PENGKHIANATAN DALAMAN SEPANJANG SERANGAN MONGOL

Oleh: Mohd Adlan Mokhtaruddin
20 April 2020

Tidak dapat dinafikan lagi akan kejahatan dan kebengisan tentera Mongol. Sejak dari awal mereka menjarah bumi umat Islam tanpa sekelumit perasaan belas ihsan dan perikemanusiaan. Akan tetapi, kelicikan mereka dalam memperalat pihak lain juga tidak kurang hebatnya. Hal ini ditambah pula dengan sikap beberapa pembesar dan pemuka di beberapa wilayah umat Islam yang termakan janji-janji manis mereka.

Hal yang demikian itu tidak akan berlaku sekiranya mereka sendiri mempunyai pendirian yang tetap untuk mempertahankan Islam. Malangnya merekalah yang menjadi pemudah cara untuk Mongol masuk dan meranapkan sesebuah wilayah, seterusnya menjadi punca kepada kejatuhan kerajaan Abbasiah yang berpusat di Kota Baghdad.

Terdapat beberapa pembesar umat Islam di wilayah yang berbeza-beza, tetapi membantu Mongol untuk mereka masuk dengan mudah tanpa berlakunya pertumpahan darah.

i. Raja Kaikawus Sani, dan Raja Qalaj Arsalan ke Empat

Merupakan pembesar di Kota Anatolia, Turki yang memberi laluan mudah untuk tentera Mongol masuk menyerang tanpa berlaku pertempuran. Ketika Mongol mahu menjatuhkan Kota Baghdad, dibahagikan tenteranya kepada 4 ketumbukan, salah satunya diketuai oleh Bigo yang memasuki Kota Baghdad dari laluan Anatolia. Pintu laluan dibuka dengan syarat tidak akan menyerang di Kotanya.
(Kisah Tatar m/s 132)

ii. Raja Badaruddin Lu’lu’

Merupakan pembesar bagi Kota Mosul (Iraq) turut melakukan perkara yang sama kerana termakan janji-janji manis oleh musuh tanpa mereka sedari bahawa Tatar tidak pernah menepati janjinya! Beliau memberi laluan untuk tentera Tatar menyeberang ke Baghdad, bahkan turut bersama membantu untuk memusnahkan Kota Iraq! (ibid)

iii. Nasir Yusuf pembesar di Kota Halab dan Damsyiq

Bertahaluf bersama Hulagu Khan untuk membantu Mongol hingga menghantar anaknya Aziz untuk menyertai tentera Mongol. Nasir Yusuf dipelawa oleh Qutuz untuk bersama-sama memerangi Mongol hinggakan Qutuz menawarkan kepadanya supaya beliau sendiri yang mengetuai bala tentera umat Islam, seterusnya diangkat menjadi Raja bagi wilayah Syam dan juga Mesir. Tetapi beliau menolak dan akhirnya Kota Halab dihancurkan oleh Mongol.
(Kisah Tatar m/s 112)

iv. Asyraf Al-Ayyubi pembesar di Kota Homs

Beliau mendedahkan segala maklumat dalaman Kota Iraq hingga segala pergerakan di Kota Iraq adalah dalam pengetahuan Mongol. Segala usaha dan perencanaan untuk melawan Mongol akan sampai ke telinga Hulagu Khan sebelum sempat umat Islam berbuat apa-apa.

v. Muayiduddin Al-Alqami (Ibnu Alqamy)

Dan benteng umat Islam yang terakhir di Kota Baghdad ialah Muayiduddin Al-Alqami yang merupakan penasihat kepada Sultan Al Musta’sim. Sejak dari awal lagi, Ibnu Alqami telah melemahkan kemampuan benteng pertahanan dengan mengurangkan jumlah tentera di Kota Baghdad.

Dicatatkan bahawa jumlah tentera di Baghdad pada era Sultan Al Mustansir Billah (640H) berjumlah seramai 100,000 perajurit. Jumlah ini menyusut berkali ganda pada era Sultan Al Musta’sim (654H) hanya sekitar 10,000 perajurit sahaja! Dicatatkan juga bahawa tentera yang berkhidmat turut tidak dijaga kebajikan dan keperluannya hingga mereka terpaksa meminta pertolongan kepada orang ramai. (Kisah Tatar m/s 119)

Tanpa diketahui oleh Sultan, Ibnu Alqami membuat perjanjian awal dengan Tatar dan dimaklumkan kepada Sultan bahawa Tatar menjanjikan keamanan kepada Baghdad. Akhirnya Kota Baghdad ranap kerana pengkhianatan Ibnu Alqami ditambah dengan kebodohan Sultan yang tidak mempunyai pengetahuan ilmu dan strategi peperangan.

Pengajaran:

1- Sekiranya Allah mengkehendaki kebaikan bagi seseorang pemimpin, Allah akan kurniakan baginya pembantu yang baik. Jika dia lupa, pembantunya akan mengingatkan, dan jika diingati, pembantunya akan menolongnya. Dan sekiranya Allah berkehendak sebaliknya, maka Allah akan beri padanya pembantu yang jahat. Jika dia lupa, tidak akan diperingatkan, dan jika dia ingat tidak pula dibantunya. Ini merupakan mafhum daripada hadith Nabi SAW riwayat Imam Abu Daud.

2- Pengkhianatan dalam barisan umat Islam akan berlaku sepanjang zaman. Samada disebut secara umum sebagai Munafiq, atau secara khususnya disebut bithonah (orang kepercayaan). Pengkhianatan boleh berlaku apabila mereka yang diberi kepercayaan mempunyai agenda tersendiri hingga membelakangkan keutamaan agama dan negara.

3- Dalam lipatan sejarah umat Islam, kita akan dapati elemen kelemahan dalaman umat Islam lebih utama untuk didedahkan supaya ia boleh diperbaiki pada masa mendatang. Adapun ancaman musuh luar tidak akan mampu menggugat umat Islam sekiranya umat Islam sendiri bersatu dan tidak berpecah belah. Malangnya, kerosakan itu lebih parah dari dalam menyebabkan ancaman musuh luar mudah menyerang.

4- Pentingnya mempunyai orang kanan (kepercayaan) yang baik. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri R.A, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda:

“Tidaklah dilantik seorang khalifah (pemimpin), kecuali padanya mempunyai dua golongan orang kepercayaan (bithonah). Orang kepercayaan yang menyuruhnya dengan kebaikan dan mendokongnya. Dan orang kepercayaan yang menyuruhnya dengan kejahatan dan mendokongnya. Dan mereka yang terselamat adalah yang dipelihara oleh Allah”. Hadith riwayat Imam Bukhari

Allah Taala turut menegaskan supaya orang beriman tidak sebarangan dalam memilih orang kepercayaannya. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya” (Āli `Imrān : 118)

Tinggalkan komen anda