“MARITAL RAPE”: GAME AKTIVIS GENDER

Oleh: Ainnur Ukhta Uwais
20 Mei 2020

Salah satu perbahasan dalam hansard parlimen 30 Oktober 2018 menarik minat saya, iaitu terkait dengan isu “Marital Rape“. Dalam isu-isu gender, “Marital Rape” telah menjadi bualan hangat golongan penyokong kesetaraan gender khususnya sudah tentulah kelompok feminisme.

Mereka bermain hujah dengan mengatakan Islam mengakui larangan terhadap Marital Rape kerana jelas, wajib menggauli isteri atau suami dengan baik dan haram hukumnya menyakiti pasangan. Dengan argumen ini, sebahagian kalangan kita dalam tidak sedar menyokong usaha kriminalisasi Marital Rape ini yang kelihatan baik, namun disebaliknya mempunyai agenda jahat yang ingin diterapkan dalam masyarakat.

Sokongan yang muncul kebanyakannya adalah natijah dari kesalahfahaman tentang maksud dan konsep Marital Rape itu sendiri. Saya mengutip perbahasan ini dari kajian yang dibuat oleh Fajri M.Muhammadin, Islam dan Marital Rape: Antara Kesalahfahaman dan Kebenarfahaman (2019). Boleh cari kajian penuh beliau.

Tidak wujud konsep “Marital Rape” dalam Islam

Antara yang menjadi punca besar kesalahfahaman ini, adalah ketika berpendapat bahawa Marital Rape itu sama dengan “Menyetubuhi isteri atau suami dengan paksaan dan kekerasan”. Sedangkan terdapat perbezaan maksud istilah yang sangat fundemental dan menunjukkan kotradiksi antara satu sama lain.

Rape, Sexual Autonomy dan Pernikahan

Harus kita faham terlebih dahulu bahawa sebuah terma itu mewakili sebuah konsep khusus. Maka akan muncullah kekeliruan dan kecelaruan sebuah istilah jika ia tidak difahami dengan betul dan fundemental. “Rape“, ramai yang memahami bahwa ia bermaksud melakukan seks dengan kekerasan fizikal mahupun mental.

Perkara ini memang termasuk dalam yang kita sebut “pemerkosaan atau rogol” akan tetapi haruslah difahami secara fundementalnya juga.

“Pemerkosaan, pencabulan atau rogol” adalah serangan seksual yang mana penyerang memaksa mangsa yang enggan bersetuju untuk melakukan hubungan seksual (yakni diluar kemahuan mangsa).

Sedangkan Marital Rape yang mereka tetapkan merupakan “rape” (seperti yang dinyatakan) pada pelaku dan mangsa yang terikat dengan hubungan pernikahan. Yakni, seorang suami yang menyetubuhi isteri (atau isteri menyetubuhi suami) di luar kehendak si isteri atau suami itu.

Kekerasan fizikal dan mental juga merupakan hal yang dibahaskan. Apalagi ketika mangsa ada yang cedera atau mengalami gangguan psikologi.

Secara konseptual difahami bahawa “rape” adalah kejahatan terhadap sexual autonomy (autonomi seksual / hak dan kepemilikan seksual). Maka, untuk membahas “rape” tidak akan lari dari perbahasan sexual autonomy.

Maksud seksual autonomi yang mudah difahami ialah, “Setiap orang berhak memilih untuk berhubungan seksual dengan siapa dan dalam keadaan apapun”. Maknanya, dalam keadaan apapun seseorang memiliki hak seksual mutlak atas dirinya sendiri dan bebas daripada campur tangan orang lain.

Bila difahami lebih dalam, kita akan sedar bahawa mereka menetapkan bahawa ikatan perkahwinan juga termasuk dalam kategori “berhak memilih, dan dalam keadaan apapun.” Kerana itu, difahami juga bahawa atas alasan seksual autonomi jugalah, pasangan suami isteri pada dasarnya tidak memiliki hak seksual atas pasangannya kecuali apabila pasangannya itu menginginkannya.

Nikah, Halal dan Haramnya Seks dan Sexual Autonomy.

