Pergaduhan Wahabi dan Khalafi dan seumpamanya Bukan Benda Baharu

Pergaduhan Wahabi dan Khalafi dan seumpamanya Bukan Benda Baharu.

Tuduhan melampau sesama firqah Umat Islam bukan benda baharu dalam sejarah Islam sepanjang hampir 1500 tahun ini. Sebaliknya, pertembungan dalaman umat Islam ini sering diperbaharui oleh setiap generasi yang timbul. Cuma bagi kita yang beriman dan punyai akal fikiran yang sihat, kita perlu berfikir. kenapa ia timbul? Dan apabila ia timbul apakah di sana ada motif motif tertentu oleh pihak pihak yang terlibat atau sekadar sentimen semata mata?

Pertembungan Wahabi dan Khalafi ini muncul dengan kemuncaknya pada pertengahan abad ke 19 di jazirah Arab. Pertembungan bukan sekadar pertembungan agresif antara mazhab dan fahaman, tetapi juga pertembungan dengan persaingan politik di antara Penguasa Penguasa Jazirah Arab yang sering terpinggir dari arus ketamadunan kerana lanskap padang pasir yang tidak menarik ramai orang ke situ. Namun, oleh kerana ia melibatkan umat Islam, pertembungan itu akan dirasai sehingga di Mekah dan Madinah, kerana dua bandar suci Umat Islam ini sentiasa menjadi tumpuan umat Islam seluruh jazirah arab dan dunia Islam.

Gerakan Pembaharuan Muhammad Bin ABdul Wahab (1703-1792).

Asas nama yang disandarkan kepada gerakan Wahabiah adalah kepada Muhammad bin Abdul Wahab, yang berasal dari Bani Tamim yang menduduki di wilayah Uyaynah di Nejd, Jazirah Arab. Keluarganya adalah dari keturunan Ulama yang mengamalkan mazhab Hanbali. Mazhab Hanbali terkenal dengan kesungguhan mereka untuk berpegang kepada hadis hadis Nabi Saw dalam perbandingan antara empat mazhab utama Umat Islam. Guru guru kepada Muhammad Bin Abdul Wahab, bukan sekadar dari mazhab Hanbali, tetapi juga berguru dengan Muhammad Hayat Al Sindhi, seorang tokoh ulama yang mengamalkan tareqat Naqsyanbandi tetapi amat memusuhi budaya khurafat dan kesyirikan yang ketika itu meluas di jazirah arab dan juga bumi Sindhi dan dan India. Pengaruh Guru dan juga keinginan untuk melakukan Islah menyebabkan Muhammad Bin Abdul Wahab mengambil inisiatif untuk bertindak mengikut kefahamannya. Maka,bermulalah dakwah Islam Muhammad ibn Abdul Wahab dan bekerjasama dengan Pembesar ketika itu. Pada mulanya dengan Pembesar di Uyaynah, kemudian dipaksa keluar dari Uyaynah dan membina hubungan pula dengan Muhammad Ibn Saud, Penguasa Diriyyah.

Gabungan Muhammad Bin Saud dan Muhammad Ibn Abdul Wahab menatijahkan Gerakan Politik berasaskan Islam yang didasarkan kepada pengamalan mazhab Hanbali ketika itu. Gerakan ini akhirnya mengembangkan pengaruh politik dan Mazhab mereka sehingga berlaku pertembungan dengan penguasa penguasa sekitarnya sehingga dirasakan memberi ancaman kepada Penguasa Uthmaniyyah yang melindungi Al Haramain Mekah dan Madinah. Di samping yang berlaku, Gabenor gabenor di Sekitar Mekah dan Madinah juga punyai kedudukan dan kepentingan kepentingan tertentu yang tidak boleh dikesampingkan waktu itu.

Pertembungan Politik dalaman Umat Islam dan Propaganda Politik.

Gerakan Saud dan ibn Abdul Wahab (Wahabiah) ini menjadi saingan Politik kepada pembesar pembesar dan wakil Uthmaniyyah. Maka akhirnya, pertembungan menatijahkan perang sesama Umat Islam. Cita Cita Besar Gerakan Saud menguasai Mekah dan Alharamain mula membesar pada tahun 1890 an, apabaila Kekuasaan Ibn saud diwarisi oleh anaknya Abdul Aziz ibn Saud.

