KONSEP DAN TUJUH PRINSIP ASAS PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM

Dampak Perang Dunia Kedua (1945) dan Perang Dingin (1947) telah menyebabkan persaingan antara dua blok politik dunia untuk membangunkan kembali negara-negara mereka. Inisiatif Marshall Plan telah dicetuskan oleh Amerika Syarikat untuk membantu negara-negara Eropah Barat (Blok Barat) sehingga membentuk lingkungan negara-negara kapitalis seperti United Kingdom, Austria, Perancis dan Jerman Barat. Inisiatif Warsaw Pact pula telah digagaskan oleh Kesatuan Soviet sebagai tindak balas kepada kapatalisme untuk membentuk lingkungan baru negara-negara Komunis yang terdiri daripada negara Poland, Hungary dan Jerman Timur bagi mendominasi Eropah Timur (Blok Timur) berlandaskan ideologi komunisme.

Kedua-dua blok ekonomi politik dunia ini telah menggagaskan teori-teori pembangunan lazim (konvensional) berteraskan ideologi ekonomi politik yang dianuti oleh negara mereka. Istilah pembangunan lazim pada awalnya merujuk kepada pertumbuhan ekonomi negara. Dalam teori pembangunan lazim, perlu difahami dengan jelas peranan negara dalam pembangunan dan hubungannya dengan pasaran ekonomi. Pada peringkat awal fasa pembangunan dua blok politik tersebut, telah muncul beberapa teori pembangunan lazim iaitu teori modenisasi dan pertumbuhan yang berteraskan kepada kapitalisme serta teori pergantungan dan struktural yang berteraskan kepada komunisme.

Walau bagaimanapun, kedua-dua teori pembangunan lazim yang dominan ini berkongsi pemasalahan-pemasalahan ekonomi yang sama seperti konsep keterhadan sumber, manusia sebagai ejen ekonomi (buruh, usahawan), matlamat pertumbuhan berasaskan indikator ekonomi semata-mata dan pembebasan terhadap pegangan prinsip agama dalam proses pembangunan. Kerangka teoritikal pembangunan lazim telah nyata tidak mampu menyelesaikan kebejatan ekonomi yang telah berakar sehingga ke hari ini. Oleh sebab itu, menjadi satu keperluan untuk merombak semula konsep pembangunan semasa dengan menggantikannya dengan konsep Pembangunan Berteraskan Islam (PBI).

Dua langkah utama dalam memastikan keberkesanan pengaplikasian konsep Pembangunan Berteraskan Islam (PBI). Langkah pertama ialah pembentukan konsep pembangunan berteraskan Islam mestilah secara holistik dan bukan eklektik. Penekanan konsep PBI mestilah berintegrasikan lapangan ilmu turath dan ilmu kontemporari. Langkah kedua ialah melengkapkan pengaplikasian PBI secara menyeluruh bermula daripada kerangka teoritikal sehinggalah kepada aspek pelaksanaannya bagi mengelakkan masalah superfisialiti sehingga boleh menjejaskan keberkesanannya. Ekoran itu, PBI mempunyai tujuh prinsip asas bagi membezakannya dengan teori pembangunan lazim yang lain.

Prinsip pertama dan yang paling penting ialah acuan PBI mestilah bersumberkan kepada tasawwur Islam. Epistemologi atau sumber-sumber ilmu yang diekstrak daripada Al-Qur’an dan Al-Hadith telah membentuk tasawwur Islam yang tulen, bebas daripada pengolahan isme-isme yang lain walaupun cuba dikombinasikan dengan Islam seperti kapitalisme Islam, populisme Islam dan sosialisme Islam. Akar umbi tasawwur Islam yang kuat telah mencorakkan dua dimensi yang utama iaitu Allah SWT yang memiliki asma’ dan sifat yang mulia adalah Pencipta Alam ini, manakala manusia dan alam adalah makhluk ciptaan yang wajib patuh kepada-Nya. Asas kepada acuan tasawwur Islam ini telah meluruskan prinsip-prinsip yang lain.

Prinsip kedua PBI ialah konsep manusia sebagai pelaku pembangunan adalah mencakupi hubungannya dengan Allah sebagai hamba (vertikal) dan hubungannya sesama manusia dan alam sebagai khalifah (horizontal). Pembangunan lazim turut mengakui bahawa manusia adalah aktor pembangunan tetapi ia telah mengabaikan aspek spiritual seperti iman, taqwa, zuhud dan nafsu sehingga menjadi pseudo manusia. Manusia tidak hanya menjalankan fungsi-fungsi yang stereotaip dan sirkularistik seperti membesar, bekerja dan berkeluarga sahaja, bahkan manusia mesti melakukan fungsi-fungsi khusus sebagai seorang hamba Allah dan khalifah Allah di bumi sehingga menjadi manusia yang sempurna. Aktiviti pengeluaran dan penggunaan hanyalah alat untuk membuktikan ketaatan kepada Allah.

Setelah memahami prinsip konsep manusia dalam PBI, maka sudah pasti timeframe pelaksanaan sesuatu pembangunan tidak hanya berpusat di dunia, malah ia bermula sejak alam ruh sehingga ke alam akhirat. Skala waktu pembangunan yang merupakan prinsip ketiga PBI merentasi alam dunia. Prinsip ketiga ini menjelaskan bahawa manusia sudah berikrar sejak dari alam ruh bahawa dia adalah hamba kepada Allah, bukan hamba kepada makhluk yang lain. Alam ruh ini juga dianggap sebagai alam perjanjian antara manusia dengan Allah. Setelah dilahirkan ke alam dunia, manusia perlu membuktikan perjanjiannya untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah. Akhirnya, alam akhirat adalah alam pembalasan bagi setiap baik dan buruk amalannya di dunia.

Pembangunan yang dilakukan di alam dunia telah diikrarkan sejak alam ruh. Pembangunan tersebut mestilah berlandaskan petunjuk Syari’ah dari Allah dan Rasul-Nya. Natijah mutlak pembangunan yang dilakukan hanya dapat diadili di akhirat nanti bukan di dunia. Bagi hamba yang menunaikan janjinya kepada Allah dengan membangunkan dunia menurut neraca pertimbangan Syari’ah, maka Allah membalas dengan gandaan kebaikan di akhirat kelak, dan begitulah sebaliknya. Sesuatu pembangunan mestilah mengambil kira ketiga-tiga fasa alam ini bagi melengkapkan satu proses yang selari dengan PBI.

Prinsip yang seterusnya adalah ilmu fardhu ‘ain menjadi kerangka PBI. Ilmu fardhu ‘ain merupakan ilmu yang wajib dipelajari dan diamalkan oleh umat Islam samada berkaitan dengan ilmu ‘aqidah, ilmu fiqh atau ilmu akhlaq. Sesuatu pembangunan yang mahu dijalankan mestilah memenuhi kerangka asasnya terlebih dahulu. Niatnya (‘aqidah) adalah mengharapkan keredhaan Allah, pelaksanaannya (fiqh) mestilah mematuhi hukum hakam yang telah ditetapkan Syari’ah dan kesempurnaannya (akhlaq) mestilah dihiasi dengan nilai-nilai Islam. Walaupun sesuatu pembangunan tersebut baik daripada aspek niatnya, tetapi menggunakan kaedah yang batil, sudah tentu ia tertolak di sisi Islam.

Prinsip PBI yang kelima ialah menjadikan segala aspek pembangunan yang dilakukan adalah satu kaedah beribadah. Sangat rugi sekiranya seseorang individu tersebut yang merupakan seorang ahli politik, pentadbir, ahli ekonomi, pembuat dasar, pemikir dan ahli akademik yang bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk menjayakan sesuatu pembangunan tetapi tidak diberikan nilai ibadah di sisi Allah. Dalam ibadah umum, kaedah pelaksanaannya mestilah memenuhi lima syarat iaitu niat kerana Allah, kontennya tidak bercanggah dengan Syari’ah, pelaksanaannya selari dengan kehendak Islam, natijah yang diperolehi juga diiktiraf Syara’, dan ibadah asas yang lain tidak diabaikan.

Prinsip PBI yang keenam ialah meyakini bahawa seluruh sumber alam dimiliki secara mutlak oleh Allah dan manusia dipertanggungjawabkan untuk menguruskannya secara berhemah. Allah menganugerahkan alam ini untuk ditadbir oleh manusia menurut kehendak-Nya dan bukan mengikut telunjuk nafsu. Elemen-elemen seperti rezeki, berkat, adil, ihsan dan syukur sentiasa diingatkan supaya ia berbeza dengan pengurusan sumber alam menurut perspektif pembangunan lazim. Begitu juga konsep ‘scarcity’ dalam sumber juga berbeza antara PBI dan pembangunan lazim. Keluasan nikmat Allah sudah tentu tidak dapat dihitung oleh manusia, manakala kehendak manusia mestilah dikekang daripada sifat tamak dan rakus.

Matlamat utama sesuatu pembangunan adalah menuntut keredhaan Allah. Pelaku dalam PBI tidak berbekas dengan pandangan mata manusia. Puji dan keji manusia segalanya diserahkan kepada Allah. Amanah yang dipikul dilunaskan sebaiknya. Dalam prinsip terakhir PBI ini, sekiranya sesuatu pembangunan tersebut diredhai oleh Allah, maka sudah pasti Allah akan memberikan taufiq dan hidayah ke arah jalan kejayaan (al-Falah). Pembangunan tidak boleh hanya dalam bentuk fizikal dan material semata-mata. Pembangunan kerohanian manusia juga mestilah diperkukuhkan agar manusia kembali mengenal Allah. Mudah-mudahan usaha menjayakan pembangunan yang diredhai oleh Allah menjadi sebab beroleh ganjaran syurga.

Kesimpulannya, konsep PBI sangat berbeza dengan konsep pembangunan lazim yang berorientasikan ideologi ekonomi politik Barat. PBI dikukuhkan dengan tujuh prinsip asas yang terdiri daripada acuan tasawwur Islam, konsep manusia sebagai hamba dan khalifah Allah, skala pembangunan yang mencakupi tiga alam, ilmu fardhu ‘ain menjadi kerangka teoritikal PBI, menjadikan usaha pembangunan sebagai satu bentuk ibadah, pengurusan sumber alam selari dengan tuntutan Islam dan matlamat sesuatu pembangunan mesti meletakkan redha Allah sebagai matlamat utama. Semoga model PBI dapat dilaksanakan secara berkesan samada di peringkat negara atau negeri di Malaysia.

 

MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN
Koordinator, THE RESEARCH
23 Syawwal 1439 | 7 Julai 2018
Bukit Jalil

Tinggalkan komen anda