KISAH KEISLAMAN UMAIR BIN WAHAB ‘SYAITAN QURAISY’ SELEPAS BADAR

Oleh: Mohd Adlan Mokhtaruddin
07 Mei 2020 / 14 Ramadhan 1441

Peperangan Badar merupakan sirah yang akan meniti setiap kali masuknya Ramadhan. Perang yang disifatkan oleh Al-Quran sebagai Hari Pembeza (yaumul Furqan) menjadi satu titik mula bagi umat Islam untuk stabil dan mengukuh di bumi Madinah. Sirah ini selayaknya disampaikan oleh ibu ayah kepada anak-anak sepanjang musim PKP ini supaya mereka dekat dengan Baginda Muhammad SAW.

Sebagaimana menurut seorang tabiin, Ali bin Hasan “Kami diajarkan sirah peperangan Nabi SAW sebagaimana kami diajarkan satu surah dari Al Quran”. Selain daripada mengajarkan mereka membaca dan menghafal Al-Quran, jangan lupa untuk mendekatkan mereka kepada insan yang agung ini.

Kemenangan umat Islam dalam perang Badar perlulah dibaca untuk diambil pengajaran sebanyak-banyaknya. Ia menjadi satu neraca penting untuk mengukur kesungguhan dan kemampuan kita hari ini yang berbeza dengan generasi pertama dahulu. Semoga kita mampu menanamkan roh Ramadhan sebaik-baiknya dalam diri kita dan seluruh umat Islam sebagaimana generasi terdahulu.

Tulisan kali ini, tidak memfokuskan tentang perang Badar, sebaliknya satu peristiwa yang berlaku selepas tamatnya peperangan tersebut, iaitu keIslaman Umair bin Wahab.

Kekalahan Badar Tular Di Mekah

Selepas kekalahan yang memalukan pihak Musyrikin Mekah ketika Perang Badar, ia menjadi topik yang hangat diperbahaskan oleh seluruh penduduk Mekah. Suatu yang amat tidak boleh diterima oleh mereka kerana bala tentera yang jauh lebih ramai, kelengkapan peperangan yang luar biasa dan pastinya kemahiran berperang yang hebat.

Di antara topik yang diperbualkan adalah kematian Umayyah bin Khalaf di tangan khadamnya sendiri iaitu Bilal bin Rabah yang merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima akal lagi memalukan. Umair bin Wahab adalah sepupu bagi Safwan bin Umayyah. Umair bin Wahab dan Safwan bin Umayyah menekuni kejadian Perang Badar dengan penuh kesedihan yang membawa kepada terbunuhnya ayahnya Umayyah, dan anaknya Umair iaitu Wuhaib bin Umair pula ditawan oleh tentera Islam. Begitu juga ramai lagi tokoh besar Quraisy yang terbunuh.

Tekad Membunuh Muhammad SAW

Perbualan mereka berdua yang teramat dukacita bahkan merasa amat memalukan bagi pihak Quraisy akhirnya membawa kepada tekad untuk membunuh Nabi Muhammad SAW. Kata Umair “Kalaulah bukan kerana aku mempunyai hutang yang banyak, dan tidak ada sesiapa yang boleh menjaga keluargaku, sudah pasti akanku hunus pedang dan menuju ke Madinah untuk membunuh Muhammad”. Lantas direspon oleh Safwan, “Anggaplah hutangmu telah diselesaikan, dan keluargamu akanku jaga, pergilah kau ke sana dan bunuhlah Muhammad.”

Diriwayatkan oleh `Urwah bin Zubair RA: Umair bin Wahab Al-Jumahi dan Safwan bin Umayyah duduk di satu tempat di Hijir (satu kota di Mekah), selepas peristiwa kekalahan terburuk mereka dalam peperangan Badar. Adapun Umair bin Wahab merupakan syaitan daripada pihak Qurasiy, dia amat tegar menyakiti Rasulullah SAW dan Para Sahabat RA dengan kata-kata penghinaan dan cercaan. Dalam perang Badar, anaknya Umair iaitu Wahab bin Umair telah ditawan. Lalu mereka berbicara dan saling meluahkan perasaan diatas musibah tersebut. Berkata Safwan, “Demi Allah, tidak ada lagi kebaikan selepas ini”. Berkata pula Umair padanya, “sungguh benar ucapanmu, demi Allah, kalaulah bukan kerana bebanan hutang atasku, dan ahli keluargaku yang terabai, nescaya akanku menuju kepada Muhammad bersama kudaku supaya dapat membunuhnya, kerana pada mereka ada ahli keluargaku yang ditawan”

Lantas ucapan Umair ini disambut oleh Safwan, katanya “Segala hutangmu akan daku selesaikan, dan ahli keluargamu bersama keluargaku dibawah jagaanku”.

Firasat Saidina Umar Al-Khattab

Umair bin Wahab lantas mengambil pedangnya yang juga telah disapu dengan racun, lalu memacu kudanya menuju Madinah. Ketika sampai dipintu masuk Madinah, dia terserempak dengan Saidina Umar Al-Khattab RA yang juga mengenalinya. Kata Umar, “Inilah dia anjing yang memusuhi Allah Umair bin Wahab, dia tidak akan datang kecuali dengan tujuan yang jahat, dialah yang membinasakan dan meneka jumlah kita ketika Badar”.

Akhirnya dibawa Umair bin Wahab ke hadapan Rasulullah SAW. Kata Umar lagi, “Wahai Nabi Allah, inilah dia musuh Allah, Umair bin Wahab, dia datang dengan pedangnya yang terhunus (berniat mahu membunuh seseorang)”. Lantas diizinkan untuk masuk bertemu dengan Nabi SAW dalam keadaan beberapa sahabat daripada kalangan Ansar memerhatikannya supaya tidak berlaku sesuatu yang buruk. Apabila telah masuk bertemu dengan Nabi SAW, ditanggalkan pedang bersama sarung yang digantung dilehernya oleh Umar RA.

Hidayah Menerpa Masuk

Umair bin Wahab memberi salam cara jahiliah, lantas disebutkan oleh Rasulullah, “Allah telah memuliakan kami dengan lafaz yang lebih baik dari ucapannya wahai Umair, iaitu dengan lafaz sejahtera penghuni syurga”.

Nabi SAW: Apakah yang membawamu datang ke mari ya Umair?

Umair: Aku datang untuk menuntut tebusan yang ada dikalangan kalian, perlakukanlah dia dengan baik.

Nabi SAW: Lalu, apa pula kaitannya dengan pedang dilehermu ? Apakah ada urusan lain yang engkau kehendaki? Berterus-teranglah apa sebenarnya tujuan dikau ke mari.

Umair: Tidaklah aku datang ke sini kecuali untuk urusan tersebut (menebus tawanan perang).

Nabi SAW: Bahkan engkau sebenarnya telah duduk berbual bersama Safwan bin Umayyah di Hijir, kalian membicarakan tentang perihal kekalahan pihak Quraisy dalam perang Badar, lalu kau berkata, “Kalaulah bukan kerana hutang yang membebanku, dan ahli keluargaku yang akan terabai, nescaya aku akan keluar untuk membunuh Muhammad”, lalu Safwan berjanji untuk melangsaikan hutangmu dan menjaga ahli keluargamu dengan syarat kau membunuhku, lalu kalian pun bersepakat diatas janji tersebut.

Umair: Aku bersaki bahawa sesungguhnya engkaulah pesuruh Allah. Kami sesungguhnya telah membohongimu dengan khabar yang dikau bawa dari langit, apa yang turun kepadamu adalah wahyu. Apa yang dikau ucapkan tadi tidaklah hanya aku dan Safwan sahaja yang tahu, Demi Allah pastinya tidak ada yang mengkhabarkan padamu (perbualan aku dengan Safwan) kecuali ianya datang dari Allah. Segala puji bagi Allah yang telah memberiku hidayah dengan Islam. Lalu Umair bin Wahab melafazkan syahadahnya. Kata Nabi SAW “Duhai sahabat-sahabat, ajarkanlah saudaramu (Umair) dengan agamanya, ajarlah dia dengan Al-Quran, dan bebaskanlah tawanannya (anak Umair), lalu dilaksanakannya.

Penantian yang menghampakan

Sementara itu di Mekah, Safwan bin Umayyah ternanti-nanti khabar gembira dari Umair. Bahkan dia telah menyebarkan kepada orang ramai, bahawa tak lama nanti akan ada khabar gembira yang akan melupakan kita terhadap peristiwa Badar. Sehinggalah dia mendapat berita keIslaman Umair. Betapa marah dan berangnya dia lalu bersumpah tidak mahu lagi bercakap dengan Umair dan tidak akan mengambil apa-apa manfaat darinya.

Tak lama kemudian, Umair pulang semula ke Mekah lalu mengajak orang untuk memeluk Islam dan berjaya mengislamkan beberapa orang. Moga Allah merahmati Umair bin Wahab Radhiya Allahu anhu.

PENGAJARAN DAN HIKMAH

i. Hidayah itu sepenuhnya milik Allah. Tetapi ia juga hadir dengan kesungguhan hamba-Nya dalam menyampaikan risalah Islam.

ii. Hidayah juga hanya akan menerpa golongan yang tidak sombong daripada kebenaran. Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menyebutkan mengapa Yahudi itu termasuk dalam kalangan yang dimurkai, antaranya adalah kerana kesombongan mereka daripada menerima kebenaran, seumpama kisah Abdullah bin Salam. Begitu juga dengan kisah Bani Israel yang enggan menerima tunjuk ajar daripad para Nabi Alaihimussolatu wassalam.

iii. Musuh Islam akan sentiasa mempunyai niat dan tujuan yang buruk terhadap Islam, seumpama Umair dan Safwan yang mahu membunuh Nabi SAW. Mereka bukan sekadar menolak, mengejek atau menghalang kerja dakwah, bahkan hingga ke tahap membunuh. Begitu pula sanggup mengupah sesiapa sahaja yang mampu melakukannya.

iv. Kesungguhan Umar Al-Khattab mengawasi bahkan hingga menggelar Umair dengan anjing bukanlah sekadar tuduhan sembrono, bahkan ternyata Umair sememangnya individu yang menghina Nabi dan dialah yang mengumpul maklumat umat Islam dalam perang Badar. Diriwayatkan sebaik sahaja Umair memeluk Islam, Umar Al-Khattab menyebutkan, “kini dikau wahai Umair adalah orang yang aku sayangi seumpama aku menyayangi anak-anakku”.

v. Rasulullah SAW mengelak untuk menjawab salam menurut cara jahiliah. Selayaknya kita mengelakkan daripada mengamalkan ucapan salam atau perbuatan salam seperti jahiliah. Amalkanlah ucapan salam yang telah disunnahkan di dalam Islam.

Rujukan:

Ghazawatu Rasul, Durus Wa Ibar wa Fawaid Dr. Ali As Solabi

Fiqh Al Harakah dari Sirah Nabawiyah Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

Tinggalkan komen anda