MENJAUHI MEREKA YANG BODOH SOMBONG TERMASUK DALAM SUNNAH HASANAH

Oleh: Sofia Alwani Ali
21 April 2020

Dalam dunia ini, tidak akan wujud manusia yang tahu segala-galanya. Allah SWT berfirman;

وَفَوْقَ كُلِّ ذِي عِلْمٍ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu, ada lagi Yang Maha Mengetahui.” (Yusuf: 76)

Sehubungn ayat ini, Imam Hasan al-Basri berkata:

ليس عالم إلا فوقه عالم ، حتى ينتهي إلى الله عز وجل

Maksudnya: Tidak ada seorang pun yang alim, melainkan pasti ada sang alim yang lain akan mengatasi dan menandingi beliau. Rantaian ini berterusan hingga penghujungnya ialah Allah SWT.

Maha Suci Allah. Tiada yang lebih bijak sesudah-Nya.

KEANGKUHAN AKAN MEMBINASAKAN

Justeru, dapat kita fahami bahawa ketiadaan pengetahuan dalam sesuatu bidang ilmu merupakan perkara yang sangat normal. Apa yang tidak normal ialah manusia yang mengaku tahu segalanya lalu bersikap angkuh dan memperlekehkan orang lain. Mereka ini yang akan kekal jahil. Begitu juga orang yang berpengetahuan, apabila bersikap angkuh akan terjerumus ke kancah kebodohan.

Sabda Nabi SAW;

الكبر بطر الحق وغمط الناس

Maksudnya: Keangkuhan itu ialah sikap menolak kebenaran dan memperlekehkan manusia. (HR Muslim)

SARANAN AL-QURAN DAN SUNNAH

Kita diajar agar bersikap tabligh sebagaimana para rasul AS. Tabligh merupakan antara sifat wajib bagi seorang rasul. Menyampaikan ilmu dan ajaran yang benar. Memerangi khurafat dan kejahilan yang membinasakan umat.

Namun begitu, apabila nasihat dan perkongsian dianggap sebagai ancaman atau cubaan untuk menggugat, lalu perbincangan bertukar menjadi sesi ejekan dan perlian sinis, al-Quran mengajar agar kita segera berpaling daripada mereka.

Firman Allah SWT,

وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya: “Dan serulah manusia agar mengerjakan yang makruf serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh.” (Al-A’raf: 199)

Sehubungan ayat ini, Imam Ibn Katsir menukilkan beberapa mutiara hikmah ulama:

1- Ulasan Ibn Jarir:

Ibn Jarir mengatakan, “Allah telah memerintahkan kepada Rasulullah agar menganjurkan semua hamba-Nya untuk berbuat kebajikan, dan termasuk dalam kebajikan ialah mengerjakan ketaatan dan berpaling daripada orang-orang yang bodoh.”

2- Kisah Salim bersama kafilah dari Syam, yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Nafi’.

Menurut beliau,

Suatu hari Salim bin Abdullah bin Umar bersua dengan sekumpulan kafilah dari negeri Syam. Kafilah tersebut membawa sebuah loceng.

Maka Salim berkata,

“Sesungguhnya barang ini diharamkan.”

Mereka menjawab,

“Kami lebih mengetahui daripada kamu tentang hal ini. Sesungguhnya yang tidak disukai hanyalah loceng besar, sedangkan loceng seperti ini tidak mengapa.”

Salim diam dan merenungkan firman-Nya:

وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya: “Dan berpalinglah dari orang-orang yang bodoh.” (Al-A’raf: 199)

SIKAP KITA TERHADAP DUA GOLONGAN MANUSIA

Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa manusia itu ada dua jenis:

1- Orang yang baik.

• Maka terimalah kebajikan yang diberikan kepadamu.
• Janganlah kamu membebaninya dengan sesuatu yang di luar kemampuannya atau menyempitkan dirinya.

2- Orang yang buruk.

Adapun terhadap orang yang buruk,

• Maka perintahkanlah dia untuk berbuat yang makruf.
• Jika dia tetap tenggelam dalam kesesatannya serta membangkang —tidak mahu menuruti nasihatmu— serta terus-menerus di dalam kebodohannya, maka ber­palinglah kamu daripadanya.

SYAIR HIKMAH MENGUNGKAP PESAN SYARIAT

خُذ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بعُرفٍ

Jadilah kamu pemaaf dan serulah (orang-orang) berbuat kebajikan,

كَمَا … أُمِرتَ وأعْرض عَنِ الجَاهلين

Sebagaimana engkau diperintahkan. Dan berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh

وَلِنْ فِي الكَلام لكُلِّ الْأَنَامِ

Berlemah-lembutlah dalam berbicara kepada semua orang,

فَمُسْتَحْسَن مِنْ ذَوِي الْجَاهِ لِينْ

Maka hal yang baik bagi orang yang berkedudukan ialah berkata dengan lemah-lembut.

Tidak rugi kita mengaku tidak tahu, kerana kita akan mendapat tunjuk ajar orang lain. Tidak untung kita berpura-pura tahu, akibatnya kita terhijab daripada kebenaran.

Tinggalkan komen anda