RAMADHAN ANTARA ADAT DAN IBADAT (SIRI 28) – BALIK KAMPUNG

ADAT: Pastinya sudah ramai saat ini yang berada di lebuhraya untuk pulang berhari raya di kampung. Masing-masing merancang perjalanan dengan rapi agar sampai pada waktu yang paling sesuai.

Ada yang memilih malam. Ada yang memilih siang. Langit kota akan sunyi kerana deruan enjin akan beralih bingit di denai-denai desa pula.

IBADAT: Apabila bermusafir di bulan Ramadhan, kita diberi pilihan samada untuk berbuka atau meneruskan puasa. Di zaman Rasulullah, pernah para sahabat bermusafir bersama baginda. Ada sebahagian berpuasa dan sebahagian lagi tidak. Masing-masing tidak dipersalahkan oleh Rasulullah SAW.

Walaubagaimanapun, perlu diingat sekalipun kita bermusafir, kita masih tetamu Ramadhan. Justeru usah diabai ibadah lain. Yang bermusafir di siang hari boleh menuturkan zikir atau ayat Al-Quran yang dihafal. Ataupun pasang alunan wahyu atau zikir dan menghayatinya sambil hati mengingati Allah. Ia lebih baik dari lagi-lagu raya atau radio.

Yang bermusafir di malam hari, boleh sahaja solat terawih dan qiamullail di dalam kenderaan mengikut ruang yang ada. Sekiranya boleh berdiri dan menghadap kiblat, wajib lakukan. Sekiranya tak mampu, hadaplah sewaktu takbiratul ihram sahaja. Sekiranya tak mampu juga, lakukan seadanya.

Nabi SAW biasa solat di atas kenderaannya. Menurut Ulama, solat sunat yang tidak perlu dilakukan pada waktu musafir hanyalah solat rawatib. Solat lain fadilatnya masih sama.

 

“RAMADHAN UNIVERSITI RABBANI”

Tinggalkan komen anda