PERIPHERY: STRATEGI DAN DOKTRIN PENTING ISRAEL

Oleh: Haris Zalkapli
26 September 2020

Satu strategi dan doktrin penting Israel ialah “periphery“, mencari sekutu dan membina hubungan dengan negara-negara di luar linkungan dunia Arab berdekatan untuk mengatasi (outflank) kepungan apabila negara-negara Arab bersatu menentangnya.

Ini berasas daripada sejarah awal, sehingga perang yang menyatukan negara-negara Arab bersempadan. Walau bagaimanapun, lama-kelamaan, penyatuan dunia Arab semakin lemah, dan wujud dua kem besar yang bertentangan di dunia Arab dan rantau Asia Barat dan Afrika Utara.

Strategi ini selalu disebut telah gagal, sebahagiannya kerana Israel tidak dapat rakan yang boleh dipercayai daripada kalangan negara di luar linkungan paling dekatnya.

Strategi ini, menurut satu tafsiran luasnya, meliputi negara-negara timur Afrika termasuk sekitar laluan masuk Laut Merah, dan di kawasan Tanduk Afrika. Laut Merah mempunyai satu kedudukan penting bagi Israel.

Periphery melibatkan etnik dan kumpulan minoriti pula tumpuannya pada Kristian Maronite di Lubnan, dan Kurdi di utara Iraq. Berdasarkan sejarah, amat jelas hubungan baik dua kumpulan ini dengan Israel sehingga hari ini. Periphery di sebelah Mediterranean melibatkan Greece, dan Azerbaijan di sebelah utara dunia Arab dan berdekatan Iran.

Perkembangan terbaru normalisasi telah menyaksikan bermula hubungan diplomatik secara formal dengan Emiriyah Arab Bersatu. Kuasa baharu dunia Arab ini boleh dikatakan telah berjaya melaksanakan strategi periphery tersendiri, membina hubungan dan mengukuhkan kehadiran di Somaliland, Puntland di sebelahnya, dan Yaman selatan di seberang Bab al-Mandab, di hujung selatan Semenanjung Arab.

Somaliland yang secara praktiknya ialah sebuah negara merdeka berpotensi mempunyai hubungan baik dengan Israel, dan normalisasi akan mengukuhkan lagi jalinan antara Somaliland, Emiriyah, dan Israel. Kedua-dua Somaliland dan Israel melihat satu sama lain dengan positif. Di sebelah utara, Kurdistan Iraq juga telah terbukti sebagai sebuah entiti yang sentiasa terbuka dengan Israel.

Israel dengan Emiriyah mempunyai banyak persamaan dan matlamat serantau, yang mudah dilihat dari perspektif periphery. Kerjasama dua kuasa ini meningkatkan dan meluaskan lagi ruang bagi Israel dan Emiriyah mengukuhkan pengaruh di seluruh rantau dari dunia Arab ke timur Afrika.

Tinggalkan komen anda