MALAYSIAN MALAYSIA: SLOGAN HALUS LIPATAN SEJARAH

Konsep Malaysian Malaysia bermakna Malaysia untuk semua rakyat Malaysia. Erti kata lain, memberi hak dan peluang saksama kepada setiap warganegara tanpa mengira kaum dan agama. Tidak perlu ada sesuatu kaum tertentu yang akan menguasai politik mahupun ekonomi.

Secara teorinya, ia bercanggah dengan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia. Iaitu memberikan tanggungjawab kepada YDPA menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia (Bumiputera). Ia dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial, dan dikatakan sebagai pertahanan legal bagi ketuanan Melayu.

 

Sejarah Ringkas Malaysian Malaysia, PAP, dan DAP

Frasa “Malaysian Malaysia” pada asalnya digunakan pada awal tahun 1960-an sebagai motto laungan Majlis Perpaduan Malaysia, penggabungan parti-parti politik yang dibentuk untuk menentang Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.

Konsep ini telah diutarakan jelas oleh PAP atau Parti Tindakan Rakyat dibawah pimpinan Lee Kuan Yew pada Mei 1965 bersama-sama beberapa parti lain. Konsep ini bertitik tolak daripada prinsip parti, iaitu demokratik sosialis yang menekankan kebebasan hak semua kaum yang menduduki Malaysia.

Maka, perasaan perkauman muncul kerana PAP adalah parti

yang dianggotai oleh kaum Cina dan slogan Malaysian Malaysia pula menggugatkan hak orang melayu.

9hb Ogos 1965
Pemisahan Singapura daripada Malaysia adalah salah satu titik hitam dalam sejarah. Ia bertitik tolak daripada perbincangan masyarakat tentang idea Malaysian Malaysia yang dikemukan pada ketika itu sehinggakan keluarnya satu kempen “Orang Melayu Berketurunan Lanun”.

Mac 2018
Penasihat DAP, Lim Kit Siang terus memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat.

Julai 2018
Ucapan Menteri Kewangan tentang “I’m not Chinese, buat I’m Malaysian” disambut oleh rakyat Malaysia dengan baik. Walaupun beliau tidak berhasrat untuk membangkit konsep Malaysian Malaysia, tetapi dengan ucapan itu, masyarakat pula yang bersungguh ke arah membincangkan konsep Malaysian Malaysia yang hakikatnya membinasakan diri-sendiri.

PAP dan DAP

DAP adalah serpihan PAP Singapura yang ditubuhkan pada 1965 dalam beberapa peristiwa. Lim Kit Siang pernah menjadi setiausaha agung PAP (Lee Kuan Yew) sewaktu Singapura masih dalam Malaysia.

Dalam satu ucapan, Lee Kuan Yew dengan bangganya mengakui peranan Singapura di rantau ini seperti “Israel in a Malay Muslim Sea”.

Antara pemain penting juga, Dr Chen Man Hin antara pengasas DAP yang asalnya daripada PAP. Kini menjadi penasihat seumur hidup DAP.

Sejarah tidak dapat diubah apabila kita melihat DAP membawa agenda seperti PAP sehingga tercetusnya tragedi besar 13 Mei 1969. Semangat anti Melayu, anti kuasa politik Melayu, anti hak keistimewaan Melayu, anti Raja-Raja Melayu, pluralisme dalam agama, pertikaian agama rasmi negara, perjuangkan pelbagai bahasa adalah perjuangan DAP pada ketika itu.

Realitinya, masyakat hari ini akan berkata bahawa DAP yang kita kenal dulu, bukan seperti DAP sekarang apabila kita melihat pendekatan politik semasa parti. Sokongan kepada sekolah tahfiz, buka puasa bersama, hormat azan dan beberapa aktiviti bersama muslim yang lain, sudah cukup menggambarkan sebuah perubahan yang nyata DAP. Mungkin.

