PRINSIP POLITIK MENURUT ISLAM

Oleh: Aziz Azhar
31 Januari 2019

Politik Islam tunjangnya kepada aqidah Tauhid (Allah yang Esa) dan menolak sebarang bentuk syirik (menyekutukan Allah dengan sesuatu). Politik Islam di sana ada hitungan dosa dan pahala di mana pengakhirannya menuju syurga atau neraka.

Dalam Islam, politik dikira satu bentuk pengabdian diri (ibadah) kepada Allah SWT menerusi Iman yang sifatnya mengikat roh dan jasad supaya manusia mampu melaksanakan kewajipan berpolitik mengikut acuan agama yang mewajibkan ketundukan dan kepatuhan secara mutlak kepada Allah SWT dan Rasul SAW di samping diizinkan berijtihad menggunakan kebijaksanaan dalam perkara-perkara yang sifatnya mutaghayyirat dalam agama sesuai dengan perubahan dan kehendak semasa.

Dr. V. Fitzgerald berkata, “Islam bukanlah semata agama (a religion), namun ia juga merupakan sebuah sistem politik (a political system). Meskipun pada dekad-dekad terakhir ada beberapa kalangan dari umat Islam, yang mendakwa diri mereka sebagai kalangan ‘modernis’, yang berusaha memisahkan kedua sisi itu, namun seluruh gagasan pemikiran Islam dibangun di atas fundamental bahawa kedua sisi itu saling bergandingan dengan selaras, yang tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain”.

Ketika berpolitik, Nabi Muhammad SAW bukan sahaja menentang kezaliman, tetapi pada masa yang sama beramal dengan keadilan menurut definisi Islam bukan Barat. Barat memandang istilah adil dengan sama rata sehingga mengabaikan hikmah di sebalik pensyariatan undang-undang Islam.

Hasil cernaan daripada Al-Quran dan sirah Nabi SAW, kita akan dapati realitinya umat Islam telah dibimbing dan dilorong dengan baik tentang prinsip politik Islam.

Aqidah Islam

Tauhid adalah akar kepada politik Islam. Aqidah Islam yang berdiri di atas konsep Tauhid (tiada Tuhan melainkan Allah SWT) merupakan prinsip pertama bagi sekalian ajaran Islam. Islam mengajar kita, syarat pertama amalan diterima adalah dengan Tauhid kepada Allah SWT.

Justeru itu, syarat ini tidaklah terhad dalam urusan syiar agama dan ibadah semata, malah ianya juga mengikat mereka yang berkecimpung dalam dunia politik sama ada sebelum atau sesudah negara Islam berjaya ditegakkan. Pada masa yang sama Islam juga menolak amalan Teokrasi sebagaimana yang pernah diamalkan oleh pihak Gereja suatu ketika dahulu.

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا إِلَٰهًا وَاحِدًا ۖ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan. [Surah At-Tawbah 31]

Kedaulatan Undang-Undang Syariat

Sejarah pemerintahan Islam selama hampir 1300 tahun menjadi saksi undang-undang Syariat didaulatkan di muka bumi Allah SWT. Hal ini kerana syariat Islam adalah satu-satunya undang-undang yang menitikberatkan semua rukun penting dalam kehidupan manusia bermula daripada memelihara agama Islam itu sendiri, nyawa, aqal, keturunan dan harta demi menjamin tercapainya maksud Islam sebagai rahmat ke seluruh pelusuk alam.

Menurut Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menerusi karyanya Islam dan Demokrasi, “ketinggian syariah Islam menjadi perlembagaan dan sumber perundangan yang berkuasa kepada pihak pemerintah. Ia juga adalah rukun penting kepada dasar dan objektif politik Islam.”

Rentetan itu, perkara ini sebenarnya cukup selari dengan fitrah kejadian manusia yang merangkumi aspek jasad, roh, individu, keluarga, kehidupan bermasyarakat seterusnya ke peringkat bernegara dan hubungan antarabangsa. Firman Allah swt di dalam al-Quran,

إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ ۚ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah Ugama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. [Surah Yusuf 40]

Amanah Dan Keadilan

Berkait soal amanah dalam Islam, Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan kita akan peri pentingnya sesuatu amanah itu mesti dipikul oleh mereka yang layak. Dalam satu hadis, Nabi SAW memberi amaran dekatnya kiamat apabila hilangnya amanah dengan maksud sesuatu urusan penting diserahkan kepada bukan ahlinya.

Para ulama’ ketika mengulas tentang hadis ini mewajibkan pemerintah supaya menyempurnakan matlamat amanah dengan cara melantik orang yang berkelayakan dan mempunyai sifat keIslaman sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam bukunya, Islam: Fikrah, Harakah dan Daulah.

Di samping itu, orang yang amanah pasti memiliki sifat adil bersamanya. Keadilan versi Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Adil dalam Islam tidak terbantut hanya di mahkamah. Malahan peranannya boleh didapati dalam aspek rohani dan material serta layanan, bantuan dan lain-lain.

Dalam al-Quran, konsep amanah dan adil dinyatakan dalam satu ayat yang sama dalam Surah an-Nisa’. Dalam ayat ini juga Allah swt mewajibkan Nabi Muhammad SAW dan umatnya untuk berlaku adil ketika berpolitik dan mentadbir negara.

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. [Surah An-Nisa’ 58]

Keadilan Islam sifatnya mutlak dan menyeluruh. Mutlak bermaksud tidak berbelah bahagi, tidak berkepentingan dan tidak ada pengecualian kerana musuh Islam juga wajib diberi keadilan. Manakala kalimah menyeluruh membawa makna merangkumi segenap aspek dalam kehidupan manusia.

Pengamalan Syura

Islam melarang penganutnya bersikap diktator dan Firaunisme ketika memimpin. Atas alasan itu, Allah SWT mewajibkan umat Islam supaya bermesyuarat ketika ingin menetapkan keputusan atau mengambil tindakan dalam sesuatu perkara.

وَالَّذِينَ اسْتَجَابُوا لِرَبِّهِمْ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya. [Surah Ash-Shura 38]

Kewajipan bermesyuarat menunjukkan seseorang pemimpin itu tidak berkuasa penuh sekaligus menghalang sikap diktator dan kuku besi. Sejarah hidup Nabi Muhammad SAW menjadi bukti konsep syura diamalkan. Beberapa pandangan para sahabat di ambil kira dalam sesuatu isu dan wahyu yang diturunkan mengkritik tindakan Nabi SAW menunjukkan Islam sama sekali berbeza dengan amalan Teokrasi.

Hakikatnya, aplikasi syura dalam pentadbiran bukanlah menyekat kebijaksanaan seorang pemimpin, sebaliknya mengawal kebijaksanaan tersebut dengan proses timbang tara sesuatu keputusan dengan mendengar kritikan dan pandangan daripada ahli syura supaya keputusan yang dibuat matang lagi diberkati.

Rumusan

Islam adalah agama yang mengajar penganutnya kekal berprinsip. Melalui prinsip yang telah digariskan oleh al-Quran, sekiranya dipatuhi bakal membawa keberhasilan dalam berpolitik.

Demikianlah beberapa prinsip politik Islam yang bertindak membingkaikan corak pemerintahan pemimpin yang beramal dengan ajaran Islam supaya tidak terjerumus ke lembah “political animal” dan berpolitik secara melampau.

Rujukan:

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Islam: Fikrah, Harakah & Daulah.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Islam & Demokrasi.

Razaleigh Muhamat, Kedudukan Politik Dalam Islam (Kertas Kerja).

Tinggalkan komen anda

%d bloggers like this: