NUZUL AL-QURAN: MENGAPA DIAWALI DENGAN IQRA’?

Oleh: Abdul Mu’izz Muhammad
22 Mei 2019

Setelah kira-kira 500 tahun masyarakat dunia tidak diutuskan Nabi, Allah menghantar Nabi Muhammad sebagai penutup ajaran wahyu. Implikasi dari terbiarnya manusia dalam tempoh yang cukup lama itu, hidup mereka menjadi pincang dari segenap sudut.

Mengapa Membaca?

Jika difikirkan logik, sepatutnya Allah memulakan wahyu dengan seruan insaf, kembali beriman dan memperbaiki sifat insani manusia. Namun tidak, Allah merasmikan wahyu buat Nabi dengan seruan agar membaca.

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

“Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan,” – al-‘Alaq 1

Ayat ini mendedahkan 2 elemen yang perlu dimiliki oleh manusia untuk mencapai makna kepuasan dan kebahagiaan hidup:

• Intelektual
• Spiritual

Tabiat manusia gemar bertanya, mengambil tahu dan mencari jawapan. Apabila manusia memperolehi jawapan dari persoalan-persoalan yang bersarang dalam minda, mereka akan merasa puas dan bahagia.

Maka Islam datang menawarkan jawapan-jawapan untuk kehidupan manusia. Dari ilmu tersebut, Islam menghubungkan manusia dengan Tuhan yang menciptakan mereka. Proses pembinaan intelektual dan spiritual tersebutlah yang membahagiakan fitrah manusia dan ia menjadi ayat pertama al-Quran.

Realiti Yang Tidak Seimbang

Namun malangnya realiti hari ini, masyarakat Barat mengutamakan intelektual dan mengesampingkan spritual. Lantas hidup mereka kosong tidak berpedoman. Walaupun mereka kelihatan maju, tetapi banyak berlaku kes bunuh diri. Bahkan mereka berusaha mencari kepuasan hidup hingga terkadang perilaku mereka berubah menjadi haiwan.

Sementara umat Islam hari ini, mengutamakan sudut spiritual dan mengesampingkan intelektual. Lalu mereka tetap tidak beroleh ketenangan kerana persoalan-persoalan dalam minda masing-masing tidak boleh dijawab. Bahkan dengan ketempangan tersebut, Islam dilihat tidak menarik di mata masyarakat dunia.

Budaya Beragama Yang Dangkal

Hakikatnya ayat pertama al-Quran itu merupakan serangan dahsyat ke atas budaya beragama yang melatari senario kejahilan manusia ketika diutuskan Nabi.

Syeikh Abdul Rahman Habannakah menjelaskan betapa doktrin beragama yang songsang, seringkali menetapkan kononnya agama mestilah bertembung dengan ilmu dan logik:

“(Kononnya) agama seringkali tidak meraikan akal. Agawaman mereka gemar mendoktrin kepada penganut masing-masing agar padamkan nyalaan akal kamu. Sebaliknya berpeganglah dengan agama secara membuta tuli. Mereka mengharamkan budaya berfikir dan mengkaji permasalahan agama.”

Inilah yang ditentang keras oleh Islam. Al-Quran mendedahkan budaya-budaya songsang sedemikian dalam beberapa ayat. Antaranya:

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ

“Mereka menjadikan paderi-paderi dan pendeta-pendeta mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah.” – al-Taubah 31

وإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا ۗ أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ

“Apabila diseru kepada mereka agar ikutilah apa yang telah Allah turunkan. Mereka menjawab cukuplah kami ikut apa yang telah diajar oleh nenek moyang kami. Apakah jika nenek moyang mereka (mengajar ajaran) yang bercanggah dengan akal dan tidak mengikuti panduan sekalipun (mereka tetap mahu ikut).” – al-Baqarah 170

Fitrah Kritis

Dari budaya dangkal itu menghasilkan penganut-penganut agama yang bodoh. Dalam erti kata yang lain, muncul suasana yang serba tidak harmoni antara ilmu dan agama.

