RAMADHAN ANTARA ADAT DAN IBADAT (SIRI 29) – ZIARAH KUBUR

ADAT: Ziarah kubur amalan yang dianggap wajib di pagi 1 Syawal. Tidak lengkap rasanya beraya tanpa mengziarahi kubur sanak saudara terdekat. Tanah kubur akan meriah dengan kunjungan berbagai lapisan manusia.

Mengziarahi kubur tentunya akan didatangi perasaan sedih mengenangkan orang yang telah tiada. Ditambah takbir yang mendayu-dayu, tentunya raya menjadi saat paling perit untuk diharungibagi insan yang baru kehilangan orang tersayang.

IBADAT: Raya sebenarnya adalah hari bahagia, hari kemenangan dan hari bergembira. Tujuan disyariatkan menziarahi kubur pula adalah supaya kita sentiasa mengingati mati.

Dari suatu sudut, mood keduanya agak berlawanan. Dibimbangi ziarah kubur hanya dibuat sebagai adat semata-mata, sedang hati langsung tidak mengenang kematian. Apatah lagi ziarah itu dengan bermacam busana yang menjolok mata. Tanah perkuburan bertukar jadi tempat maksiat pula.

Maka ada baiknya sekiranya adat menziarahi kubur dibuat sebelum atau selepas Syawal. Paling tidakpun petang Ramadhan terakhir. Dengan penuh kesedihan mengenangkan yang tiada, boleh jadi ianya mampu menambah syahdu dan hiba dengan pemergian Ramadhan.

Saat itu juga doa sangat mudah untuk dikabulkan, kerana sedang berpuasa dan di akhir Ramadhan pula. Apatah lagi doa itu dari seorang anak untuk ibubapa mereka di alam sana, sangat-sangatlah mustajab.

Amatlah bagus sekiranya kita mampu menziarahi kubur sepanjang bulan Ramadhan. Seluruh hari-hari Ramadhan akan membuatkan kita sentiasa mengenang kematian. Lalu hubungan dengan urusan dunia akan berkurang, dan ibadat akan sentiasa dipertingkat sebagai persediaan menghadapi segala kemungkinan.

 

“RAMADHAN UNIVERSITI RABBANI”

Tinggalkan komen anda