MENJELANG FASTAQIM; SATU SARANAN DAN SATU AMARAN

SARANAN

Selain membugar semangat jentera PAS menuju PRU yang bakal tiba, tujuan diadakan Fastaqim juga adalah untuk mengumpul sekurang-kurangnya 200 ribu ahli pada satu masa. Bagi menunjukkan kepada kawan dan lawan akan kekuatan PAS. Supaya orang luar nampak hebat, orang dalam bertambah yakin, membuat musuh menjadi gerun. Sesuai dengan makna irhabi.

Firman Allah SWT:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ
Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.
[Al-Anfal:60]

Menunjukkan kekuatan dengan bilangan menjadi sunnah dalam perjuangan. Malam sebelum membuka kota Mekah, Rasulullah memerintah setiap tentera Islam menyalakan api sekaligus di tempat mereka berkhemah di luar Mekah, supaya dilihat penduduk Mekah. Begitu juga, baginda sengaja menempatkan Abu Sufyan bin al-Harith di tengah sebuah lembah tempat tentera Islam berarak, supaya beliau melihat kekuatan tentera Islam seorang demi seorang. Menyebabkan beliau gerun dan menjadi faktor Mekah berjaya ditawan tanpa peperangan.

Justeru, ahli PAS perlu memperbetulkan niat mereka untuk hadir. Hadir biarlah atas niat mentaati arahan pemimpin. Taat biarlah kerana Allah. Atas tujuan menzahirkan kekuatan kita. Dan membugar semangat untuk terus istiqamah.

Walaupun terdapat berbagai acara yang meriah umpama karnival atau pesta, tetapi janganlah ia menjadi sebab utama kita ke sana. Jangan didik diri kita untuk hadir program yang seronok-seronok sahaja. Bimbang tergelincir niat yang murni.

Sebaiknya hadirlah penuh. Namun jika tidak mampu, hadirlah sebahagian. Andai perlu memilih, maka pilihlah acara kemuncak iaitu malam 30hb hari Sabtu. Kita faham bukan semua mampu bersama sepanjang program berlangsung.

Jangan pula yang tidak sukakan hiburan dan suasana hiruk-pikuk memilih untuk tidak hadir langsung kerana beberapa pengisian tersebut. Kalian boleh memilih untuk tidak menyertai semua, tetapi yang lebih mustahak dari semua itu, adalah malam kemuncak yang bakal disampaikan segala perkara penting buat persiapan menuju PRU14. Pimpinan akan menyampaikan bekalan kepada kita, umpama khalifah yang menyampaikan wasiat peperangan.

Pastikan kita berkumpul seramai mungkin pada malam kemuncak. Tunjukkan kekuatan sebenar PAS pada masa tersebut. Atur jadual sebaiknya agar tiada siapa terkecuali pada malam yang bakal melakar sejarah itu.

AMARAN

Berbagai perasaan akan timbul apabila kita berhimpun nanti. Yang lemah akan jadi semangat bila menumpang semangat orang lain yang ada. Yang sedih akan jadi gembira bertemu rakan seperjuangan. Yang ragu akan kembali yakin dengan setelah mendengar amanat dari pimpinan.

Namun perlu berwaspada dengan satu perasaan. Iaitu perasaan berbangga dengan bilangan.

Fastaqim mensasarkan sehingga 200k ahli. InsyaAllah jika tuhan izinkan, lebih dari itu kita boleh kumpulkan. Walaubagaimanapun, perlu diingat juga pesanan tuhan:
لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ ۙ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ ۙ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ
Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang. Dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.
[At-Tawbah:25]

Di medan Hunain, jumlah tentera Islam cuma lebih kurang 12k orang. Itupun jauh lebih sedikit berbanding bilangan musuh. Tetapi yang menyebabkan mereka rasa megah ialah kerana itulah jumlah tentera paling ramai pernah dikumpul dalam satu peperangan.

Kemegahan itu menyebabkan mereka lalai dari berharap kepada Allah. Mereka berkata sesama sendiri:
“Kalau dengan jumlah yang lebih sedikit pun kita mampu menang, mustahil kita kalah dengan jumlah seramai ini.”

Lalu Allah mengajar mereka dengan seranga hendap musuh. 12 ribu tadi panik tidak tahu bebuat apa. Akhirnya hilang lintang pukang. Yang tinggal hanya sekitar seratus orang. Dengan jumlah itu barulah Islam menang.

Nabi SAW pernah bersabda:
لا يغلب اثنا عشر ألفاً من قلة
“Tidak akan dikalahkan tentera seramai 12 ribu orang kerana sedikitnya bilangan mereka.”
[HR Abu Daud dan Tirmizi]

Maksudnya sekiranya orang Islam memiliki jumlah sekurangnya 12 ribu orang, mereka tak akan dikalahkan. Jika mereka kalah, maka bukan lagi kerana faktor bilangan. Tetapi kerana faktor lain, contohnya pengharapan mereka kepada pertolongan tuhan masih tidak utuh, seperti yang berlaku dalam Perang Hunain.

Justeru perlulah berwaspada. Jangan sampai bilangan yang berjaya dikumpul nanti menyebabkan kita over-confident, sehingga lupa untuk terus berharap pada Ilahi.

Selamat berFastaqim untuk semua!

8 Muharram 1439
28 September 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *