RAJA ALI KELANA: PEMBANGUN GERAKAN ISLAM BERORGANISASI NUSANTARA

Oleh: Mohd Fadli Ghani
Institut al-Balaghul Mubin
12 Ramadhan 1441 / 5 Mei 2020

*RAMADHAN DAN PERJUANGAN ~ 1441 (Siri 12)

KELEMAHAN utama yang menggagalkan usaha menghalau penjajah di Nusantara ialah kerana umat Islam tidak bersatu dan tidak mempunyai persatuan. Sejak dahulu orang Melayu hidup dalam heirarki feudal di mana raja menjadi ketua, pembesar menjadi pemimpin lapisan kedua, mana kala rakyat menjadi pengikutnya. Model feudal ini juga berkembang pula dalam institusi agama masyarakat. Tuan guru sebagai ketua, guru-guru pondok sebagai pemimpin lapisan kedua, para santri (anak-anak pondok) dan orang kampung menjadi pengikutnya. Keadaan ini dapat kita lihat dalam siri-siri peperangan, di Kedah pada 1838M misalnya. Tunku Muhammad Saad sebagai putera raja menjadi ketua, para pembesar daerah menjadi pemimpin lapisan kedua, sedangkan rakyat jelata yang tidak terlatih menjadi tentera kerahan jihad. Mereka kalah kerana tiada sistem, tanpa kemahiran dan tidak terancang.

Inilah perhatian besar yang diberikan oleh para ulamak untuk mengubah budaya pergerakan Islam dalam menghadapi musuh. Salah satu langkah penting dikemukakan oleh Sheikh Wan Ahmad al-Fathani ialah menubuhkan persatuan supaya perjuangan umat digerakkan secara bermunazomah. Beliau mengambil model Hizb al-Wathan di Mesir, lalu menubuhkan Jam’iyat al-Fathaniyah di Mekah untuk melatih anak-anak Melayu berorganisasi. Tiga muridnya yang paling menonjol dalam hal ini ialah Tok Kenali dari Kelantan, Raja Ali Kelana dan Syed Sheikh al-Hadi, kedua-duanya dari Riau. Berbeza dengan ulamak lain yang memberi fokus kepada bidang keilmuan, Raja Ali Kelana memberikan perhatian kepada pembangunan organisasi gerakan Islam, yang kemudiannya menjadi model kepada gerakan Islam di seluruh dunia.

Perjanjian Pangkor 1874M boleh dianggap titik kejatuhan negeri-negeri Melayu, walaupun penjajah telah masuk ke Melaka sejak 1511M. Sebelum itu, Portugis, Belanda dan British tidak berpengaruh di negeri-negeri Melayu kecuali Melaka, Pulau Pinang dan Singapura sahaja. Kesan Perjanjian Pangkor itu menyebab negeri-negeri Melayu satu-persatu jatuh. Inilah yang membuatkan para ulamak bertindak balas dengan menubuhkan Jam’iyat al-Fathaniyah di Mekah sejak 1873M dan segera mengembangkannya di Alam Melayu dalam dekad itu juga. Ketika ini, kerajaan Melayu Islam yang paling berpengaruh di Semenanjung ialah Kerajaan Johor-Riau yang mewarisi Melaka sejak 1511M. Pada 1824M, Kerajaan Johor-Riau telah pecah disebabkan oleh Perjanjian Inggeris-Belanda yang membahagikan kawasan Inggeris dan Belanda.

Perjuangan Berorganisasi Bermula

Melihat ancaman yang besar terhadap Kerajaan Johor-Riau yang telah terbahagi dua, iaitu Singapura, Johor dan Pahang termasuk dalam kawasan Inggeris, mana kala Kepulauan Riau termasuk Riau, Bintan, Batam dan Lingga telah masuk ke kawasan Belanda, menyebabkan Sultan Riau-Lingga mengambil langkah berjaga-laga. Baginda telah menghantar putera-putera istana ke Mekah dan Mesir untuk belajar, di samping membina hubungan dengan Khilafah Othmaniyah untuk mendapat perlindungan politik. Antara putera yang dihantar ke Mekah ialah Raja Ali Kelana, Raja Khalid Hitam dan Syed Sheikh al-Hadi.

