Perang Tabuk

Perang Tabuk berlaku bulan Rejab, 9 Hijriyah merupakan satu saat yang cukup cemas kepada pemerintahan Rasulullah. Dinamakan sebagai Tabuk bersempena tempat berlakunya perperangan.

Para Ulama’ juga menamakan perang ini sebagai Al-Asirah yang membawa maksud kepayahan dan kesulitan. Berikutan kepada situasi pada ketika musim panas terik dan perjalanan jauh. Ditakdirkan Allah, kebun-kebun di madinah mengeluarkan buah menyebabkan Allah menguji orang beriman.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انْفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: “Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah”, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.
(Surah At-Tawbah, Ayat 38)

🔘 Dendam Musuh

Rom Timur yang terdiri dalam kalangan raja-raja Arab dan qabilah-qabilah yang bernaung menyasarkan untuk menyerang Madinah. Ada dalam kalangan mereka yang terlibat membunuh utusan Rasulullah, Al-Harith bin Umair Al-Azdi yang menyebabkan berlakunya perperangan Mu’tah.

🔘 Luka Mu’tah

Tentera Rasulullah yang diketuai Zaid bin Harithah RA berjaya mengalahkan tentera musuh yang berjumlah 200 ribu.

Berikutan perperangan Mu’tah ini juga telah islamnya Arab Kristian yang bernaung dibawah kerajaan Byzantin, termasuklah ketua tentera Rom semasa perang Mu’tah, Farwah bin ‘Amar Al-Juzami.

Perkembangan Islam ini menjadi satu ancaman yang cukup besar kepada Kerajaan Rom. Satu riwayat mengatakanRaja-Raja Arab telah mengutus surat kepada Raja Rom Timur berkenaan ancaman Islam kepada mereka.

🔘 Kuasa Baru

Islam yang dianggap satu kuasa baru menggugat kuasa besar dunia ketika itu iaitu Rom. Gerakan tentera yang berjumlah 40 ribu yang terdiri dari Ghassan, Lakhm, Juzam dan ‘Amilah digerakkan bagi menjatuhkan Islam.

Kejayaan mengalahkan kuasa besar Parsi ketika itu menaikkan semangat untuk mencabar kuasa baru yang muncul.

🔘 Mustahil

Tidak pernah terjangkau oleh mana-mana orang Arab ketika itu Islam mampu mencabar kuasa yang cukup besar. Sedangkan Islam pada ketika itu baru sahaja berkembang jika dibandingkan dengan kerajaan Rom yang sudah lama bertapak dan kukuh dari segala sudut.

Walaupun keadaan yang mustahil, ini tidak menghalang semangat Rasulullah dan Umat islam dari terus tunduk kepada musuh. Berbeza pada hari ini, ramai pemimpin dan orang islam tunduk kepada musuh atas alasan mereka lebih kuat.

🔘 Persediaan Menghadapi Musuh

Berita serangan kerajaan Rom Timur terhadap islam sampai ke pengetahuan Rasulullah. Rentetan itu, Rasulullah mengambil tindakan untuk mengumumkan perperangan ke Tabuk untuk umat islam bersedia menghadapi Rom. Berbeza dengan keadaan Perang-perang yang lain dimana Rasulullah merahsiakan arah pergerakan

🔘 Pengorbanan

Pengorbanan yang dilakukan para sahabat untuk islam perlu diteladani umat islam pada hari ini. Saidina Othman yang menginfakkan hartanya seribu dinar, 300 unta dan 50 kuda dan kelengkapannya. Sehinggakan Rasulullah mendoakan kerahmatan untuknya.

Begitulah keadaan sahabat yang lain yang berlumba-lumba menyumbangkan apa yang ada untuk islam walaupun sekadar buah tamar.

🔘 Meperlekeh, Perangai Munafiq

Melihat keadaan orang islam yang infaqnya sedikit, maka orang munafiq menjalankan provokasi terhadap mereka dengan memperlekeh nilai infaq yang sedikit diberikan orang islam.

Begitulah keadaan berlalu, sentiasa ada golongan munafiq yang perlekeh sumbangan umat islam. Bukanlah sesuatu yang baru diperlekeh “tin milo” dan sebagainya.

أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ سِرَّهُمْ وَنَجْوَاهُمْ وَأَنَّ اللَّهَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ (٧٨) الَّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطَّوِّعِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فِي الصَّدَقَاتِ وَالَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهْدَهُمْ فَيَسْخَرُونَ مِنْهُمْ ۙ سَخِرَ اللَّهُ مِنْهُمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (٧٩)

78. Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah sentiasa mengetahui apa yang mereka rahsiakan serta apa yang mereka bisikkan, dan bahawasanya Allah Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang ghaib?

79. Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, – Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
(Surah At-Tawbah, Ayat 78,79)

🔘 Serangan Halus Munafiq

Golongan Munafiq mendatangi Rasulullah untuk hadir ke masjid yang dibina mereka. Sekali pandang masjid yang dibina mereka seolah-olah membantu agama, dengan reka bentuk yang menarik dan ketahanan daripada panas dan kesejukan. Tetapi pada hakikatnya pembinaan masjid mereka ini tidak bukan hanya untuk memecah belahkan umat islam.

Begitu juga keadaan masa kini, banyak dalam kalangan kita yang mengislamkan program-program seolah-seolah menepati syariat, padahal apa yang mereka lakukan adalah untuk menjauhkan umat islam dari pegangan Quran dan Sunnah.

Ada juga kalangan kita yang menggunakan modal islamik seperti dakwah untuk menghalalkan taadud jemaah, kononnya jemaah mereka ini akan memberikan ruang yang lain untuk dakwah, tetapi pada hakikatnya hanya memecah belahkan ummat.

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِمَنْ حَارَبَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ مِنْ قَبْلُ ۚ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَىٰ ۖ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ

Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:” Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata “. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.
(Surah At-Tawbah, Ayat 107)

Pembohongan Atas Nama Nabi Dan Sikap Ahli Kitab

Perlu diingat dan ditegaskan bahawa siri perperangan Rasulullah juga adalah merupakan sunnah Rasulullah. Sekiranya kita mengolah keadaan sirah bukan pada situasi, bimbang kita telah pun berbohong dengan menggunakan nama Rasulullah. Sedangkan berbohong atas nama Rasulullah didoakan kecelekaan oleh Rasulullah sendiri.

إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

“Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta pada selainku. Barangsiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka hendaklah dia menempati tempat duduknya di neraka.” (HR. Bukhari no. 1291 dan Muslim no. 4).

Begitu juga sikap sebahagian ahli kitab yang mengubah dan menyelewengkan ajaran agama tauhid mengikut selera mereka. Tujuan ini tidak bukan hanya untuk membenarkan perbuatan salah mereka. Sekiranya kita berbuat begitu, maka apa bezanya kita dengan ahli kitab yang sesat itu?

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَلْبِسُونَ الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?
(Surah Aal-E-Imran, Ayat 71)

Rujukan :
1. Buku Fiqh Al-Harakah 3, karangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
2. Tafsir Ibnu Kathir

Asyraf Hanif
21 September 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *