QARUN, PEMBIAYA POLITIK FIRAUN

Qarun merupakan satu watak hartawan yang menjadi penguat kepada kediktatoran Firaun. Dia mendakwa bahawa kekayaannya adalah hak mutlaknya yang boleh digunakan semahunya sungguhpun ke arah agenda-agenda yang zalim.

قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَىٰ عِلْمٍ عِنْدِي ۚ

Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”.

[Surah Al-Qasas, Ayat 78]

Dakwaan tersebut sama seperti logik amalan kapitalis moden yang berdasarkan syiar jahiliyyah iaitu “دعه يعمل، دعه يمر” dengan menjadikan material sebagai penentu kuasa, kepentingan, pengaruh dan sebagainya.

Golongan kapitalis cenderung mengutamakan orang kaya sehingga memperalat orang miskin. Mereka berbangga dengan kekayaan dan khanazah yang dimiliki.

Sabda Nabi SAW,

الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

Kesombongan itu menolak kebenaran & meremehkan manusia.

[HR Muslim]

QARUN MERUPAKAN PEMBIAYA KEPADA FIRAUN

Qarun bertindak sebagai kroni yang menjadi pembiaya ekonomi (funder) kepada kediktatoran Firaun.

Hubungan antara hartawan seperti Qarun dan politikus seperti Firaun sangat intim sejak dahulu sehingga ke hari ini. Masing-masing saling memerlukan.

Kapitalis inginkan hubungan politik untuk terus hidup manakala politikus memerlukan dana dan biaya untuk aktiviti politiknya.

AHLI SIHIR MEMINTA PERUNTUKAN DARIPADA FIRAUN

Ahli sihir merupakan jentera utama Firaun yang bertindak sebagai pemain propaganda untuk mengekalkan pengaruh Firaun.

Apabila Firaun mengumpulkan ahli sihir daripada seluruh pelosok Mesir untuk berlawan dengan Nabi Musa, ahli sihir mengambil peluang untuk mendapatkan habuan yang lumayan daripada tugasan tersebut.

Firman Allah dalam surah al-A’raf,

وَجَاءَ السَّحَرَةُ فِرْعَوْنَ قَالُوا إِنَّ لَنَا لَأَجْرًا إِنْ كُنَّا نَحْنُ الْغَالِبِينَ (113) قَالَ نَعَمْ وَإِنَّكُمْ لَمِنَ الْمُقَرَّبِينَ (114)

Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu berkata:

“Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat mengalahkannya?” (113) Firaun menjawab: “Benar, (kamu akan mendapat upah) dan kamu sesungguhnya (akan menjadi) dari orang-orang yang damping (denganku)” (114).

Logiknya, pastilah Firaun terpaksa memenuhi permintaan ahli sihir tersebut bagi memastikan perancangannya berjaya dan daripada siapakah lagi Firaun mahu mengambil dana jika bukan daripada Qarun yang merupakan pembiaya utama Firaun?

KEINTIMAN HUBUNGAN TAGHUT TIGA SERANGKAI DALAM ARENA POLITIK

Melihat politik hari ini, berapa ramai;

  • Penguasa yang gila kuasa seperti Firaun
  • Pembesar yang rela menjadi pengampu kepada penguasa demi periuk nasi sendiri seperti Haman
  • Hartawan yang sanggup bersekongkol dengan penguasa demi kemandirian diri sendiri seperti Qarun.

Agenda mereka dijayakan lagi oleh rakyat yang jahil dan selesa diperbodohkan dengan permainan politik.

Hakikatnya kesemuanya akan hancur kerana mempertuhankan dunia sehingga mendustakan dan menolak kebenaran sebagaimana yang berlaku pada Firaun, Haman dan Qarun.

Firman Allah dalam surah al-Ankabut,

وَقَارُونَ وَفِرْعَوْنَ وَهَامَانَ وَلَقَدْ جَاءَهُمْ مُوسَى بِالْبَيِّنَاتِ فَاسْتَكْبَرُوا فِي الأرْضِ وَمَا كَانُوا سَابِقِينَ (39) فَكُلا أَخَذْنَا بِذَنْبِهِ (40)

Dan (juga) Qarun, Fir’aun, dan Haman. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa dengan (membawa bukti-bukti) keterangan-keterangan yang nyata. Akan tetapi, mereka berlaku sombong di (muka) bumi dan tiadalah mereka orang-orang yang luput (dari kehancuran itu) (39). Maka masing-masing (mereka itu) Kami siksa disebabkan dosanya, (40)

Justeru kekuasaan, pekerjaan dan harta sama sekali tidak menjadi jaminan seseorang itu akan selamat lebih-lebih lagi di akhirat nanti.

Watak yang dimainkan akan terus wujud dengan wajah yang berbeza sebagai peringatan kepada kita agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan permainan politik.

Aishah Adilah
23 September 2018.

Tinggalkan komen anda