Ketika berada di Mekah pada akhir abad ke-19M, mereka berguru dengan Sheikh Wan Ahmad dan terlibat dengan Jam’iyat al-Fathaniyah. Dari sinilah mereka mendapat pendedahan tentang budaya politik baru iaitu berorganisasi, bagi menggantikan budaya feudal yang diamalkan sebelum ini. Apabila pulang ke Pulau Penyengat, iaitu pusat pentadbiran Kerajaan Riau-Lingga, mereka telah menerokai politik baru, iaitu menubuhkan organisasi bagi menggerakkan kesedaran politik orang Melayu. Pada 1880M, Raja Ali Kelana sebagai Timbalan Yamtuan Muda Riau-Lingga, sekali gus adik kepada Sultan Abdul Rahman Muazzam Syah telah menubuhkan satu persatuan yang dinamakan sebagai Jam’iyat ar-Rusyidiyah di Pulau Penyengat. Inilah julung-julung kali umat Islam menubuhkan organisasi atau persatuan di Nusantara.

Raja Ali Kelana: Putera Penggerak Rakyat

Raja Ali Kelana adalah putera Johor-Riau yang menjadi pewaris jawatan Yamtuan Muda Johor-Riau (YTM). Yamtuan Muda Kelana adalah jawatan yang pertama kali diwujud oleh Daeng Kemboja kepada Raja Haji pada 1745M. Raja Ali adalah anak kepada Sultan Mohamad Yusof al-Ahmadi (YTM 10) ibni Raja Ali (YTM 8 ) ibni Raja Jaafar (YTM 6) ibni Raja Haji as-Syahid Marhum Teluk Ketapang (YTM 4) ibni Opu Daeng Chelak (YTM 2). Beliau dilahirkan di Riau, tetapi tarikh lahirnya tidak dicatatkan, mungkin sekitar 1850M. Pada awal 1870-an beliau pergi ke Mekah dan Mesir untuk belajar. Antara guru beliau di Mekah termasuklah Sheikh Wan Ahmad al-Fathani, Sheikh Said Abdullah Zawawi dan Sheikh Ismail Minangkabau. Beliau memakai gelar al-Ahmadi kerana menisbahkannya kepada mujaddid Naqsyabandiyah, Sayyid Ahmad al-Muzhar.

Setelah pulang ke Riau, beliau dilantik sebagai Engku Kelana Riau-Lingga. Tetapi beliau tidak sempat menjadi Yamtuan Muda kerana Kerajaan Riau-Lingga runtuh pada 1911M. Beliau memainkan peranan untuk mempertahankan Riau-Lingga dari dikuasai Belanda melalui hubungan diplomatik dengan Othmaniyah. Beliau mengunjungi sendiri khalifah di Istanbul pada 1883M, 1895M, 1905M dan 1913M. Apabila Kerajaan Riau-Lingga runtuh pada 1911M, seluruh keluarga sultan telah berhijrah ke Singapura. Beliau mulai terlibat dalam perniagaan perkapalan dan batu-bata, selain turut membuka percetakan atas arahan gurunya, Sheikh Wan Ahmad di Pulau Midai. Setelah itu, beliau dilantik oleh Sultan Johor sebagai Sheikhul Islam Johor, jawatan yang dipegang sehingga wafatnya pada 4 Disember 1927M / 10 Jamadil Akhir 1346H.

Di dalam pergerakan Islam, peranan Raja Ali Kelana boleh dilihat pada tiga aspek. Pertama, pembukaan percetakan Matbaah Amiriyah bagi Riau-Lingga yang berfunggi untuk menerbitkan kitab-kitab agama dan juga akhbar; kedua, penulisan buku-buku di mana enam buku telah ditulis, dan yang terpenting ialah “Kumpulan Ringkas: Berbetulan Lekas, Pada Orang Yang Pantas, Dengan Fikiran Yang Lintas” yang mengandungi nasihat-nasihat kepada raja; dan ketiga, penubuhan Jam’iyat ar-Rusyidiyah sebagai badan politik Islam pertama di Nusantara, diikuti oleh penubuhan Jam’iyat al-Khairiyah. Jam’iyat ini memberikan kesan terbesar terhadap perubahan pemikiran dan pergerakan politik orang Melayu. Boleh dikatakan kesan daripada kemunculan dua jam’iyat ini, maka merebaklah ke Singapura, Semenanjung dan Betawi tentang penubuhan kelab-kelab politik ini.

