PERTIKAIAN WILAYAH LAUT CHINA SELATAN

Oleh: Firzan Haniff
3 Mei 2020

Sekali-sekala akan timbul isu kapal China belayar di Laut China Selatan, nelayan masuk sempadan negara orang di Laut China Selatan. Adakah Laut China Selatan ini China punya? Kenapa Laut China Selatan begitu penting bagi negara-negara sekitarnya? Well

Wilayah ialah salah satu elemen utama negara. Wilayah terdiri daripada kawasan daratan, perairan, dan ruang udara. Kawasan perairan penting untuk sebuah negara.

Pertama, kepentingan politik; meluaskan wilayah dan pengaruh, meletakkan aset ketenteraan, dan menjadi zon penampan untuk menghalang ancaman negara lain.

Kedua, kepentingan ekonomi; untuk menjalankan aktiviti perikanan, pelabuhan dan laluan kapal dagang, perlombongan petroleum, gas, dan lain-lain sumber.

Sempadan perairan diterangkan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS). Berdasarkan UNCLOS:

1- Kawasan perairan sejauh 12 batu nautika dari garis dasar daratan (baseline) sesebuah negara ialah wilayah perairan (territorial waters) negara itu. Negara ada kedaulatan ke atas wilayah perairan, sama macam kawasan daratan.

2- 24 batu nautika dari garis dasar ialah zon pendamping (contiguous zone). Negara hanya ada sebahagian kadaulatan, untuk melindungi wilayahnya.

3- 200 batu nautika dari garis dasar ialah zon ekonomi eksklusif (EEZ). Kawasan ini dikira perairan antarabangsa, tapi negara ada hak ke atas sumber-sumber bawah permukaan air (petroleum, gas, ikan, udang, sotong (yang binatang, bukan manusia), dll).

4- Selebihnya ialah perairan antarabangsa yang semua orang bebas belayar.

Laut China Selatan ialah antara pertikaian sempadan perairan yang paling rumit, sebab melibatkan banyak negara, termasuk satu kuasa besar yang suka buat palatao. Negara yang terlibat ialah:

1- China – Keseluruhan Laut China Selatan berdasarkan sempadan Nine Dash Line yang dia buat.
2- Malaysia – Kepulauan Spratly dan kawasan utara Borneo.
3- Vietnam – Kepulauan Spratly, Scarborough, dan Paracel.
4- Taiwan – Sama dengan China.
5- Filipina – Kepulauan Spratly, Scarborough, perairan Luzon dan Palawan.
6- Brunei – Tension sebab China kacau EEZ dia.
7- Indonesia – Tak ambil port sangat, cuma EEZ dia di Kepulauan Natuna ada dalam Nine Dash Line China.

Kenapa nak tuntut Laut China Selatan? Kepentingan ketenteraan, mengawal laluan kapal dagang, menguasai sumber maritim dan mineral.

Macam mana nak tuntut kawasan di Laut China Selatan?

Kalau ikut UNCLOS, hanya kawasan daratan / batuan berserta perairan dalam jarak tertentu sahaja yang boleh dituntut.

1- Negara kena ada bukti pendudukan di kawasan itu. Selalunya, negara akan hantar tentera di pulau-pulau yang kosong dan strategik. Contoh, Pulau Layang-Layang di Kepulauan Spratly ada tentera Malaysia dan pelbagai infrastruktur yang dibina oleh kerajaan Malaysia. Negara lain pun buat benda sama di pulau-pulau lain.

2- Atau ada perjanjian yang memberi kawasan tertentu kepada mana-mana negara.

Kenapa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tak boleh selesaikan konflik Laut China Selatan?

1- Kedaulatan negara. Negara berhak untuk setuju atau tak setuju kes dibawa ke ICJ. Selalunya, negara yang tuntut kawasan tanpa bukti akan tolak perbicaraan ICJ atas alasan hak dia sebagai negara berdaulat. Kau faham sendiri negara mana.

2- Tak semua benda yang dipertikaikan dalam bidang kuasa ICJ. Contohnya, kes pertindihan EEZ perlu diselesaikan antara negara terlibat, bukan ICJ.

China sebagai kuasa besar selalu menggunakan konsep ‘might is right’. Sebab dia kuat, dia bina pangkalan tentera, hantar aset tentera di Laut China Selatan. Bajet China untuk eksplorasi dan penyelidikan di Laut China Selatan pun bertambah sejak 15 tahun lepas. Kita yang negara kecil, takkan nak lawan. Elephant fight with grass, grass will suffer beb.

Sesetengah negara macam Filipina (sebelum Duterte) akan guna pengaruh Amerika (US) untuk mengimbangi China. Big elephant fight small elephant, small elephant suffer. Malaysia? Kita banyak jaga kawasan yang kita dah ada saja. Lagipun, kita tak claim kawasan lebih-lebih.

Setiap negara pula akan jaga wilayah dan EEZ masing-masing. Contoh, Indonesia karamkan kapal yang masuk sempadan, termasuk beberapa bot nelayan Malaysia.

Isu nelayan asing yang masuk perairan Malaysia, ini isu lama dah. Ada banyak faktor; perairan depa tak banyak ikan, sempadan yang tak jelas dan banyak pertikaian, nelayan tak tahu sempadan, dll. Cuma penguatkuasaan sempadan kena kuat la, bukan sahaja untuk nelayan asing, tapi untuk membanteras kegiatan lanun dan pencemaran laut.

Tapi, banyak juga diplomasi di Laut China Selatan, bukan konflik saja. Tahun 2011, semua negara terlibat dah tandatangan Declaration of Conduct of Parties in the South China Sea (COP) untuk kerjasama memelihara kebersihan dan membanteras jenayah di Laut China Selatan. Ada juga kerjasama antara negara untuk menggali petroleum di Laut China Selatan.

Pertikaian Laut China Selatan ini isu kompleks. Kita berhadapan dengan banyak negara, masing-masing ada kepentingan. Kita juga berhadapan dengan China; sebuah kuasa besar yang Malaysia ada banyak kepentingan perdagangan. Undang-undang antarabangsa pun tak berkesan dalam semua keadaan, sebab undang-undang sendiri mengiktiraf hak negara untuk memilih nak ikut undang-undang atau tak.

Selamat berbuka!

Tinggalkan komen anda