Pertembungan yang berlaku turut dirasai oleh Ulama Ulama di dunia yang lain. Pengaruh Islah Muhammad Bin Abdul Wahab turut dikesan memberi kepada perkembangan Dinasti Uthman de Fodio di Nigeria. Daripada sudut simpati Ulama, Ulama seperti Syeikh Mujaddid Yemen, Al Imam As Syaukani yang asalnya bermazhab SYiah Zaydiah juga turut memberi beberapa pembelaan walaupun ada juga kritikan yang dibuat.
Turut terpengaruh apabila Haji Miskin dan kawan kawannya yang terlibat dalam Perang Paderi Di Minangkabau ketika menentang Belanda. Pengaruh bersama sehingga membentuk satu pasukan yang digeruni Harimau Nan Delapan dalam sejarah Perang Paderi yang menentang Kaum Belanda dan Kaum Adat.

Reaksi Negatif timbul daripada Ulama ulama yang menyokong Uthmaniyyah terhadap arus pembawaaan Wahabiah yang dikongsi bersama dengan cita cita Politik Ibn Saud. Maka, antara Ulama Yang menentang ketika itu di era akhir 1800 adalah Assayid Syeikh Ahmad Zaini Dahlan, mufti Syafii Mekah.

Di Istanbul pula, penulis Ayyub Sabri Pasha menulis karyanya Mir’at al-Haramain yang dicetak pada 1888 di Istanbul. Karya ini sebanyak 5 jilid mengetengahkan serangan terhadap Gerakan Wahabiyyah yang turut memuatkan sumber dokumen yang dikatakan dari Agen British iaitu Memoirs of Mr. Hempher, Confessions of a British Spy.

Pertembungan Politik yang dinaratifkan Dengan Pertembungan Mazhab dan Firqah.

Sebenarnya, kita masih perlu lagi mengkaji dan meneliti isu ini sehingga difahami sebaik baiknya.Namun daripada ringkasan yang boleh kita faham dengan lanskap yang berlaku pada akhir abad 18 masihi dan 19 masihi, pertembungan dalaman Umat Islam ini sebenarnya bertitik tolak dari Pertembungan Politik dan Pengaruh Kuasa yang berunsurkan kekuatan dari sentimen Mazhab dan fahaman.

Belum lagi kita memandang secara mendalam apa yang sedang berlaku kepada Kerajaan utmaniyyah di Istanbul, yang turut sama ketika itu pertembungan Modernisasi Kerajaan oleh Golongan Turki Muda dan juga gerakan gerakan musuh Islam dari Barat yang sedang mencuba untuk menjajah satu persatu bumi Umat ISLAM.

Memahami Sebaiknya Supaya Berwaspada Dari Tangan Musuh Luar dan Menyekat Umat ISLAM menjadi Agen Musuh tanpa Sedar dalam Persaingan Politik Dunia.

Perlu juga kita sedar, saat keruntuhan Kerajaan Uthmaniyyah. Barat menggunakan perpecahan Wahabi-khalafi ini dikembangkan untuk menumbangkan Empayar ISLAM. British yang berpusat di Mesir, memberi bekalan nasihat dan Senjata kepada Syarif Hussin (Penguasa Mekah, Madinah yang Beraliran Khalaf) untuk memberontak kepada Turki yang dipimpin oleh Lawrence Of Arabia. Namun tatkala tidak dapat mengawal pula cita cita Sharif Husain untuk menjadi Khalifah Umat ISLAM, British India memainkan peranan melalui pangkalan di Teluk Parsi, Kuwait, untuk memberi bantuan kepada Gerakan Saud Wahabiah untuk menawan Mekah dan Madinah sehingga berdiri kekal ke hari ini.

Empayar ISLAM runtuh dari kejahilan Umat yang berpecah sama sendiri demi mengejar kuasa. Sehingga Nafsu besar itu diekploitasi oleh British dan Kuasa barat yang lain untuk menumbangkan empayar Islam dengan dasar pecah dan perintah (Divide and Rule).

Kesimpulan.

Moga kita menjadi generasi yang memahami apa yang berlaku dan memilih cara yang paling sesuai untuk mengatasinya agak ISLAM dapat ditegakkan di zaman kita dengan ilmu ISLAM yang sempurna. Perbalahan firqah dan mazhab sentiasa wujud. Namun bagi kita yang beriman dan berakal, adakah kita mahu mengolah untuk kepentingan dan kekuatan ISLAM atau mengikut arus eksploitasi musuh musuh ISLAM sehingga akhirnya, kita sebagai umat menjadi rugi.

Ahmad Hakimi Othman.

KP DPPKS.
Kuala Selangor.
18 May 2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *