KHAZANAH ISLAM YANG DIPINGGIRKAN UMAT

Oleh: Aziz Azhar
19 April 2020

Islam dalam sejarahnya tidak pernah ketandusan idea dalam memberi solusi terhadap permasalahan ummah. Ajarannya sarat dengan nilai dan konsep yang menyeluruh dalam memandu keberhasilan hidup manusia di dunia dan di akhirat.

Meskipun di peringkat awal perkembangan Islam, nilai dan konsep ini belum lagi digazetkan secara terperinci, namun tugas ini diambil oleh para ulama’ Islam yang terkemudian. Merekalah yang membedah nilai dan konsep yang terkandung dalam Al-Quran dan Hadis agar ianya dijadikan rujukan bagi melicinkan urusan hidup manusia sehari-hari.

Bangsa Eropah yang dulunya hidup tanpa tamadun ketika di zaman gelap, mula tersilau dengan kemajuan yang dikecapi Islam. Setelah beberapa kali ditimpa kekalahan dalam siri perang salib, mereka mula membandingkan bentuk pemerintahan di negara mereka dengan pemerintahan di negara Islam.

Mereka melihat gaya pentadbiran tokoh-tokoh agung umat seperti Nuruddin Zanki dan Salahuddin Al-Ayyubi yang begitu menghargai buah fikir ulama’ dan cendekiawan sedangkan raja mereka memerintah secara suka hati saja.

Sebaik sahaja berakhir perang salib yang keempat, telah berlaku tuntutan daripada pembesar dan orang-orang agama kepada raja supaya memberikan hak dan kebebasan kepada rakyat untuk turut serta dalam pemerintahan.

Setelah menerima desakan yang kuat, akhirnya raja bersetuju lantas tertubuhnya sebuah piagam yang dinamakan Magna Carta pada tahun 1215. Inilah langkah awal yang berlaku di dunia Barat dalam mengangkat tema kebebasan di mana kemudiannya mendorong Barat untuk bangkit menjadi sebuah peradaban yang hebat.

Sebenarnya, tema-tema yang dilaungkan Barat sehingga ke hari ini seperti kebebasan, kesamaan dan persaudaraan, adalah hikmah yang diambil daripada ajaran Islam. Malangnya, umat Islam tidak menggali hikmah ini sehingga membiarkan Barat maju ke hadapan meninggalkan umat yang sedang lena. Kesemua nilai dan konsep ini adalah buah yang terzahir daripada mukjizat Al-Quran dan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad SAW.

Kita melihat Barat begitu ‘struggle‘ untuk membebaskan benua mereka daripada cengkaman institusi agama dan pemerintahan raja yang zalim. Padahal umat Islam tidak pernah dihinggapi fobia ini sepanjang sejarah kegemilangannya.

Inilah punca mengapa Barat menjadi bebas agama kerana bebanan sejarah hitam yang begitu ngeri untuk diingat kembali. Hakikatnya, tindakan mereka hanyalah berpindah kutub, daripada kutub ekstrem beragama kepada kutub ekstrem tidak beragama, sedangkan Islam berada di pertengahan antara keduanya.

Barat berjuang keras untuk menegakkan keadilan sosial dalam masyarakatnya kerana raja-raja mengakui hak dan darah mereka lebih mulia daripada rakyatnya. Inilah yang telah berlaku di Perancis sehingga mendorong rakyatnya menyerbu penjara Bastille, membebaskan tahanan yang merdeka mindanya di mana sebelumnya menjadi tempat raja mengurung orang-orang bijak ini tanpa diselidik kesalahannya. Kemuncak daripada keradangan rakyat itu membawa kepada berlakunya Revolusi Perancis 1789 yang mengiktiraf hak asasi manusia.

Islam mendahului Barat dalam perkara ini. 1400 lalu, Nabi Muhammd SAW dalam khutbah terakhir Baginda di bukit Arafah telah menyatakan perihal keadilan sosial manusia. Ucapan Baginda yang menekankan asal usul manusia adalah daripada bapa yang sama iaitu Adam AS merupakan simbol kesamaan semua manusia walaupun berbeza bangsa, agama dan kedudukan. Adapun yang paling mulia adalah yang paling kuat taqwanya kepada Allah SWT. Bahkan Al-Quran juga turut menyatakan perkara yang sama (QS Al-Hujurat ayat 13).

Ada raja Eropah yang begitu angkuh sehingga berkata kekuasaan itu adalah dirinya yang telah mengambil hak Tuhan. Kuasa pemerintahan yang tiada batas itu telah menyebabkan raja sewenangnya memperlakukan rakyat sesuka hati. Harta rakyat dirampas sekehendaknya. Kezaliman yang bermaharajalela telah menutup pintu kebebasan rakyat untuk memiliki aset dan harta peribadi sedangkan Islam begitu cermat dalam soal harta, tidak boleh diambil harta yang bukan miliknya sesuka hati tanpa izin.

Barat bahkan turut ketandusan idea dalam memelihara kedaulatan rumahtangga seseorang. Tidak ada sebarang hukum dan peraturan yang mengiktiraf kemerdekaan individu walaupun dalam rumahnya sendiri. Islam mengerti malah memperakui fitrah manusia yang kadangkala memerlukan ruang peribadi untuk bersendiri. Maka Islam lebih awal mengajarkan perkara ini melalui saranan Allah SWT yang terkandung dalam Al-Quran. Firman Allah SWT;

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَدۡخُلُوا۟ بُیُوتًا غَیۡرَ بُیُوتِكُمۡ حَتَّىٰ تَسۡتَأۡنِسُوا۟ وَتُسَلِّمُوا۟ عَلَىٰۤ أَهۡلِهَاۚ ذَ ٰ⁠لِكُمۡ خَیۡرࣱ لَّكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ ٢٧ فَإِن لَّمۡ تَجِدُوا۟ فِیهَاۤ أَحَدࣰا فَلَا تَدۡخُلُوهَا حَتَّىٰ یُؤۡذَنَ لَكُمۡۖ وَإِن قِیلَ لَكُمُ ٱرۡجِعُوا۟ فَٱرۡجِعُوا۟ۖ هُوَ أَزۡكَىٰ لَكُمۡۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ عَلِیمࣱ ٢٨

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu). Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu “baliklah”, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan. [Surah An-Nur 27-28]

Ketika Eropah diselubungi zaman gelap, para saintis dan mereka yang bijak pandai tidak dibenarkan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan ajaran gereja. Jika melawan juga, padah akibatnya. Ada yang dihukum bunuh, dituduh murtad dan dikurung dalam rumah sendiri tidak dibenarkan keluar bersosial. Kekangan aktiviti intelektual dan kejumudan berfikir yang diajar gereja ini telah menyebabkan tokoh-tokoh falsafah Barat bangkit menentang kerakusan kekuasaan gereja.

Maka lahirlah tokoh-tokoh falsafah seperti Voltaire, Rousseau dan Montesquieu dan tokoh agama yang menentang kerigidan gereja seperti Martin Luther yang kemudiannya mengasaskan mazhab Protestan yang lebih liberal berbanding Katholik.

Tidak terhenti setakat itu, mereka terpaksa juga berhadapan dengan sistem feudalisme yang terdiri daripada golongan bangsawan yang suka menindas rakyat bawahan. Bermula dengan raja yang mengaku sebagai wakil Tuhan, sehinggalah ke peringkat tuan tanah yang memerintah secara tirani, memeras harta rakyat sehingga ke tahap merampas isteri dan anak gadis rakyat jelata bagi memuaskan nafsu binatang kaum bangsawan ini.

Inilah yang diperjuangkan Barat, iaitu mahu merdeka dan bebas menyatakan buah fikiran serta mengkritik pemimpin baik menggunakan lisan mahupun tulisan sebagaimana yang diamalkan dalam pemerintahan Islam.

Kecemburuan Barat terhadap Islam bermula dengan sebesar-besar perkara iaitu pemerintahan negara sehinggalah sekecil-kecil perkara seperti mandi (orang Eropah dulu jarang mandi) telah menyebabkan Barat tidak lelah mengkaji Islam dan mengutip khazanah dan mutiara yang terkandung dalam ajarannya. Tidak sedikit pengorbanan yang dilakukan mereka untuk mengecapi kemajuan sebagaimana dunia moden hari ini yang didominasi Barat.

Sebenarnya banyak lagi perkara yang menjadi kecemburuan Barat terhadap Islam. Apa yang dinyatakan di atas mungkin boleh dikategorikan sebagai faktor utama mengapa Barat berubah menjadi tamadun yang tidak mengangkat lagi agama. Semuanya kerana sejarah gelap yang dialami orang Eropah dahulu yang begitu teruk ditindas orang agama sehingga Islam pun terkena tempiasnya sekali.

Keadaan umat yang masih lagi lena dibuai mimpi menyebabkan Barat memintas kita dalam menggali khazanah tinggalan Nabi SAW. Nilai dan konsep diceduk daripada Islam sehingga berjaya meraih kemajuan lahiriah, namun peradaban yang dibina itu rapuh kerana ajarannya ditinggalkan laksana mengambil jasad tanpa roh, tidak berguna kerana sudah tidak bernyawa lagi.

Nota:

Banyak hikmah yang boleh digali setelah meneliti buku Hamka yang bertajuk Negara Islam (diterbitkan pada 1946) ini. Karya ini banyak mendedahkan sisi pandang beliau yang dipengaruhi modenisme kerana banyak merujuk Barat untuk membenihkan kemajuan.

Meskipun ada beberapa pandangan beliau yang saya tidak berapa setuju dengannya seperti tidak perlu mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara dan penggunaan istilah Sosialisme Islam, Komunisme Islam, Imperialisme Islam, namun sedikitpun tidak luak rasa hormat dan kagum saya pada tokoh umat ini.

Justeru, buku ini saya sarankan kepada kalian untuk memilikinya. Banyak lagi idea dan pandangan kritis beliau terhadap umat yang terkandung dalam buku ini perlu diketengahkan supaya manfaatnya dapat dikongsi bersama.

*Kepada yang mahu dapatkan buku ini, boleh PM saya. Harganya cuma RM35 sahaja tidak termasuk postage.

Boleh berhubung dengan saya melalui pautan ini – https://www.facebook.com/aziz.azhar.52

Tinggalkan komen anda