LGBT Dosa Peribadi?

Jika kelompok SIS atau G25 yang mengatakan bahawa LGBT adalah dosa peribadi itu kita faham, mereka tidak pernah belajar Islam dengan baik, yang kita pelik adalah apabila ada mufti yang mengatakan bahawa perbuatan musahaqah (hubungan sejenis sesama lesbian) adalah dosa peribadi yang bukanlah suatu kesalahan besar yang perlu dihukum maka ini menunjukkan bahawa mufti ini telah terpengaruh dengan pemikiran sekular dan liberal tanpa ia sedari.

Tindakan menyamakan hukuman ta’zir oleh hakim di mahkamah Shari’ah dengan hukuman hakim di mahkamah sivil jelas mengelirukan. Pertama, mahkamah sivil tidak akan menghukum kesalahan jenayah Shari’ah, seperti minum arak, musahaqah, dsb. Ini kerana dalam falsafah liberalisme agama tidak berhak menentukan moraliti individu. Sedangkan menurut Islam manusia perlu tunduk kepada aturan yang ditentukan oleh Tuhan. Kedua, walaupun ia bukan hukum hudud tetapi ia adalah hukum Islam atau hukum Shari’ah. Tidak semua yang tidak ada di dalam al-Qur’an bukan hukum Islam, semua hukuman ta’zir ada sandarannya daripada hadith yang sahih, bahkan ijma’ dan qiyas.

Dalam Islam tidak ada dikotomi dan pemisahan antara dosa peribadi dengan dosa awam. Berzina, minum arak, pelacuran mungkin dianggap dosa peribadi di Barat yang tidak perlu dikenakan hukuman berbanding kesalahan mencuri yang melibatkan hak orang lain, tetapi dalam Islam berzina dan minum arak adalah juga kesalahan jenayah kerana melanggar larangan dan perintah Allah SWT yang telah menetapkan hukuman untuk kesahalan tersebut. Ia adalah hak Allah yang wajib ditegakkan oleh setiap Muslim, khususnya dalam konteks negara umat Islam. Dalam Islam kesalahan minum arak sama dengan kesalahan mencuri, dua bentuk kesalahan ini tidak dibeza-bezakan oleh Rasulullah sallalLah ‘alayhi wa sallam. Bahkan di zaman Baginda telah ditegakkan hukuman ke atas kedua-dua kesalahan tersebut. Yang manakah yang lebih baik, shari’ah Islam ini atau undang-undang Barat? Apakah sunnah Rasulullah atau sunnah Barat yang mahu mufti ikuti?

Seperkara lagi, dalam kes hukuman sebat di mahkamah Shari’ah Terengganu, tidak sepatutnya mufti menasihatkan pesalah untuk tidak mengaku bersalah setelah kes ini dibawa ke mahkamah. Pandangan mufti ini akan lebih mengelirukan pesalah lagi, kerana pesalah itu telahpun insaf, kerana itu ketika ditawarkan untuk merayu tidak merayu, dan sanggup menjalani hukuman dengan harapan agar kesalahannya diampunkan oleh Allah dan taubatnya di terima. Mufti ini menasihatkannya untuk tidak mengaku dan hanya bertaubat sahaja. Bagaimana ia mahu bertaubat jika dia tidak mengaku kesalahan yang dilakukan? Melainkan kesalahan itu dilakukan secara tertutup sehingga tiada orang yang tahu, tidak dibawa ke mahkamah, maka ia tidak perlu membuat pengakuan tetapi hanya perlu bertaubat.

Dr Khalif Muammar
27 September 2018

Tinggalkan komen anda