Saidina Umar Al-Khattab RA

 

Era sebelum Islam.

Beliau merupakan seorang pemuda yang terpelajar di zamannya kerana beliau tahu membaca dan menulis ketika kebanyakkan kaum arab pada masa itu buta huruf.

Beliau juga berkebolehan menghadapi musuh dengan gagah berani dan bijak dalam berhujah. Beliau sering menjadi wakil untuk berunding dengan kabilah-kabilah arab pada masa itu yang bersifat suka berperang dan ganas. Ini menjadikan beliau sangat berpengalaman dalam menguruskan pergolakkan yang berlaku dan membuat keputusan yang bijak dalam keadaan yang menekan.

Pada zaman jahiliyyah juga, terdapatnya pasar-pasar yang menjadi tempat kaum arab menunjukkan kebolehan mereka dalam bersyair dan berpidato. Saidina Umar sering menyertai masyarakat arab di pasar pada ketika itu dan mengikuti perkembangan sastera arab. Keilmuan beliau dari sudut ilmu sastera ini terbukti pada kisah pengislamannya apabila mendengar bacaan Al-Quran di rumah adiknya.

●Keilmuan yang diiktiraf.

عن ابن عمر قال : قال رسول الله صلى عليه وسلم : رأيت كأني أتيت بقدح لبن، فشربت منه، وأعطيت فضلي عمر بن الخطاب. فقالوا ما أولته يا رسول الله؟ قال : العلم.

Dari Ibni Umar ra katanya : sabda Rasulullah saw : Aku bermimpi dibawa bekas yang berisi susu, lalu aku minum daripadanya dan aku beri yang selebihnya kepada Umar bin Al-Khattab. Para sahabat bertanya : Apakah takwilnya? Baginda menjawab : Ilmu.

Menandakan keilmuan Umar diiktiraf oleh Allah swt dan Rasulullah saw.

●Wahyu yang memihak kepada Umar.

Kebijaksanaan idea Saidina Umar semakin terserlah apabila turunnya wahyu yang menyokong pendapat beliau, antaranya :

Kisah pertama.

• Umar mencadangkan kepada Rasulullah saw supaya para isteri baginda mengenakan pakaian hijab ketika datangnya tetamu-tetamu yang mengunjungi baginda di rumahNya kerana tetamu yang datang itu ada yang baik dan ada yang fasik tidak menghormati rumah Rasulullah saw tempat menginap para ummahat al-mukminin. Lalu Allah swt menurunkan firmanNya Surah Al-Ahzab ayat 53-54 yang menegah orang-orang yang beriman dari memasuki rumah Nabi melainkan telah mendapat izin dari baginda.

Kisah kedua.

• Seusai perang badar, Umar mencadangkan untuk dibunuh beberapa orang tawanan yang dilihat sangat memusuhi Islam pada ketika itu, namun Rasulullah saw memilih cadangan Abu Bakar untuk dikenakan fidyah ke atas mereka. Lantas Allah menurunkan wahyu supaya di ambil kira pandangan Umar terhadap tawanan perang yang tidak boleh dibebaskan kerana terlalu zalim.

● Sahabat yang memahami.

Ketika turunnya Surah Al-Maidah ayat yang ke-3 yang menyatakan kesempurnaan ajaran agama Islam, Saidina Umar berasa sedih dan menangis. Beliau memahami bahawa tugas nabi sudah pun selesai dan fahamlah dia bahawa Nabi juga akan menemui ajalnya tidak lama lagi.

● Bijak membaca keadaan.

Setelah wafatnya Nabi Muhammad saw, berlaku suasana yang agak tegang dikalangan orang-orang islam. Masing-masing tidak dapat menerima berita kewafatan nabi saw. Ketika itu Saidina Umar dapat menghidu kemungkinan dari golongan munafiq yang cuba memanipulasi isu kewafatan Nabi Muhammad saw. Ditakuti golongan munafiq ini akan menyebarkan fahaman-fahaman negatif untuk menjatuhkan motivasi umat islam pada ketika itu agar kembali menganut ajaran jahiliyah mereka yang lama dan meninggalkan ajaran islam.

Lalu Saidina Umar segera memainkan watak penting dengan membuat amukan dan menghunus pedangnya untuk memberi amaran kepada sesiapa yang mengatakan Nabi sudah wafat akan dipancung lehernya.

Sejarahwan berpendapat amukan Saidina Umar ini bukanlah amukannya yang sebenar. Bahkan hanya untuk menakutkan golongan munafiq. Mustahil sahabat yang pintar ini tidak boleh menerima kenyataan akan kewafatan Nabi Muhammad saw. Bahkan Saidina Umar lah yang memanggil sahabat-sahabat lain berkumpul untuk membincangkan perihal berkaitan kepimpinan umat islam selepas kewafatan Rasulullah saw.

● Tauladan yang baik.

Ketegasan dan keberanian Saidina Umar mempertahankan prinsip islam sangat digeruni musuh. Bacaan politiknya sangat tajam dan luas. Beliau juga menjadi orang kanan dan ahli mesyuarat terpenting di zaman Rasulullah saw.

Beliau bukanlah seorang yang bersikap samseng (sifat mazmumah) seperti mana yang difahami oleh sebahagian masyarakat kita. Sikap tawadhuk dan rendah diri beliau dapat dilihat melalui ucapan pertamanya ketika beliau dibaiah menjadi khalifah. Beliau adalah diantara 10 sahabat yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah saw.

Amirul Hidayat Ali
3 Oktober 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *