RAMADHAN ANTARA ADAT DAN IBADAT (SIRI 26) – ZAKAT

ADAT: Menjelang Syawal, kaunter-kaunter zakat mula tumbuh bak cendawan selepas hujan. Di pasaraya, masjid, surau, stesen minyak hatta di hentian lebuhraya turut disediakan perkhidmatan ini. Perakara ini sudah tentu memudahkan urusan pembayaran.

Namun masih ada yang memilih untuk membayar dengan beras. Biasa kelihatan di kampung, penuh kampit-kampit beras mengisi ruang belakang masjid, sebagai tempat simpanan zakat sebelum diagihkan.

IBADAT: Tujuan zakat terhadap pembayar adalah untuk menyucikan hartanya. Tujuan terhadap penerima pula adalah supaya mereka mampu beraya seperti kita.

Melihat situasi hari ini, zakat dalam bentuk wang lebih bermakna untuk menyambut perayaan berbanding beras. Kemeriahan raya hari ini bukan sekadar mampu makan dan minum sahaja.

Zakat diwajibkan bermula tamatnya hari terakhir Ramadhan sehingga didirikan solat sunat aidilfitri. Namun digalakkan membayar awal agar zakat sempat dibelanjakan oleh penerima.

Tiada masalah untuk membayar sahaja di kaunter yang terdekat, tetapi lebih baik agar diberikan sendiri kepada fakir miskin, terutama sanak saudara yang mempunyai ikatan silaturrahim dengan kita. Paling tidakpun, carilah amil di kampung kita sendiri.

Ulama menyatakan, membayar kepada sanak saudara memperoleh dua pahala, pertamanya pahala zakat dan kedua pahala bersilaturrahim. Zakat juga akan lebih terjamin sampai ke tangan asnaf dan kita juga boleh melihat sendiri kehidupan sebenar orang tidak bernasib baik untuk mendidik jiwa lebih bersyukur.

 

“RAMADHAN UNIVERSITI RABBANI”

Tinggalkan komen anda