MAMALIK: KEMUNCULAN, KEGEMILANGAN DAN KEJATUHAN

Oleh: Mohd Adlan Mokhtaruddin
08 April 2020

[SIRI 1]

1- KEMUNCULAN KERAJAAN MAMALIK

Diantara sejarah yang tidak masyhur dalam pengetahuan umat Islam ialah kerajaan Mamalik. Bahkan kita lebih mengenali bangsa Mongol / Tatar yang menjadi seteru Islam berbanding mengenali pejuang agama-Nya. Sebaiknya umat Islam mengenali dan mengetahui sejarah jatuh bangun mereka yang pernah menjadi frontliner Islam dalam keadaan umat tidak ada pembelaan. Tokoh-tokoh dalam kalangan Mamalik ini perlulah diketengahkan pada generasi hari ini supaya kita dapat mengambil pengajaran sebanyak-banyaknya.

I. Pengertian Mamalik

Mamalik berasal dari kalimah jamak Arab (Mamluk) yang bermaksud dimiliki, atau lebih mudah disebutkan sebagai golongan hamba. Mereka dijual di pasar-pasar sebagaimana barang dagangan lain (boleh tonton contoh seperti dalam filem P. Ramlee) untuk dimanfaatkan sebagai tenaga buruh atau sebagai perajurit.

II. Asal-Usul Mereka

Menjadikan hamba sebagai perajurit ini telah pun bermula sejak zaman Bani Umayyah lagi oleh bangsa Turki. At-Thabari pernah menyebutkan, bahawa Nasruddin bin Sayar yang menjadi Gabenor di wilayah Khurasan pernah membeli 1,000 orang Mamluk dari Turki, lalu diberikan kepada mereka kelengkapan berperang. Walaupun dibeli dari Turki tetapi kebanyakan mereka adalah berasal dari wilayah Transoxiana.

Lama-kelamaan ia menjadi satu trending (budaya) bagi pemerintah atau sesiapa yang ingin berkuasa untuk membeli golongan hamba sebagai tentera. Dan dimanfaatkan juga untuk urusan pentadbiran yang lain menyebabkan pasar-pasar menjual hamba-hamba berkulit putih ini semakin berkembang. Kebanyakan mereka berasal dari wilayah Krimea, Kaukasus, Kipchak, Asia Kecil, Turkistan dan Transoxiana.

III. Menyingkir Dominasi Arab dan Parsi

Khalifah Al-Mu’tasim di fasa awal kerajaan Abbasiah (218-227H / 833-842M) menjadi individu pertama yang membentuk ketumbukan tentera yang cukup besar dari kalangan Mamalik hingga mencecah belasan ribu perajurit. Tujuan Al-Mu’tasim memanfaatkan perajurit luar adalah untuk menyingkirkan dominasi bangsa Arab dan Parsi supaya pemerintah sukar untuk digulingkan oleh kaum sendiri.

Bangsa Mamalik diberikan pendidikan, latihan ketenteraan bahkan mereka juga diberikan penempatan khusus di Kota Samarra dengan keyakinan mereka tidak mempunyai keinginan untuk berkuasa atau kefanatikan seumpama bangsa Arab dan Parsi.

Sangkaan ini ternyata meleset apabila Mamalik berada dalam seluruh sistem pentadbiran Negara dan memiliki kemampuan untuk melakukan segala-galanya termasuklah menyingkir dan menaikkan sesiapa sahaja yang mereka mahukan. Mudah kata, para Khalifah berada dalam genggaman bangsa Mamalik, menjadikan khalifah diperlakukan seakan tawanan, dipergunakan sehabisnya dan dibunuh jika tidak lagi diperlukan.

IV. Perluasan Penggunaan Bangsa Mamalik

Secara asalnya, Mamalik dikenali oleh umat Islam sebagai perajurit yang sebelumnya adalah hamba sahaya berkulit putih yang dijual di pasar-pasar. Tetapi apabila memasuki abad kedua Abbasiyyah dan berlakunya kelemahan dalam pentadbiran Khilafah Abbasiyyah, permintaan terhadap golongan hamba ini semakin tinggi.

Ini disebabkan oleh banyak wilayah Islam yang mula berpisah daripada pemerintahan pusat seumpama Dinasti Thulun dan Dinasti Ikhsyidi di Mesir, Dinasti Safari dan Dinasti Samani di Khurasan, begitu juga Dinasti Ghaznawi dan Alghuri di India. Kesemua kerajaan membeli dan mengumpul bangsa Mamalik untuk memperkukuh ketumbukan masing-masing.

V. Bani Saljuk Meneguhkan Kedudukan Bangsa Mamalik

Kemunculan Bani Saljuk di Turki menjadikan pengaruh bangsa Mamalik semakin mengukuh. Walaupun bukanlah keseluruhan Mamalik itu dari Turki secara asal usulnya, tetapi hampir semuanya dijual beli di Turki (Pasar An Nakhasah). Sultan Alp Arsalan dan Malik Shah dengan bantuan Nizham Malik, Menteri Kanannya meletakkan satu undang-undang terhadap pengurusan bangsa Mamalik.

Disebutkan “Dibenarkan untuk tidak memberat-beratkan Mamalik untuk berkhidmat kepada kerajaan, kecuali jika terdapat urusan yang mendesak. Tidak dibenarkan menjadikan mereka lapang sasar bahkan hendaklah mempelajari pula dari mereka bagaimana mengatur pergerakan dengan begitu pantas.”

Secara mudah fahamnya, kemunculan Bani Salju menjadikan Mamalik tidak lagi mudah dipergunakan oleh sesiapa sahaja hanya disebabkan mereka adalah golongan hamba. Bahkan Nizham Malik telah menyusun atur pasukan dengan sistem yang kemas dan tersusun dan dinamakan sebagai Mamalik Nizhamiyyah.

Nizham Malik berjaya melakukan banyak penambahbaikan dan memberikan kebajikan kepada mereka hingga diberikan gelaran Atabeg (boleh juga dibaca dengan Atabek atau Atabek yang bermaksud gelaran bangsawan).

Penguasaannya terhadap Mamalik tersebut menyebabkan Bani Saljuk akhirnya berpecah membentuk satu lagi kerajaan baru yang dikenali dengan kerajaan Atabek. Disitulah lahir pula tokoh ulung Imaduddin Zinki.

Pengajaran Dan Kesimpulan

  • Boleh dikatakan, setiap kali munculnya usaha untuk mendapatkan kuasa atau mempertahankannya, pastilah dibelakangnya adalah bangsa Mamalik sebagai perajuritnya. Mamalik di zaman Salahuddin Al-Ayyubi disebut Mamalik Salahia, era Asaduddin Syirkuh disebut sebagai Mamalik Asadia, hinggalah pada kemunculan Mamalik Bahriyyah dan Mamalik Muizziyyah yang semuanya dinisbahkan kepada tokoh yang memimpin mereka.
  • Perebutan kuasa yang berlaku menjadi faktor utama mengapa begitu banyak perpecahan. Ditambah pula dengan bangsa Mamalik yang bukan menjadi penduduk asal sesuatu tempat untuk mengukuhkan kedudukan mereka melalui apa jua cara.
  • Boleh juga kita sebutkan, seandainya tidak disekat kebanjiran warga luar ke sesuatu Negara atau wilayah, akan menjadikan muncul pula dominasi bangsa yang baru sekiranya fanatik bangsa sedia ada tidak berperanan untuk membangun tempatnya.

Insya Allah, fasa kegemilangan akan bersambung dalam siri akan datang untuk mengelakkan terlalu panjang tulisannya.

Rujukan:

Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol oleh Dr Muhammad Ali As Solabi

At Tarikh Al Wajiz Dr Muhammad Suhail Taqqus

Peta: Google

Tinggalkan komen anda