MASYARAKAT HYPERSOSIAL DI ZAMAN MILLENIUM

Oleh: Dr. Muhammad Atiullah bin Othman
21 Ogos 2020

Kedatangan Millenium bermula dengan populariti internet. Ia paling asasnya menghubungkan komputer dengan komputer. Kemudian, internet memasuki fasa baru dengan menghubungkan manusia dengan manusia. Internet ini dapat digunakan dalam pelbagai alat dari komputer dekstop, komputer riba, telefon pintar, televisyen, jam tangan dan terdekat bakal berada di kaca cermin mata.

Malah, seseorang dapat menghubungkan dirinya dengan dirinya, barangnya, rakan terdekat, rakan sekolah, rakan sekerja, masyarakat setempat, pengurusan tempatan, kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, organisasi setempat, organisasi tempatan dan organisasi antarabangsa. Hebat penangan internet ini dapat menembusi halangan tempat, masa dan status.

Hubungan dengan menggunakan internet ini bercampah-campah. Bukan sahaja satu hala, ia pelbagai hala sehinggakan wujud satu istilah baru iaitu viral. Jaringan semakin penting sehingga populariti menjadi sesuatu perkara penting, terutamanya artis, ahli politik dan ahli agama. Mereka berlumba-lumba membina jaringan di internet dan menduduki kelas tersendiri.

Berlainan golongan yang tidak popular pula, mereka tidak endah tidak mendapat perhatian di ruang peribadi dan page mereka, tetapi mereka sangat mengambil endah terhadap ruangan komen di ruang peribadi dan page popular. Mereka sanggup bertindak agresif di ruang komen. Mereka sangat suka memberi komentar dan tidak kira sama ada komentar mereka itu memberi impak positif ataupun negatif. Malah, mereka akur bahawa merekalah Netizen, dan mereka akur bahawa mereka adalah “Makcik Bawang” di media sosial. Tindakan mereka ini sangatlah “hyper”. Inilah sikap hypersosial di ruang internet.

Sikap hypersosial ini sangat jelas di media sosial terutamanya Facebook, Instagram dan Tweeter. Tiga platform ini sangat mendominasi. Tidak kurang juga sikap ini wujud pada selebriti, ahli politik dan ahli agama yang sangat menagih populariti. Jikalau difikirkan semula, golongan selebriti, ahli politik dan ahli agama sangat mementingkan populariti kerana bagi mendapatkan pulangan kewangan. Selebriti akan mendapat job (kerja), ahli politik dapat kedudukan dan ahli agama dapat undangan ceramah.

Sebaliknya, hypersosial tidak mementingkan segala kepentingan. Komen dan membawang menjadi rutin harian dan semakin hari menjadi tabiat. Kecaman sudah tidak diambil peduli selagi boleh sahaja menjawab. Mungkin semakin banyak kecaman, semakin menjadi-jadi sikap hypersosial. Komen bodoh dan tidak berasas pun boleh dimuat naik tanpa segan silu. Selagi komen tidak menyebabkan mereka disumbat ke penjara, selagi itu komen mereka dianggap halal.

Tampaknya, suasana sikap hypersosial ini sudah menjadi norma baru masyarakat Millenium. Tak hairanlah buli siber dan penularan kerap sahaja berlaku. Selepas satu kes, timbul pula kes lain. Hari ini ada sesuatu yang tular, esok pula timbul sesuatu yang lain. Sehinggakan tular atau viral menjadi rutin gara-gara sikap hypersosial masyarakat Millenium.

Tidaklah saya menyatakan sikap hypersosial ini seratus peratus buruk. Ada juga yang baik. Ia menunjukkan keprihatinan masyarakat yang tinggi terhadap isu-isu sekitar mereka. Pada hemat saya, mungkin sahaja Pendidikan Tular dan Pengurusan Hypersosial akan menjadi penting bagi pendidikan negara. Malah, pihak akademik yang tidak memperdulikan masyarakat masakini akan dianggap kolot dan “Luddite”. Layan sahaja sikap hypersosial ini dan santuni mereka sebaiknya.

Tinggalkan komen anda