MODENISASI AGAMA

Aziz Azhar
25 April 2020

Sejarah bangsa Eropah yang berjaya mengecapi kemodenan telah mendorong penduduk dunia untuk mengkaji peradaban Barat. Meskipun hidup dalam keadaan serba maju, implikasi arus kemodenan yang diterajui Barat telah memunculkan sebuah aliran falsafah yang dikenali sebagai ‘modenisme’.

Definisi modenisme bukan sekadar merujuk kepada zaman moden, bahkan ianya merupakan faham yang memperjuangkan pembaharuan dalam segenap aspek kehidupan manusia termasuklah dalam kerangka perbahasan hidup beragama.

Dalam pemikiran masyarakat Barat, amalan hidup beragama perlu dimodenisasikan. Idea ini telah menyebabkan berlakunya penafsiran semula terhadap agama termasuklah Islam kerana menyangka bahawa kemajuan ilmu pengetahuan dan kemodenan yang dicapai dewasa ini membenarkan tindakan sedemikian rupa.

Kelompok Muslim yang menganut modenisme mengatakan ianya adalah pembaharuan atau evolusi dalam kehidupan beragama. Pandangan ini saling tidak tumpah seperti pandangan para reformis Yahudi dan Kristian.

Golongan yang memperjuangkan Islam versi moden ini bermaksud untuk mengubah segala struktur agama tanpa mengira sama ada ianya perkara prinsip ataupun cabang. Mereka berpendapat seolah-olah itulah pengembangan mutlak yang diperlukan oleh mana-mana agama sekiranya sesebuah agama itu mahu diamalkan oleh masyarakat moden.

Sedangkan majoriti sarjana Islam telah menetapkan limit pembaharuan hanya boleh dilakukan dalam lapangan seperti politik, ekonomi, muamalat dan sosial di mana ianya tidak berhubung dengan permasalahan aqidah dan ibadah secara khusus.

Ruang-ruang dalam urusan keduniaan diberikan oleh Allah SWT kepada manusia sebagai meraikan anugerah aqal, namun pembaharuan yang dilakukan mestilah bersandarkan pada kaedah-kaedah umum yang menepati prinsip agama. Tidak boleh langgar begitu sahaja.

Pada asalnya, modenisme merujuk kepada peradaban yang menolak nilai ketuhanan atau agama. Namun, sudah menjadi tradisi dan budaya kebanyakan orang, agama menjadi sebahagian daripada pelengkap kehidupan. Justeru, demi menjayakan modenisme, langkah awal adalah dengan melakukan reformasi terhadap ajaran agama.

Sejarah gelap Eropah menjadi saksi akan perihal ini. Apabila masyarakatnya ditindas agamawan, maka berlakulah agenda reformasi terhadap ajaran Kristian. Implikasinya, Kristian telah berpecah menjadi dua blok utama yang dominan di Eropah ketika itu, iaitu blok Katholik dan blok Protestan yang lebih liberal.

Bertitik tolak daripada itu, reformasi agama telah melahirkan sebuah masyarakat Eropah moden yang bebas menterjemah agama kerana Bible tidak lagi menjadi hak mutlak para pendeta malah turut disebarkan ke serata Eropah melalui bantuan mesin cetak.

Lama-kelamaan, masyarakat Barat mula meninggalkan agama dan lebih mengimani aqal apatah lagi setelah berkembangnya ilmu sains dan falsafah. Sememangnya, prinsip modenisme adalah faham yang menolak unsur-unsur wahyu dan ketuhanan, sebaliknya mementingkan aqal dan sains tabi’ie kerana menganggap individu sebagai kebenaran yang mutlak.

Seorang tokoh liberal dan modernis Mesir bernama Hasan Hanafi telah menyeru supaya istilah-istilah ‘permanent‘ dalam agama diubah mengikut cita rasa moden antaranya ialah kalimah ‘Allah’. Beliau beranggapan manusia moden perlu memahami sesuatu perkara secara aktual.

Menurut Hasan, perkataan Allah sinonim dengan perasaan sedih dan bahagia. Makanya, menurut beliau, perkataan Allah bagi orang yang lapar perlu diganti kepada ‘roti’, manakala bagi orang yang dizalimi, Allah ditukar kepada ‘keadilan’ dan bagi orang yang dibenci, ditukar kepada cinta dan begitulah seterusnya.

Pada masa yang sama, beliau juga mengusulkan bahawa istilah-istilah agama seperti mukjizat, kenabian, syurga, neraka dan seumpamanya sudah tidak lagi releven di zaman moden. Beliau berpendapat, istilah-istilah ini tidak mampu dihadam oleh manusia moden kerana dianggap berlebihan dan tidak dapat ditanggapi oleh panca indera melainkan dilakukan penafsiran yang baru dan segar ke atasnya.

Di sini pentingnya untuk kita memahami keaslian pemikiran Islam. Hal-hal yang dikemukan oleh Hasan Hanafi tadi sebenarnya tertolak dan tidak boleh disebut sebahagian daripada pembaharuan dalam wacana tajdid pemikiran Islam.

Alasannya, pemikiran beliau tidak berpijak pada sumber ilmu pengetahuan yang benar dan didokong oleh wahyu. Tidak ada langsung unsur penjagaan aqal seorang Muslim yang sepatutnya berpegang teguh terhadap agama. Beliau gagal menjadikan khazanah turath Islami yang merupakan tapak asas pemikiran Islam sebagai sumber kekuatan bagi umat untuk lebih maju kehadapan.

Betapa ideologi modenisme itu berbeza sama sekali dengan kerangka pemikiran Islam yang terpelihara keasliannya. Oleh itu, mengenal pasti batas pemisahan antara pemikiran Islam dan pemikiran bukan Islam merupakan tuntutan bagi mendepani cabaran berupa ideologi moden. Islam merupakan ajaran yang bersifat ‘putus’, lengkap dan tidak memerlukan sebarang bentuk reformasi terhadap strukturnya.

Meskipun demikian, bukanlah bermaksud Islam menolak pembaharuan sebaliknya Islam sangat meraikan idea-idea baru asalkan ianya tidak bercanggah dengan prinsip. Dalam perbahasan pemikiran Islam, intinya adalah ijtihad yang merupakan pintu kepada agenda tajdid (pembaharuan).

Di sini beza pemikiran Islam dan pemikiran non-Islam. Tajdid tidak sama dengan refomasi. Tajdid dalam Islam sifatnya terikat dengan nas dan tujuannya adalah mengembalikan umat kepada Al-Quran dan Sunnah di samping berperanan menjaga nilai-nilai keimanan terhadap Islam. Adapun reformasi adalah tindakan mengubah struktur agama secara menyeluruh sehingga menjadikan agama hanya tinggal pada nama.

Kesimpulannya, untuk menolak modenisasi agama, perlunya para ilmuan dan cerdik pandai Muslim lebih fokus mengkaji ideologi moden dan berusaha mengenal pasti fikrah-fikrah pelik yang menyerap masuk ke dalam pemikiran umat. Kajian-kajian ini begitu signifikan demi menjaga kemurnian pemikiran Islam dari unsur-unsur eksternal yang tidak selari dengan nilai-nilai Islam.

Rujukan:

Mawaqif: Beriman Dengan Akal Budi, Dr. Henri Shalahuddin.

Tinggalkan komen anda