MEMERANGI SERANGAN PEMIKIRAN: APAKAH MASIH BUKAN FARDHU AIN?

Oleh: Mohd Fadli Ghani
9 September 2020

Saya membaca catatan sahabat saya, Ustaz Abdul Mu’izz Muhammad tentang budaya popular yang bertebar di kalangan umat Islam, bahkan dalam gerakan Islam juga, dengan pandangan baru yang mesti ditelaah semasak-masaknya oleh umat Islam. Ini bukan pertama kali Ustaz Mu’izz menuliskan tentang isu-isu pemikiran, bahkan kami saban hari berdiskusi secara formal mahu tidak formal tentang hal ini.

Kerana kesedaran terhadap ghazwatul fikri ini, membawa kami menghidupkan Akademi al-Ghazali satu ketika dahulu, kemudian mendorong kami menggali khazanah ilmu dan pemikiran Islam di INSIST, yang berpusat di Jakarta. Dr. Adian Husaini membimbing kami secara langsung, di samping beberapa sarjana lain di dalam keluarga besar INSIST itu.

Saya telah bercakap tentang besarnya ancaman faham liberal terhadap gerakan Islam, termasuk PAS sejak permulaan sejarah gerakan Geng Ustaz, kemudian merebak menjadi pertembungan pemikiran dalam PAS. Ia bukan isu yang pertama kali saya ketengahkan, kerana sebelum ini saya bersama rakan saya, Dr. Dominic Fuller, seorang sarjana Jerman sering kali berdiskusi tentang pembiakan budaya popular dalam Dewan Pemuda PAS.

Seorang lagi sahabat saya, Dr. Mohamad Nawab Osman dari RSIS, Singapura juga sering dijadikan regu bertukar pandangan kerana kajian-kajian beliau tentang gerakan Islam kontemporari dan hubungan beliau dengan Olivier Roy. Saya bersuara keras mengingatkan pimpinan PAS tentang kajian Dr. Lily Zubaidah, sarjana Singapura yang aktif di Australia yang merumuskan tentang ancaman post-Islamism di dalam PAS.

Saya ketepikan dahulu seluruh sudut pandang yang diberikan oleh para pengkaji yang memandang dari luar tentang bertebarnya serangan pemikiran ke atas umat Islam, khususnya di dalam gerakan Islam seperti PAS. Tulisan-tulisan seperti yang diungkap oleh Ustaz Mu’izz walaupun dipandang sebagai pencerahan yang tajam oleh banyak kalangan, tetapi tidak kurang juga ramainya khalayak politik PAS yang ‘berbulu’ dengan beliau.

Bagi mereka uslub dakwah untuk mendekati generasi muda perlu menjadi lebih luwes (fleksibel). Mereka nampaknya tidak dapat membezakan di antara bahaya serangan pemikiran yang sedang dilancarkan oleh musuh dengan uslub dakwah yang terbabas usul itu.

Di sebalik polemik yang tidak ketemuan punca itu, saya hanya ingin melontarkan satu persoalan. Isunya, PEPERANGAN! Di dalam hukum fekah, orang Islam berhadapan dengan dua keadaan jika berperang. Pertama, menjadi fardhu kifayah apabila serangan musuh ke atas umat Islam tidak berlaku di tempat kita tinggal, tetapi di negeri umat Islam yang jauh. Kedua, ia akan bertukar menjadi fardhu ain apabila musuh menyerang negeri tempat tinggal kita. Jika musuh sudah memasuki negeri kita, memerangi mereka sebagai satu jihad adalah fardhu ain.

Dunia telah berubah, masa telah bergeler. Musuh-musuh tidak lagi menyerang dengan kuda, pedang dan perisai. Serangan dengan jet pejuang dan bom kimia juga tidak mampu membunuh iman orang Islam. Serangan mereka telah bertukar arah sejak lebih 500 tahun dahulu. Mereka melancarkan serangan pemikiran dan ideologi. Dulu mereka mengusung sekularisme, kapitalisme, komunisme dan seumpamanya. Separuh aqidah umat terbakar! Ketika umat Islam mulai mengislahkan diri, mereka melancarkan serangan baru, liberalisme, post-Islamism dan budaya popular. Harapan mereka, agar umat Islam terus terpuruk di dalam kesesatan.

Adakah serangan ini berlaku di satu negeri yang jauh dari kita? Lalu kita semua diam, senyap, membisu, kaku dan kematian kutu. Atau kita masih bebal dan dungu untuk memahaminya? Musuh-musuh sekarang bukan ‘berperang’ di negeri-negeri yang jauh sehingga bangkit memerangi mereka hanyalah ‘sunat’ sahaja atau paling tinggi pun adalah fardhu kifayah.

Sedarlah wahai saudara-saudaraku sekalian. Serangan dan alat-alat perang musuh telah memasuki poket-poket kita, pejabat-pejabat kita, rumah-rumah kita, kenderaan-kenderaan kita. Ia bukan lagi fardhu kifayah untuk memerangi serangan pemikiran oleh musuh, bahkan telah menjadi FARDHU AIN!

Teringat saya kepada satu ingatan kecil tetapi besar maksudnya oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, yang sangat membekas di hati saya. “Kalau musuh melancarkan serangan pemikiran yang masuk ke poket-poket kita, berjihad ke atas musuh itu bukan lagi fardhu kifayah, tetapi telah menjadi fardhu ain!”, tegas Tuan Guru terhadap kewajipan setiap orang dari kita untuk berperang terhadap serang pemikiran yang dilancarkan oleh musuh.

Semoga kita berfikir dengan akal kali ini, bukan lagi dengan gejolak nafsu!

Tinggalkan komen anda