Gerakan Organisasi dan Kebangkitan Orang Melayu

Tiga sarjana terkemuka, William R Roff dan Khoo Kay Lim yang mengkaji kebangkitan nasionalisme di Malaysia dan AM Suryanegara yang mengkaji kebangkitan nasionalisme di Indonesia telah mengakui bahawa organisasi-organisasi politik hanya muncul di kedua-dua negara hanya berlaku selepas 1880M. Ia bermula di Riau pada 1880M, kemudian berkembang di Singapura dan Betawi. Yang terawal muncul di Indonesia ialah Jam’iyat al-Choir di Betawi pada 1899M, tetapi berdaftar pada 1905M. Pada 5 Oktober 1905M itu telah ditubuhkan Sarekat Dangang Islam di Solo yang menjadi asas kepada Sarekat Islam yang diwujudkan setahun kemudian. Sarekat Islam adalah gerakan Islam yang pertama di dunia, lebih awal dari Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan pada 1928M. Selepas Sarekat Islam, muncul pula Muhammadiyah (1912M), Nahdatul Ulamak (1926M) dan Perti (1930).

Di Tanah Melayu, perkembangan awal berlaku di Pulau Pinang dan Singapura. Di Pulau Pinang, muncul Muslim Recreation Club pada 1894M. Di Singapura pula beberapa persatuan seperti Persekutuan Darul Adab, Harbab Ashkaden, Persekutuan Darul Takzim telah ditubuhkan sekitar 1890-an, diikuti oleh Persekutuan Islam Singapura (1900M) dan Muslim Institute (1921M). Pada 1926M, ditubuhkan parti politik pertama di Malaya iaitu Kesatuan Melayu Singapura (KMS). Selepas itu barulah muncul kesatuan-kesatuan Melayu di Perak (1937M), Pahang (1938M), Selangor (1938M), Negeri Sembilan (1938M), Johor (1939M) dan Kelantan (1941M). Di peringkat nasional, muncul Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada 1937.

Dari segi pergerakan Islam, muncul kelab-kelab Islam di seluruh Tanah Malayu. Ia bermula dengan Jam’iyat al-‘Asriyah ditubuhkan oleh Tok Kenali pada 1915M di Kota Bharu. Kemudian muncul pula Persekutuan Keharapan Belia, Johor Bahru (1916M), Persekutuan Indera Kayangan, Alor Setar (1918M), Persekutuan Perbahasan Orang-orang Islam Muar (1919M), Persekutuan Guru-guru Melayu dan Guru-guru Islam (1920M) dan Jam’iyat ad-Dakwah Islamiyah Singapura pada 1934M. Di peringkat Nasional, muncul pula Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) pada 1934M. Sarekat Islam dari Indonesia juga turut mengembangkan sayap ke Singapura, Johor Bharu, Beserah, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang dan Patani pada 1920-an.

Di Indonesia, badan-badan politik Islam telah bergabung pada 1937M membentuk Majlis Islam A’la Indonesia (MIAI), yang kemudiannya dikenali sebagai Majlis Syuro Muslimin Indonesia (Masyumi) pada 1943M. Pada 1945M, umat Islam Indonesia menubuhkan Partai Masyumi. Di Tanah Melayu, selepas Jam’iyat Dakwah Islamiyah Singapura (1934M) ditubuhkan, muncul pula Jabhah Diniiah Islam Kelantan (1936M) dan Persatuan Ulamak Kedah (1946M). Pada 1947M, ditubuhkan pula Majlis Tertinggi Islam Malaya (MATA), diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948M dan kemudiannya Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) pada 1951M. Hasilnya, badan-badan politik Melayu dan gerakan Islam telah bergerak untuk menuntut kemerdekaan negara selepas Perang Dunia Kedua.

Tinggalkan komen anda