RAMADHAN ANTARA ADAT DAN IBADAT (SIRI 27) – DIDIK ANAK

ADAT: Ramai ibubapa ghairah mendidik anak-anak supaya turut berpuasa. Bermacam cara digunakan. Yang paling popular adalah mengupah dengan duit raya. Ada juga yang mendenda akibat tidak puasa.

Ironinya, kesungguhan itu tidak kelihatan dalam bab solat. Tiada tawaran upah atau denda sekiranya anak meninggalkan solat.

IBADAT: Nabi SAW bersabda, ajarlah anakmu solat sedari umur tujuh tahun, dan pukullah bila sampai 10 tahun. Nabi tidak pula menyebut tentang puasa ataupun ibadah lain. Kenapa ya?

Ini kerana solat adalah asas utama pembentukan peribadi muslim. Orang yang menjaga solat, insyaAllah akan mudah menjaga puasa dan ibadat lain. Sebaliknya mereka yang diabaikan pendidikan solat akan menjadi liar dan sukar dikawal. Allah yang berfirman: Solat itu pencegah perbuatan keji dan mungkar.

Ramai kita lihat yang berpuasa tapi tidak solat. Tapi tak pernah kita jumpa orang solat tetapi tidak berpuasa.

Ajar anak berpuasa juga perlukan seni dan peringkat. Kalau solat yang 5 minit sekali itupun perlukan 3 tahun sebelum pukul, apatah lagi puasa yang terpaksa menahan lapar dahaga, mengawal aktiviti seharian dan memperkenalkan makanan yang sesuai.

Ajarlah berperingkat. Mulakan dengan berpuasa pagi sahaja dahulu, kemudian ke tengahari dan begitulah sehingga sempurna. Yang paling penting berikan kesedaran kenapa mereka perlu berpuasa.

Jangan hanya ajar di bulan Ramadhan sahaja. Perbuatan setahun sekali lebih menyukarkan walaupun sekali. Sekiranya ajar anak di bulan lain, pastikan ibubapa turut berpuasa sama.

 

“RAMADHAN UNIVERSITI RABBANI”

Tinggalkan komen anda