diberikan oleh semua negara. Tapi, untuk mengelak kebanjiran warga asing, mengutamakan dana negara kepada rakyat, dan menjaga kesihatan awam pada waktu COVID-19, kedaulatan negara perlu dijaga.

Perkara ini memerlukan pertimbangan dan kerjasama semua pihak; negara, badan antarabangsa, dan badan bukan kerajaan. Negara ada rakyat yang perlu dijaga, pelarian juga merupakan manusia yang mesti dijamin hak untuk hidup. Jadi, perlu ada situasi menang-menang.

Ketiga, peranan entiti berkaitan.

1- Suruhanjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR). UNHCR perlu mengkoordinasi pergerakan pelarian. Kalau nak negara terima pelarian, UNHCR perlu bagi bantuan untuk menampung kos hidup dan kos pengawalan COVID-19 dalam kalangan pelarian.

2- ASEAN. Apa yang korang buat woii!!! ASEAN mempunyai dasar tidak campur tangan (non-interference), sebab tu ASEAN tak boleh ambil tindakan terhadap Myanmar. Tetapi, atas dasar setiakawan, ASEAN sepatutnya membuka lebih ruang kepada pelarian dan tidak hanya berharap Malaysia menerima pelarian Rohingya.

3- NGO antarabangsa. Kena juga tolong, baik dari segi kewangan, tempat tinggal, makan minum, perubatan, dan pendidikan untuk pelarian. Sangat hipokrit jika NGO menyalahkan negara yang menolak pelarian, tapi depa sendiri tak tolong, malah negara asal aktivis depa pun menolak pelarian.

4- OIC. Well, Rohingya dihalau kerana identiti Islam depa, jadi sewajarnya OIC pun terlibat. Setakat ini, negara OIC memberi bantuan kewangan kepada pelarian Rohingya. Gambia, dengan sokongan OIC dah dakwa Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Depa dah berjaya mendapat perintah langkah sementara supaya siasatan dapat dijalankan terhadap Myanmar atas tuduhan pembasmian kaum.

Malaysia sebagai ahli OIC dan ASEAN, dah banyak menanggung kos hidup 100,000 Rohingya di sini. Dari sudut pendidikan, sekolah didirikan oleh NGO Malaysia. UIAM menerima banyak pelarian, termasuk Rohingya untuk belajar, dengan harapan depa boleh ubah masa depan bangsa dan negara depa.

Tanggungjawab kemanusiaan terhadap Rohingya bukan bola yang boleh ditendang sana sini, baik oleh negara, badan antarabangsa, dan NGO.

Pelarian Rohingya itu manusia; depa ada nyawa yang perlu dijaga. Jangan dihina depa bela kambing dalam rumah, kerana depa tak faham budaya orang. Jangan diperli Bahasa Inggeris depa, kerana susah payah depa cuba belajar.

Bukan meminta untuk diambil Rohingya dan kambing mereka masuk ke rumah. Cukuplah sekadar secebis simpati dan tidak menghina mereka, kerana mereka manusia, dan saudara seagama. Kerana kita juga berada di bulan mulia.

Salam Ramadhan al-Mubarak!

Tinggalkan komen anda