RAMADHAN ANTARA ADAT DAN IBADAT (SIRI 30) – RAMADHAN DAN SYAWAL

ADAT: Fikir tentang raya, pasti semua akan bertukar gembira. Bermacam plan yang sudah diatur untuk mengoptimumkan saat-saat beraya. Sudah tentu tiada siapa yang mahu menghabiskan masa hanya dengan tidur atau bersendirian sahaja.

Ziarah, juadah, rumah dan pakaian sudah tentu jadi adat kebiasaan untuk diuruskan. Semua mahu baru dan bergaya. Raya yang difahami ialah kemenangan mengalahkan jiran sekeliling dalam persiapan syawal. Semakin hebat persiapan, semakin besarlah makna raya hingga sanggup berhutang sana sini.

Ramadhan yang pergi dibiarkan sahaja tanpa diiring perasaan sedih dan rindu. Raya melupakan segala-gala kebaikan Ramadhan selama ini.

IBADAT: Raya adalah antara syariat Allah SWT terhadap hambaNya. Kita disunatkan bergembira serta menziarahi keluarga di samping mengenakan pakaian yang belum pernah dipakai.

Kegembiraan itu sebenarnya lahir kerana mengenangkan kemenangan umat Islam terhadap kuffar. Lihat sahaja bait makna takbir raya, menggambarkan kemenangan Islam terhadap pakatan musuh Ahzab. Ia juga adalah kemenangan bagi diri menewaskan nafsu dan syaitan sepanjang Ramadhan.

Anehnya kegembiraan kita adalah kerana berjaya keluar dari ibadat puasa. Ramadhan dianggap penjara nafsu yang menyeksakan. Lebih kurang sahaja perasaan gembira syaitan yang berjaya keluar dari belenggu sepanjang Ramadhan. Mungkin kerana itu perangai syaitan kembali terserlah di hari raya. Makan sepuasnya, membazir, mendedah aurat, bergosip, saling menunjuk dan berhasad dengki.

Sebaiknya rasa gembira itu tidak mengalahkan rasa sedih meninggalkan Ramadhan. Dengan perginya Ramadhan, Tiada lagi rahmat tuhan semewahnya. Tiada lagi pengampunan selebatnya, dan tiadalah lagi perlindungan dari malapetaka syaitan untuk 11 bulan akan datang.

Walau Ramadhan telah pergi, namun Allah Maha Kekal.

“Jadilah hamba tuhan, jangan jadi hamba Ramadhan.”

 

“RAMADHAN UNIVERSITI RABBANI”

Tinggalkan komen anda