RAMADHAN ANTARA ADAT DAN IBADAT (SIRI 23) – I’TIKAF

ADAT: Berbeza dari negara arab, budaya beri’tikaf pada bulan Ramadhan masih lemah di Malaysia. Mungkin kerana ramai memahami i’tikaf hanya cukup dengan singgah sebentar di masjid.

Peraturan yang ada juga mungkin menjadi penghalang. Terpampang jelas papan tanda ‘dilarang tidur’ menghiasi setiap dinding masjid. Ada masjid yang dikunci dan tidak membenarkan masyarakat masuk melebihi waktunya atas berbagai alasan.

IBADAT: I’tikaf adalah sunnah menetap dan bermalam di masjid untuk beribadat kepada Allah SWT. Baginda akan beri’tikaf bermula 10 hari terakhir hinggalah Syawal. Pada akhir hayat, baginda beri’tikaf bermula 20 malam yang terakhir.

Beri’tikaf mendidik diri berpisah dari harta, keluarga dan kehidupan sosial. Ia suatu uzlah yang amat baik sehingga Ulama menyarankan i’tikaf perlu juga dilakukan walau bukan di bulan puasa. Bagi yang tidak mampu seharian, beri’tikaflah sekadarnya.

Selain puasa, terawih dan tadarus, i’tikaf juga adalah suatu slot tarbiyah dalam sebulan program tamrin Ramadhan, yang boleh dikira sebagai kemuncak tamrin tahunan bagi seluruh umat Islam. Ia memberi kekuatan rohani tersendiri untuk menjadi hamba yang zuhud dan tinggi tawakkalnya.

Atas kepentingan ini, jawatankuasa Masjid sepatutnya menganjurkan kempen dan program menarik supaya i’tikaf dapat menjadi suatu budaya baru masyarakat kita. Untuk mengelakkan kecurian, langkah yang lain perlu diambil di bulan Ramadhan selain mengunci. Jika tidak, ianya secara tidak langsung boleh mematikan suatu sunnah yang amat besar kesannya dalam kehidupan seorang muslim.

 

“RAMADHAN UNIVERSITI RABBANI”

Tinggalkan komen anda