Dalam Islam, hukum asal hubungan seksual adalah haram kecuali apabila ada sesuatu yang membuatkannya halal, iaitu ‘akad nikah’. Manakala hubungan seksual yang haram adalah ‘zina’. Sepertimana firman Allah:

وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِفُرُوجِهِمۡ حَٰفِظُون.
إلَّا عَلَىٰٓ أَزۡوَٰجِهِمۡ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَٰنُهُمۡ فَإِنَّهُمۡ غَيۡرُ مَلُومِينَ.
فَمَنِ ٱبۡتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰئِكَ هُمُ ٱلۡعَادُونَ.

“Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Mukminun, ayat 5-7)

Dalam Islam sangat jelas bahwa suami memiliki hak bersetubuh atas isterinya, dan isterinya itu tidak boleh menolak kecuali ada halangan (haid, sakit, penat dan lain-lain). Sebagaimana sabda Nabi SAW:

“Apabila suami mengajak isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri enggan sehingga suami marah pada malam harinya, malaikat akan melaknat sang isteri sampai waktu subuh.” – Sahih Bukhari, Hadis no.3237. Sahih Muslim, Hadis no.3538.

Akan tetapi perlu diambil kira juga bahwa Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 228:

وَلَهُنَّ مِثۡلُ ٱلَّذِي عَلَيۡهِنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ.

“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak).”

Dari akad nikah (yang maksudnya, telah disepakati perjanjian oleh kedua belah pihak) lahirlah hak atas hubungan seksual yang dimiliki keduanya. Hak ini sifatnya adalah satu ke atas yang lainnya, sehingga memunculkan kewajipan. Jumhur ulama’ mengatakan, bahwa wajib juga hukumnya suami melakukan hubungan dengan isterinya. Demikianlah, suami dan isteri memiliki hak seksual atas satu sama lain, bukannya mutlak hak individu belaka.

Maka dikatakan dengan jelas bahawa, konsep sexual autonomy adalah konsep bathil. Selain kerana ia membebaskan perzinaan dilakukan atas suka sama suka, ia juga menolak dan menafikan adanya hak seksual pasangan yang telah berkahwin atas satu dengan yang lainnya.

Tetapi bolehkah memaksa hubungan seksual tersebut sehingga menganiaya?

Ightisaab dan Pemerkosaan

Dalam Islam dikenali dengan istilah al-Ightisaab dan inilah yang mirip pemerkosaan sebagaimana yang difahami pada umumnya. Fuqaha’ menyebutnya sebagai al-Ikrah ala Zina (pemaksaan untuk berzina).

Berkenaan Ightisaab, kata kuncinya pada dua terma tadi, pertama Al-Ikrah (pemaksaan) dan Zina (persetubuhan yang haram). Kerana Zina-nya, al-Ightisaab dikenakan hukuman hudud. Sedangkan kerana al-Ikrah-nya, mangsa tidak dikenakan hukuman kerana dipaksa manakala pelakunya boleh dipaksa membayar pampasan senilai mahar (menurut sebahagian ulama’) dan bahkan tergantung kepada situasi yang adakalanya boleh dikenakan hukuman tambahan.

Penjelasan singkat mengenai ightisaab ini memberikan tiga point penting:

1) Pemaksaan untuk berzina adalah sesuatu yang sangat dilarang dalam Islam dan merupakan jenayah, yang hukumannya sangat berat.

2) Pemaksaan pada al-Ightisaab bukanlah sebagaimana “rape” ia bukanlah berakar daripada konsep sexual autonomy (yang tidak diperkenalkan oleh Islam). Justeru, pemaksaan di sini terkait dengan: Pengecualian mangsa dari hukum hudud dan bergantung pada caranya, cara dapat memperberatkan hukuman pada pelaku disamping hukuman yang sudah ada.

3) Zina menjadi unsur penting (disamping al-Ikrah). Sedangkan hubungan suami isteri tidaklah dikategorikan sebagai zina.

Demikianlah, jelas bahwa Islam tidak memperkenalkan istilah Marital Rape. Terma ‘rape‘ atau pemerkosaan tidak masuk akal untuk berlaku dalam konteks hubungan suami dan isteri.

Tetapi apakah Islam membenarkan menganiaya pasangan untuk memaksanya berhubungan seks?

