PERINGATAN KEPADA MEREKA YANG BERKUASA.

أفضل الجهاد كلمة الحق عند سلطان جائر.
“Sebaik-baik jihad adalah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim.

Firman Allah Taala:

إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

[سورة العصر 3]

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.

Al-Mala’, pembesar yang berkuasa tetapi jahat.

Kisah di dalam Al-Quran banyak menceritakan berkaitan golongan pembesar yang menekan orang bawahan dan mereka sentiasa melawan para nabi dan rasul yang ada pada zaman mereka.

Firaun menentang Nabi Musa as, Namrud menentang Nabi Ibrahim as, pembesar kafir Quraisy menentang Nabi Muhammad saw dan begitu juga para nabi yang lain, mereka juga berhadapan dengan penguasa-penguasa jahat pada zaman mereka.

Pegawai Firaun.

Setelah Firaun mengetahui tugasan dakwah yang dibawa oleh Musa as, lantas Firaun mengarahkan supaya Musa as untuk dibunuh.

Firman Allah Taala :

وَجَاءَ رَجُلٌ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ يَسْعَىٰ قَالَ يَا مُوسَىٰ إِنَّ الْمَلَأَ يَأْتَمِرُونَ بِكَ لِيَقْتُلُوكَ فَاخْرُجْ إِنِّي لَكَ مِنَ النَّاصِحِينَ

[سورة القصص 20]

Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu menyampaikan berita dengan berkata:

“Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu, oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu”.

Penguasa yang jahat suka diampu.

Antara faktor kejahatan seorang penguasa adalah kerana mereka memiliki pembantu yang suka mengampu.

Dalam suatu kisah, seorang raja di zaman pemerintahan Islam, raja tersebut ingin menguji para pegawainya. Dianjurkan sebuah majlis makan malam dan dijemput seluruh para pegawai untuk hadir, setelah selesai makan, raja meminta dibawakan bekas yang berisi dengan bauan (minyak wangi).

Raja mencium bau dari bekas itu dan beliau berkata, “alangkah wanginya bau ini.” Lantas disuruh seluruh para pegawai untuk mencium bekas itu, kemudian pegawai-pegawainya berkata, “alangkah wanginya”.

Namun ada seorang pegawai yang mengatakan bau dari bekas itu adalah busuk. Raja membenarkan kata-kata pegawainya yang seorang itu dan dengan tegas mengatakan bahawa mereka yang lain hanyalah pengampu.

Penguasa yang baik bersama pembantu yang baik.

Nabi saw bersabda :

عن عائشة رضي الله عنها قالت قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا أراد الله بالأمير خيرا جعل له وزير صدق إن نسي ذكره وإن ذكر أعانه وإذا أراد الله به غير ذلك جعل له وزير سوء إن نسي لم يذكره وإن ذكر لم يعنه.

– رواه أبو داود بإسناد جيد على شرط مسلم.

Maksudnya :

Dari A’isyah ra katanya, sabda Nabi saw :

“Apabila Allah menghendaki seorang pemimpin itu menjadi baik maka Allah taala menjadikan juga pembantunya itu baik lagi jujur, jika pemimpin itu lupa dalam melaksanakan kebaikan maka pembantu tersebut akan mengingatkannya, jika pemimpin itu ingat untuk melaksanakan kebaikan, pembantu tersebut akan menolong melakukannya,
Tetapi jika Allah tidak mahu menjadikan pemimpin itu baik, maka Allah menjadikan pembantunya juga tidak baik, sekiranya pemimpin itu lupa dalam melaksanakan kebaikan, pembantu tersebut tidak mengingatkannya, jika pemimpin itu ingat untuk melaksanakan kebaikan, pembantu tersebut tidak akan menolongnya.”

Berlepas diri di dunia lebih baik dari penyesalan di akhirat.

Allah menggambarkan di dalam Al-Quran betapa besar penyesalan di hari akhirat yang dialami oleh para pendokong penguasa yang jahat.

وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا

Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.

(رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا

“Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!”

[سورة اﻷحزاب 67-68]

Amirul Hidayat Ali 
25 September 2018

Tinggalkan komen anda