MEDIA SOSIAL: MEDIUM DAKWAH ATAU CERITA PERIBADI ARTIS?

Oleh: Sofia Alwani Ali
4 September 2020

Seni boleh dijadikan medium dakwah, tetapi bukan dengan cara bergosip perihal artis.

Kdrama atau drama korea yang dahulu terkenal memaparkan jalan cerita cinta dan bergenre melodrama semata-mata, kini semakin mendapat tempat apabila tema yang diangkat dalam filem mereka diluaskan ke arah psikologi, falsafah dan turut diselitkan fakta sejarah. Tema-tema berat yang sering dianggap membosankan jika ditonton lewat dokumentari, menjadi menarik dengan persembahan secara lakonan beserta unsur humor.

Melalui filem Juror 8, penulis dapat menambah info asal-usul penglibatan juri dan bagaimana sistem pengadilan tersebut diperkenalkan di Korea Selatan.

Jika kita menonton filem I Can Speak pula, ia memaparkan sejarah pahit antara Korea Selatan dan Jepun, bahkan hubungan mereka masih belum pulih sepenuhnya hingga kini, ekoran sejarah peperangan antara mereka. Ketika era peperangan tersebut, wanita Korea ditangkap dan dijadikan comfort women atau hamba pemuas nafsu kaum lelaki Jepun khususnya tentera mereka. Korea Selatan menuntut permohonan maaf, namun Jepun yang sering dipuji beretika rupanya tetap ego dan tidak mahu memohon maaf atas sejarah tersebut.

Berbalik pada tajuk catatan ringkas kali ini, suka penulis tarik perhatian para pembaca, bahawa bidang kesenian dan kebudayaan sememangnya merupakan ruang dakwah yang cukup berpotensi menyampaikan sebarang mesej moral mahupun sebaran propaganda. Ia lebih mudah mencapai jumlah audien yang ramai dan lebih berkesan untuk menyampaikan sesuatu yang kompleks ke dalam bentuk ringkas.

Oleh itu, dapat kita perhatikan bagaimana kelompok pasca Islamisme menyuntik idea mereka hingga karya yang memuatkan agenda mereka cukup diterima termasuk oleh golongan Islamis itu sendiri.

Sebagai contoh, karya yang muncul sebagai perdebatan termasuklah filem yang suatu ketika dulu cukup fenomena; Ayat-ayat Cinta. Selain itu, filem Perempuan Berkalung Sorban turut dikesan mengambil kesempatan atas kelemahan umat Islam untuk menaikkan idea perjuangan liberal feminisme. Jika disebutkan lagi beberapa filem seperti Laskar Pelangi, penulis yakin bahawa masih ramai dalam kalangan rakan Fb penulis sendiri tidak menyedari idea dan mesej post-Islamisme dalam filem-filem tersebut.

Hal ini menjadi bukti bahawa kita masih belum cukup teliti soal ideologi dan falsafah yang mencemarkan ajaran murni Islam. Tambahan lagi, bidang seni dan hiburan sangat strategik untuk dimanfaatkan sebagai ejen penyebar mesej ajaran Islam.

Malangnya, otak simplistik sesetengah kita yang barangkali terlalu penat untuk berfikir, mudah sekali membuat kesimpulan bahawa untuk berdakwah melalui seni dan hiburan adalah dengan bergosip kisah rumah tangga artis-artis. Hari ini gosip perkahwinan, esok lusa gosip kisah poligami dan penceraian pula. Kitaran tersebut berulang atas nama peluang dakwah, namun kosong daripada mesej ajaran Islam. Akhirnya semakin orang merapati kita, mereka semakin mengenali kisah hidup artis, bukan semakin mengenali ajaran agama atau kisah umat dalam al-Quran.

Dalam hal ini, penulis sedikit malu apabila membandingkan kualiti topik perbualan media bertemakan Islam dengan kualiti drama Korea yang satu ini. Drama bertajuk My Father Is Strange ini menonjolkan nilai kekeluargaan dalam bentuk santai dan lucu, namun masih membawa beberapa idea penting.

Melalui drama ini, penulis belajar satu terma baharu, iaitu Persecution Complex. Ia bermaksud suatu keadaan di mana seseorang mempunyai perasaan tidak rasional atau obses meletakkan diri sebagai mangsa pihak yang lain. Isu ini ditimbulkan oleh Kim Yuju, seorang gadis pembuli yang kemudiannya berjodoh dengan abang kepada mangsa buli, Byeon Miyeong.

Pada babak yang lain pula, penulis sangat tertarik apabila Cha Gyutaek menegur isterinya yang berperwatakan self-centered, ego, tidak berempati dan agak narsistik, supaya tidak sibuk bergosip hal orang lain.

Dialognya berbunyi begini;

“Saya tak pernah harap awak akan fikirkan isu-isu penting seperti isu kenegaraan dan isu rakyat, tapi sekurang-kurangnya cubalah fikir perkara yang bawa manfaat, contohnya nak masak apa sarapan hari ini?”

Babak terakhir yang elok dikongsikan, apabila ibu bapa An Junghee (seorang selebriti dalam drama tersebut) diganggu wartawan yang menyerang bertalu-talu dengan soalan kontroversi. Ketika itu, muncul anak kedua, Byeon Hyeyong seorang peguam menyekat wartawan tersebut. Secara ringkas, berlangsung dialog antara mereka seperti berikut;

Hyeyong: Ayah saya kata beliau tak mahu ditemuramah, kenapa awak masih di sini? Dalam artikel yang awak tulis, awak letak gambar ayah saya, tahu tak itu melanggar akta gambar bla bla?

Wartawan: Tapi itu gambar dia berbaju sukan. Gambar atlet tak tertakluk pada akta gambar peribadi.

Hyeyong: Itu hanya untuk laporan sukan dan event berkaitan, sekarang ni isu peribadi. Menurut akta … gangguan pada kehidupan peribadi … nak kena saman?

Wartawan: Akta tu tak terpakai jika berita dilaporkan bagi memenuhi curiosity umum.

Hyeyong: Itu kalau isu berkait kepentingan umum. Apa salah rakyat biasa, disibukkan dengan kisah peribadi artis? Kenapa mereka mesti dipaksa untuk mengetahui perkembangan artis sedangkan ia tak berkait dengan kepentingan awam?

Hatta drama Korea mengetengahkan mesej supaya berbicara agenda penting, perbincangan idea dan tidak menyibuk akan gosip kehidupan peribadi artis. Apatah lagi kita, umat Islam dan gerakan dakwah yang lebih awal diajar bahawa antara keelokan nilai Islam seseorang, ialah apabila dia meninggalkan perbincangan yang tidak bermanfaat buat dirinya?

Ringkasnya, apabila ada page media berjenamakan Islam sibuk buat laporan dan kemas kini kehidupan artis, soalan yang sama jugalah mahu saya tanyakan.

Mengapa kami mesti dihidangkan dengan cerita peribadi artis?

Apa faedahnya buat diri kami, negara dan agama?

Jika serius mahu berdakwah melalui seni dan hiburan, kami sarankan agar dibuat karya berkualiti. Bukan drama cinta “ana enti” atau gosip artis. Tetapi sampaikan tema akhlak Islam dan tentangan terhadap liberalisme serta tasyaddud yang merosakkan ketulenan ajaran Islam. Bukan salah hiburan, tetapi cara respon kita mencerminkan tahap pemikiran dan pegangan.

Tinggalkan komen anda