G17: Pendedahan Malaysian Malaysia

G17 adalah satu kumpulan sulit pakar strategi dibawah seliaan Setiausaha Agung DAP. Mohamad Razali Abdul Rahman (Mantan setiausaha politik Lim Guan Eng) merupakan salah seorang dalam G17 (15 Cina, 1 India, 1 Melayu), dan beliau mendedahkan kumpulan ini dilatih oleh pakar khas daripada Israel.

Perkara yang perlu ditekankan, semasa 3 tahun dalam latihan Israel, antara ideologi yang diterapkan adalah tentang konsep Malaysian Malaysia. Sampai hari ini, tiada tindakan dikeluarkan kepada Razali Abdul Rahman walaupun telah mendedahkan pelbagai rancangan DAP hampir beratus tempat di seluruh Malaysia.

 

Malaysia Baharu

Ayat ‘Malaysia Baharu’ hari ini dipopularkan seolah-olah Malaysia yang dulu mempunyai 1001 masalah yang memerlukan islah kadar segera. Kontrak sosial sedikit demi sedikit dirobek yang akhirnya menjejaskan bangsa majoriti Islam di negara ini.

Secara mudahnya untuk memahami ‘Kontrak Sosial’ : bangsa majoriti (Melayu-Islam) bersedia untuk memberi kewarganegaraan kepada orang bukan Melayu dengan dipasakkan 4 perkara penting tersebut.

1. Kedudukan Islam
2. Raja-raja Melayu
3. Hak istimewa orang melayu
4. Bahasa Melayu

‎الأئمة من قريش

“Pemimpin-pemimpin mestilah dalam kalangan Quraisy.”

Bukan ideologi Nasionalisme, bukan api perkauman, bukan menjadi boss kepada semua kaum apatah lagi penindasan kepada kaum lain. Tetapi berkenaan kepimpinan kaum yang majoriti dalam sesebuah masyarakat dan juga berkenaan tuan tanah atau tuan asal negeri yang sepatut dihormati dan dijaga haknya.

 

Slogan Kesatuan Yang Licik

Konsep Malaysian Malaysia jika sekali pandang ia kedengaran positif dan agak sejagat. Kononnya, kita sama-sama melupakan ideologi masing-masing, dan kita sama-sama bangkit bina negara dan pertahankan negara. Kononnya.

Jika begitu, kerakyatan Jus Soli juga baik kerana memberi kerakyatan kepada umat manusia, tetapi hakikatnya ditentang keras oleh masyarakat Melayu kerana menjejaskan status quo.
Jika begitu, ideologi Nasionalisme juga baik kerana semangat pertahankan negara, tetapi hakikatnya ditentang oleh ulama kerana ia slogan halus menghilangkan roh Islam untuk kepentingan negara semata-mata.
Jika begitu, peristiwa Masjid Dhirar adalah satu tindakan yang silap kerana membakar sebuah masjid, tempat ibadah dan sumber kesatuan umat Islam.

Tetapi bukan begitu. Hakikatnya, perkara yang dilihat baik, memerlukan kepada AKAL dan WAHYU untuk menentukannya ia adalah ‘baik’.

 

Umat Islam Perlu Peka dan Waspada Pada Masa Depan

Suara lantang daripada puak liberal, penentangan golongan tertentu kepada institusi Raja dan Islam, dan juga pertikaian terhadap hak-hak Melayu, merasakan seakan-akan isu slogan Malaysian Malaysia ingin dibangkit semula.

Pendedahan DAP diatas hanya berkait dengan Malaysian Malaysia walaupun hakikatnya banyak agenda yang pernah disebut oleh Dr Zuhdi tentang Christian Dominionism dan Prof Kamarul tentang pimpinan yang terlibat dengan agenda pelbagai.

Moga Kerajaan Malaysia hari ini dan seterusnya, dapat menjaga kestabilan politik dan keharmonian kaum dengan pemerkasaan Perlembagaan Malaysia.

Moga Allah selamatkan kita daripada fitnah akhir zaman dan fitnah dajjal.

 

Nik Muhd Al-Amin
Kaherah

Tinggalkan komen anda