Seakan-akan sesiapa yang mahu berpegang dengan agama, mesti berperang dengan ilmu. Dan sesiapa yang mahu berpegang dengan ilmu pula, mesti berperang dengan agama.

Sedangkan hakikatnya, al-Quran menjelaskan betapa Islam itu agama yang secocok dengan fitrah manusia. Dalam keadaan budaya beragama lain menyuruh penganut mereka agar jangan berfikir, al-Quran mengaitkan berfikir sebagai aktiviti yang membuahkan iman.

Budaya beragama lain menyatakan agar jangan bertanya, Islam datang menjelaskan bahawa bertanya itu sebagai budaya pencerahan. Agamawan-agamawan anutan lain memaksa pengikut mereka agar jangan menggunakan akal, sebaliknya ikutlah membuta tuli.

Islam datang dengan gagasan segar yang menjadikan akal sebagai alat untuk menemui iman serta larangan dari mengikuti sesuatu ajaran secara membuta tuli. Hanya Islam yang mampu menjalinkan hubungan antara keperluan fitrah intelektual dan spiritual manusia.

Rumusan Syeikh Habannakah

Dalam menjelaskan hubungan antara Islam dan ilmu, Syeikh Abdul Rahman Habannakah menyatakan:

• Setiap hakikat ilmu tidak mungkin akan bercanggah dengan hakikat agama yang benar.

• Setiap hakikat dalam kefahaman beragama, tidak mungkin akan bercanggah dengan hakikat ilmu yang benar.

• Jika terdapat gambaran seakan-akan terdapat pertembungan antara agama dan ilmu, maka ia perlu terus dikaji untuk mengesan samada ajaran yang dianuti itu salah, atau ilmu yang dipegang itu yang salah.

Inilah kaedah iman dan manhaj orang-orang yang beriman.

Tipu Daya Orientalis

Seorang sarjana Islam yang bernama Edward Said, telah berjaya melondehkan doktrin orientalisme sebagai serangan pemikiran halus ke atas umat. Beliau mendedahkan antaranya, orientalis berusaha menetapkan sebuah tanggapan kononnya Islam adalah agama yang serba misteri, tidak mampu dijelaskan dengan hujah ilmu dan tidak boleh difikirkan dengan daya rasional yang waras.

Apabila umat Islam menelan doktrin tersebut atas nama ‘iman’, maka golongan orientalis melangsungkan tanggapan yang ke seterusnya. Lantas muncullah persepsi kononnya Islam hanya boleh dianut oleh golongan yang bodoh dan ia bukanlah ajaran yang meraikan daya intelektual manusia.

Mereka cuba menyamakan kegagalan budaya beragama masyarakat Eropah ketika Zaman Gelap mereka, dengan agama Islam. Sedangkan budaya beragama yang ditawarkan oleh Allah sama sekali berbeza dengan corak agama rekaan manusia.

Usaha sedemikian giat dijalankan antaranya oleh seorang tokoh liberal Syria yang bernama Sadiq Jalal Azam. Beliau membawa persepsi kononnya agama Islam adalah agama yang sentiasa bercanggah dengan ilmu dan tidak meraikan daya intelektual manusia.

Lantas Syeikh Abdul Rahman Habannakah menulis kritikan balas melalui kitabnya yang berjudul ‘Sira’ Ma’a al-Malahidah’.

Membudayakan Ilmu

Inilah jawapan mengapa wahyu pertama al-Quran, dimulakan dengan perintah agar membaca. Ia sebagai manifestasi pembudayaan ilmu yang memanusiakan manusia.

Jika ada dalam kalangan umat Islam yang menganggap kononnya budaya ilmu, fikir dan bertanya itu tidak selari dengan ruh beragama, ternyata dia telah terprogram untuk memahami agama secara jahiliyah dan seterusnya telah terperangkap dengan tipu daya orientalis.

Tinggalkan komen anda