“Pakatan Sunni-Israel”

“Pakatan Sunni-Israel”

Perkembangan di Asia Barat kini berjalan menurut pelan yang dilakar sejak lebih sedekad lalu, apabila perluasan pengaruh Iran dirasakan ekoran perang musim panas di Lubnan, yang berlangsung beberapa tahun selepas kejatuhan Saddam Hussein di Iraq dan pengaruh Iran mengukuh di negara itu.

Selepas kejatuhan Saddam Hussein, pemimpin Jordan pada 2004 menyuarakan kebimbangan terhadap wilayah dikuasai Iran yang disebut “Bulan Sabit Syiah,” (Shia Crescent). Tajuk ini menjadi tajuk yang dibincang dengan intensif dalam kalangan kumpulan pemikir dasar luar Amerika Syarikat, terutama Majlis Hubungan Luar, CFR. Seluruh dunia Arab melihat ancaman ini sebagai sesuatu yang pasti.

Pada 2006, selepas Hizbullah dianggap mendapat kemenangan dalam perang dengan Israel, populariti dan pengaruh Hizbullah (sekaligus Iran dan Syiah, sama ada benar atau tidak) dirasakan di seluruh dunia Arab. Perkembangan ini mengukuhkan lagi tesis Bulan Sabit Syiah. Martin Indyk, bekas duta AS ke Israel menyuarakan cadangan satu “pakatan Sunni-Israel” bagi menghadapi Iran.

Secara rasmi dan tidak rasmi, pelbagai bentuk hubungan terlaksana antara negara-negara Arab Teluk dengan Israel, terutama melibatkan Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Qatar. Perkembangan terbaru sejurus Donald Trump menjawat jawatan presiden ialah yang paling jelas dapat diperhatikan trajektorinya.

Selepas dilaporkan rancangan “Nato Arab” oleh akhbar Wall Street Journal, di Persidangan Keselamatan Munich, Menteri Luar Saudi Adel al-Jubeir dalam ucapan menuduh Iran sebagai pendana terorisme. Sejak itu, kenyataan-kenyataan keras terus muncul dari Arab Saudi.

Perkembangan terkini memberikan isyarat yang sangat jelas. Riyadh menjadi destinasi lawatan luar negara pertama presiden AS, yang destinasi biasa sebelum ini sejak Ronald Reagan ialah Kanada, dan sekali, Mexico. Lawatan sulung Trump ialah Arab Saudi, diikuti Israel.

Di bawah, satu tulisan ditulis pada 2012 tentang kemunculan “pakatan Sunni-Israel.”

Haris Zalkapli

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *