PENGIKUT KAKI BODEK & PENTAQLID BUTA

Al-Quran bukan sahaja memperingatkan kita perihal pemimpin penyangak seperti Firaun (seperti yang ditulis serba ringkas oleh Ustaz Abdul Mu’izz Muhammad), bahkan tidak dilupakan tentang nasib pengikut-pengikut dan orang bawahan yang menggalakkan suburnya Firaunisme.

■ Sesal Dahulu Pendapatan

Di hari akhirat, orang-orang yang dahulu mengabaikan arahan Allah dan Rasul kerana taatkan pemimpin mula menyesali tindakan mereka.

يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولَ (66)

Pada hari ketika muka mereka dibolak-balikkan dalam neraka, mereka berkata, “Alangkah baiknya, andaikata kami taat kepada Allah dan taat (pula) kepada Rasul.”

Malang sekali penyesalan mereka tidak bermanfaat lagi. Ketika datang pemberi perintngatan di dunia mereka memperlekeh dan mengejek-ngejek, di hari akhirat barulah menyesal.

■ Menghinakan diri di hadapan ketua

وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَ (67)

Dan mereka berkata, “Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati pemimpin-pemimpin dan pembesar-pembesar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan (yang benar).

Mereka memanggil ketua mereka sebagai “orang-orang besar”, sekaligus menganggap diri mereka kecil dan hina di hadapan pemimpin mereka.

■ Taqlid Buta

Dalam masa yang sama mereka berhujah kepada Allah, kesesatan mereka bukan salah mereka secara total, sebaliknya kerana mereka thiqah kepada pemimpin yang telah menyesatkan mereka.

Dengan kata lain, mereka mengatakan bahawa “kami mengikuti para pemimpin dan pembesar kami, yakni para ketua kami; dan kami meninggalkan ajaran para rasul dengan keyakinan bahawa pemimpin kami berada dalam jalan petunjuk, dan sekarang ternyata mereka bukan berada dalam jalan petunjuk.”

■ Imej Palsu Terungkai di Neraka

Ketika sama-sama dibakar di dalam neraka, barulah orang-orang bawahan sedar bahawa pembesar mereka yang disanjung berlebihan di dunia dulu rupanya hanya manusia biasa setaraf dengan mereka. Gambaran VVIP selama ini hilang, membesarkan pimpinan hingga menghilangkan maruah diri ternyata suatu kesilapan yang merugikan diri. Kerana itu mereka memohon agar Allah menyiksa pemimpin mereka dengan lebih berat, dan semoga Allah melaknat para pemimpin yang memalingkan pengikut mereka dari mengikuti jalan Allah dam Rasul-Nya yang benar.

رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا (68)

Ya Tuhan kami, berilah kepada mereka azab dua kali ganda dan kutuklah mereka dengan kutukan yang besar.”

Dua kali azab bagi pemimpin yang menyeleweng. Pertama kerana kesesatan mereka sendiri, kedua kerana kerosakan yang mereka bawa, menyesatkan para pengikut mereka.

Allah benar-benar akan melipatgandakan azab bagi pemimpin yang mengikut politik gaya firaun tersebut.

لِيَحْمِلُوا أَوْزَارَهُمْ كَامِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَمِنْ أَوْزَارِ الَّذِينَ يُضِلُّونَهُمْ بِغَيْرِ عِلْمٍ

(ucapan mereka) menyebabkan mereka memikul dosa dengan sepenuh-penuhnya pada hari kiamat, dan sebahagian dosa orang yang mereka sesatkan yang tidak mengetahui sedikit pun (bahwa mereka disesatkan). (An-Nahl: 25)

■ Pengajaran

Menjadi pengampu dan tukang kipas barangkali membuka laluan mudah kepada para pengikut untuk mudah meniti tangga kepimpinan. Ataupun menjadi orang kanan yang dijaga ‘tuannya’ di dunia. Periuk nasi selamat. Tidak disenarai hitam. Namun perlu diingat ancaman azab kerana mengabaikan celupan Allah dan manhaj nubuwah demi sebuah ketaatan membuta tuli.

 

Sofia Alwani Ali

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *