POLITIK IDENTITI SELEWENGKAN ISU ARAK

Oleh: Haris Zalkapli
27 Mei 2020

Seperti banyak isu divisif dalam masyarakat majmuk di negara kita, pemandu mabuk ialah satu lagi isu yang sukar dibincang secara sober, kerana suara-suara dari kalangan yang mabuk dengan sentimen amat kuat dan mengganggu.

Sejak awal lagi, sudah nampak politik identiti diangkat. Di satu pihak, serangan yang nampaknya untuk mengalih isu dilakukan dengan meletakkan beban pada “kerajaan Melayu-Islam.”

Kelompok liberal bersatu menyerang dan mencetuskan kekecohan (antaranya dengan mengaitkan sekolah agama dan perbandingan mengharamkan kereta) hingga perhatian boleh teralih daripada isu sebenar.

Bagi golongan konservatif Melayu, isunya sangat mudah dan penting, kerana jumlah korban daripada kalangan orang Melayu akibat pemandu mabuk. Hal ini bukan satu isu yang kecil.

Isu ini perlu ditangani dengan segera oleh pihak berkuasa, memandangkan kepentingan umum yang terlibat pada masa ini.

Satu yang jelas ialah wacana ini telah dikaburkan dengan politik identiti, dan mengelak daripada dibincangkan di bawah tajuk undang-undang.

Di Barat, isu pemandu mabuk yang mengakibatkan kehilangan nyawa bukan satu yang baru. Sejak tahun-tahun 1980-an lagi, ada kempen dijalankan untuk memberi kesedaran yang memandu mabuk bukan satu victimless crime.

Di Barat juga, isu ini ialah satu perjuangan yang panjang bagi mangsa dan keluarga mangsa. Pelbagai kempen digerakkan, dengan iklan tv, papan iklan besar yang grafik dan sebagainya untuk memberi kesedaran.

Selain kempen, di Barat juga ada undang-undang berkaitan minum arak lebih ketat di beberapa tempat, termasuk tidak boleh menunjukkan botol arak di tempat awam, walaupun tempat itu ialah Bourbon Street di New Orleans misalnya.

Debat yang sihat tentang isu kesihatan awam ini perlu berlangsung dengan rasional, tanpa dipengaruhi sentimen perkauman atau ideologi dan kepuakan.

Tinggalkan komen anda