REKOD MENTERI LETAK JAWATAN EKORAN ISU KETIKA COVID

Oleh: Sofia Alwani Ali
2 Oktober 2020

New Zealand
2 Julai 2020: Menteri Kesihatan New Zealand letak jawatan selepas dikritik ekoran pelanggaran peraturan lockdown.

Kata David Clark, jika beliau terus memegang jawatan itu, pasti akan mengganggu respon kerajaan secara keseluruhan dalam menangani pandemik. Beliau selaku menteri sepatutnya bukan sekadar mematuhi arahan, bahkan menunjukkan contoh yang baik buat rakyat semua.

Beliau memahami kemarahan orang ramai dan mengakui kebodohan beliau di tengah-tengah kepanikan rakyat menghadapi pandemik COVID.

“At a time when we are asking New Zealanders to make historic sacrifices I’ve let the team down. I’ve been an idiot, and I understand why people will be angry with me”, ujar beliau.

Setakat Julai, 1528 kes positif atau kemungkinan positif. 22 angka kematian di New Zealand.

Poland
18 Ogos 2020: Menteri Kesihatan, Dr. Lukasz Szumowski meletakkan jawatan ekoran pelbagai isu dibangkitkan sepanjang era pentadbiran beliau. Dalam tempoh 9 bulan setelah mengangkat sumpah, beliau dikritik dalam pelbagai isu termasuk pemberian geran kerajaan bernilai 140 juta Poland złoty kepada syarikat adiknya.

Sebahagian kelengkapan medikal yang dibeli kerajaan turut dikesan tidak efektif. Dr. Lukasz, yang juga seorang cardiologist, meletakkan jawatan setelah timbalannya mengumumkan perletakan jawatan tanpa sebab.

Canada
18 Ogos 2020 : Menteri Kewangan Canada, Bill Morneau letak jawatan susulan kegawatan ekonomi Canada yang dijangka mencecah CDN$343 billion defisit bagi 2020-2021, paling teruk dalam sejarah Canada.

Ura-ura mengatakan pertembungan beliau dan Perdana Menteri dalam perbelanjaan bagi menangani COVID menyebabkan beliau meletakkan jawatan selain pelan rangsangan ekonomi yang dilihat menemui jalan gagal.

Ireland
21 Ogos 2020: Menteri Pertanian Ireland, Dara Calleary letak jawatan setelah didapati bersalah menghadiri majlis makan malam Kelab Golf Parlimen.

Akhir Jun yang lalu, Ireland menguatkuasakan peraturan COVID-19, salah satunya melarang perkumpulan melebihi 50 orang pada satu-satu masa.

Ketika itu, Calleary baru sahaja menjawat jawatan Menteri selama tempoh 1 bulan.

Czech
21 September 2020: Menteri Kesihatan Czech letak jawatan setelah gagal menurunkan graf COVID walaupun berjaya mengawal angka jangkitan pada peringkat awal.

Adam Vojtěch digantikan oleh pembantu beliau, epidimiologist Roman Prymula, pengatur strategi yang berjaya meredakan kes COVID sebelum itu.

Malaysia
Sementara itu di Malaysia, Timbalan Menteri Kesihatan, Noor Azmi Ghazali hanya didenda RM 1000 setelah didapati bersalah menghadiri majlis makan tengah hari tanpa mematuhi penjarakan sosial pada April lalu.

Begitu juga Menteri Pertanian, Mohd Khairuddin Aman Razali turut didenda RM 1000 setelah didapati bersalah melanggar arahan tempoh kuarantin selama 14 hari.

Tambah mengecewakan kami ahli PAS, beliau dipertahankan dengan hujah Hudhud yang ingkar arahan Nabi Sulaiman.

Hudhud dipanggil berkumpul bukan bertujuan mencegah wabak pandemik. Ketidakhadiran Hudhud barangkali tidak akan memudaratkan nyawa Nabi Sulaiman dan rakyat jelata ketika itu.

Pada ketika rakyat gelisah dihimpit tekanan ekonomi, kadar pengangguran meningkat dan kes COVID yang tidak surut di bumi Sabah, ahli politik pelbagai parti sibuk terbang ke sana tanpa sebab yang mendesak. Lagi-lagi PAS, yang langsung tidak bertanding walau 1 kerusi pun. Namun dapat kita lihat, tokoh Pas dari Selangor, Pahang dan lain-lain negeri tergedik-gedik mahu terbang ke Sabah walaupun mereka bukanlah Ketua Pemuda Negeri atau Pesuruhjaya Negeri.

Sikap pentingkan diri sebegini, gigih ke hulu ke hilir tunjuk sibuk, menggambarkan akal benak mereka. Selama ini berkempen undi parti DAP (era PR) atau MCA (era MN) atas alasan mudarat yang lebih ringan, apakah terbang ke daerah wabak itu dikira mudarat yang lebih ringan bagi mereka berbanding total lockdown? Teruk sekali pemahaman Fiqh Keutamaan mereka.

Menteri pelbagai negara tidak banyak berdolak-dalih, terus meletakkan jawatan atas dasar sikap tanggungjawab bukan sekadar isu melanggar SOP COVID, juga termasuk isu ekonomi dan pertikaian moral selaku menteri.

Tidaklah pelik jika kita rakyat Malaysia yang terkesan dengan pelaksanaan PKP seluruh Malaysia akibat sifat pentingkan diri para politikus, mengharapkan agar elaun dan pendapatan para Menteri turut dipotong 100% untuk kebajikan rakyat Malaysia.

Kita tidak perlu meminta mereka meletakkan jawatan, cukuplah mereka rasa sebulan dua hidup seperti marhaen yang lain. Sebahagian kita dipaksa cuti tanpa gaji, diberhentikan kerja dan hilang mata pencarian sepanjang PKPyang lalu. Apalah sangat setakat potong gaji Menteri untuk kebaikan negara kita semua bersama?

Rakan-rakan jom start petisyen, sertai third force hari ini.

Bak kata seorang teman,
“Good people will fight if we lead them.”

Tinggalkan komen anda