Memiliki Hak Bukan Bererti Boleh Mengambilnya Dengan Cara yang Bathil

Jika dalam penyembelihan, Islam mengajarkan kita untuk membuat sesuatu dengan cara yang sebaik-baiknya. “Maka sembelihlah dengan cara yang baik”. Sekiranya dengan binatang pun Islam mengajarkan kita untuk berlaku ihsan, apatah lagi antara suami dan isteri, bahkan sebagai manusia yang saling kasih mengasihi. Nabi SAW pernah berpesan:

“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah orang paling baik di antara kalian terhadap keluargaku.” -Riwayat Tirmidzi.

“Mintalah nasihat (sesama kalian) dalam memenuhi hak-hak isteri dengan baik.” – Dari Abu Hurairah.

Bergaul dengan cara yang baik itu termasuklah semua hal. Perkataan mahupun perbuatan hingga pemenuhan hak dan kewajipan. Kerana itu, sudah pastilah haram hukumnya untuk melakukan apa yang buruk, apatah lagi kepada suami atau isteri sendiri.

Jelas ada perintah umum berlaku ihsan dan larangan untuk menganiaya pasangan. Dengan atau tanpa hubungan seksual. Dan tidak terkecuali dalam hal memaksa hubungan seksual. Penganiayaan tersebut adalah salah.

Akan tetapi, kesalahan di atas tidak ada hubungannya dengan halal atau haramnya hubungan seks tersebut. Islam memisahkan kedua hal ini. Halal atau haramnya hubungan seks tidak terpengaruh oleh halal atau haramnya cara melakukannya.

Dengan demikian, kes pemaksaan seks dengan kekerasan fizikal atau mental antara pasangan yang telah berkahwin, tidak dikenakan hukum zina melainkan dihukum kerana penganiayaannya.

Berbeza dengan konsep Marital Rape dan sexual autonomy, yang mana pemaksaan dan ‘kehalalan’ seks ternyata hanya berhubungan dengan sebab (iaitu diluar kemahuannya). Manakala seksnya menjadi haram (tiada hak) walaupun mangsa dan pelaku berada dalam ikatan perkahwinan. (Sepertimana yang dijelaskan, konsep sexual autonomy, seks adalah hak mutlak individu dan bukan milik orang lain tanpa mengira status perkahwinan).

Kesimpulannya

Islam melarang menyetubuhi suami atau isteri dengan paksaan dan kekerasan, tetapi tidak juga mengenalkan konsep “Marital rape”. Yang betulnya adalah “Islam melarang suami ataupun isteri menganiaya pasangan secara seksual”.

Marital Rape menjadi kontradik dengan Islam kerana ia memiliki kaitan yang tidak boleh dipisahkan dari konsep sexual autonomy. Ini berbeza dengan Islam yang melihat perkara seksual dalam kerangka perkahwinan bukan hanya hak mutlak individu dalam keadaan apa pun, tetapi setiap pasangan juga mempunyai hak antara satu sama lain.

Game Aktivis Gender

Hari ini muncul gerakan-gerakan yang menyokong “criminalizationMarital Rape dengan pemahaman mereka. Yang mereka tekankan bukanlah lebih kepada kekerasan seksual suami pada isterinya tetapi juga meng ‘generalise‘ kan istilah itu dengan semua aktiviti seksual yang tidak dilandasi oleh kemahuan si isteri.

Maka bagi aktivis gender, aspek legal dan ma’ruf dalam hubungan seks itu tidak terlalu penting. Tetapi kebebasan menguruskan dan mengelola tubuhnya sendiri dan aspek persetujuan perempuan itu yang menjadi hal yang paling utama. Sesuai dengan slogan yang sering mereka laungkan, My Body My Right, My Body is Mine, My Body-My Choice, My Pleasure, dan lain-lain.

Maksudnya, sekalipun tidak berkahwin perempuan bebas berkongsi dan mengeksplorasi tubuhnya kepada sesiapa pun yang dia mahu (autonomi tubuh).

Sebaliknya, meskipun sudah legal dan halal, suaminya tidak boleh sesuka hati meminta dari isterinya. Semuanya mesti berbalik pada persetujuan dari perempuan sebagai pemilik tubuh.

Berhati-hatilah. Game mereka sangat licik. Jangan terpedaya wahai wanita.

Tinggalkan komen anda