KEPINCANGAN IDEOLOGI BARAT DAN SOLUSI ISLAM

Oleh: Muhammad Mujahid bin Ir Hj Muhammad Fadzil
24 Disember 2019

Gambaran Kepincangan

1) Hari ini kita melihat kepincangan di dalam negara kita Malaysia. Kepincangan yang dimaksudkan dari sudut sosial, ekonomi, perundangan dan bermacam-macam lagi.

Rasanya tidak perlu untuk saya huraikan bentuk-bentuk kepincangan tersebut. Semuanya boleh diakses melalui media massa dan pelbagai lagi saluran.

2) Segalanya menggambarkan bagaimana kepincangan berlaku apabila Islam tidak dijadikan sebagai sebuah sistem negara. Sekalipun majoriti yang berada di Malaysia adalah orang Islam.

Contohnya hari ini apabila berhadapan dengan situasi ekonomi, kerajaan mengamalkan konsep pemotongan elaun itu dan ini, penjualan beberapa aset negara dan banyak lagi.

Atas alasan untuk menampung ekonomi negara. Tak pasti sistem apa yang digunakan untuk melapik perbuatan tersebut.

3) Sistem percukaian kalau dahulu GST bertukar kepada SST, dan hari ini kembali kepada GST semula. Menggambarkan GST dan SST, kedua-duanya bukan penyelesaian.

Ideologi Barat Tak Selesaikan Masalah

1) Sama juga ketika mana krisis ekonomi di barat satu ketika dahulu. Masing-masing melihat kapitalis adalah solusi kepada krisis ekonomi negara.

Lalu barat melaksanakan sistem ekonomi kapitalis dengan harapan dapat menyelesaikan masalah tersebut. Hakikatnya bertambah masalah lain iaitu dari sudut sosial

2) Muncul pula Karl Marx cuba memperbetulkan sistem tersebut. Apabila kita lihat sejarah pertembungan antara Amerika dan Soviet menampakkan bahawa sosialis bukanlah penyelesaian.

Sosialis dan kapitalis kedua-duanya adalah bebanan. Begitu juga sepertimana pemikiran sekularisme satu ketika dahulu digagaskan bagi menyelesaikan kongkongan Kristian.

3) Adakah sekularisme telah berjaya? Hingga ke hari ini sekularisme tidak menghasilkan apa-apa kebaikan melainkan menyebabkan kepincangan dalam masyarakat.

Iaitu apabila masyarakat tidak dipandu dengan ikatan agama maka mereka akan bebas. Lalu masyarakat hari ini melihat bahawa liberal itu adalah keperluan mereka

4) Adakah Liberal telah berjaya untuk membawa masyarakat kepada sebuah sistem yang betul? Tidak juga kerana kebebasan itu telah berubah menjadi liar.

Masing-masing cuba memperkenal ideologi masing-masing dengan harapan membawa satu solusi kepada segala masalah. Hakikatnya tidak pernah berjaya.

Bertembung Sesama Sendiri

1) Feminis memperkenalkan kebebasan kaum wanita atas alasan kaum wanita didiskriminasi dan dikongkong. Adakah hari ini feminisme telah berjaya membebaskan kaum wanita?

Tidak juga. Walaupun feminisme sudah bertapak di atas muka bumi lebih 100 tahun, masih lagi kedengaran penindasan terhadap kaum wanita.

Kaum wanita yang dikatakan dikongkong itu, dibebaskan oleh feminis sehingga mereka menjadi alat atau objek untuk melariskan barang. Ini membebaskan wanita atau menggadaikan wanita?

2) Golongan idealisme mengutamakan idea dalam mencari penyelesaian masalah, akan tetapi bertembung pula dengan golongan realisme.

Realisme menganggap bahawa idealisme tidak berpijak di atas dunia realiti. Manakala idealisma pula menganggap golongan realisme tidak mempunyai idea hanya bergantung kepada sekitar.

3) Masing-masing menyalahkan antara satu sama lain dalam masa yang sama masing-masing tidak berjaya untuk memperkenalkan solusi kepada masalah masyarakat

4) Dari sudut politik ada yang mengamalkan pragmatisme, dengan harapan ia adalah satu solusi yang terbaik. Namun golongan yang berprinsip melihat pragmatisme hanya sekadar menggadaikan maruah.

Ada juga manusia yang terikut-ikut dengan cara materialisme. Menganggap bahawa material adalah segala-galanya. Akhirnya mereka temui kebahagian hidup bukan pada material.

Pemikiran Lama Diolah

1) Ada juga yang mengolah pemikiran-pemikiran lama menjadi baru contohnya neo-materialisme, neo-secularisme, moderate liberalisme dan banyak lagi.

Dengan harapan pembaharuan ini akan menyelesaikan masalah. Hakikatnya tidak juga. Mereka terpaksa kembali juga kepada penyelesaian Islam.

2) Contohnya liberalisme, satu ketika dahulu menyeru kepada kebebasan sehingga menyebabkan berlakunya liar. Namun kemudiannya muncul pula moderate liberalisme.

Moderate liberalisme seolah-olah ‘memperbetulkan’ kepincangan liberalisme dengan menyatakan bahawa biarkan “anjing itu bebas tetapi perlu ada rantainya”

3) Jadi kita perlu faham bahawa ideologi barat yang selama ini dihidangkan kepada kita mengalami kepincangan sesama mereka. Masing-masing beranggapan bahawa ideologi mereka itu paling tepat.

Walaupun mereka belum boleh untuk menyelesaikan masalah dan menyediakan solusi, namun kerajinan mereka untuk berfikir itu sepatutnya ditiru oleh umat Islam.

4) Ya Islam adalah agama yang memanfaatkan akal, bukannya taqlid semata-mata. Bahkan Islam menentang konsep dogmatisme atau dengan bahasa lain membodohkan akal.

Namun kita akui bahawa akal tetap tidak dapat menandingi al-Quran dan Hadis. Sebab itulah akal manusia perlu dilorong seiringan dengan al-Quran dan Hadis bukan untuk menandingi.

Sistem Berfikir

1) Bahkan di dalam Islam sendiri mengajar cara berfikir dengan betul. Al-Quran mengemukakan hujah-hujah logik sebagai bicara dengan manusia yang mempunyai akal.

a- Contohnya apabila Allah SWT menceritakan kekuasaannya menghidupkan orang yang telah mati Allah SWT datangkan dengan hujah akal sepertimana di dalam surah al-Hajj ayat 5.

Ayat ini menggambarkan bahawa Allah SWT berkuasa untuk mencipta manusia daripada tak ada kepada ada. Apatah lagi lebih mudah bagi Allah menghidupkan sesuatu yang telah mati.

Seolah-olah apabila ditanya tentang bagaimana Allah SWT hidupkan manusia yang sudah mati, jawapannya lihatlah diri kamu sendiri bagaimana kamu boleh ada.

b- Di dalam ayat yang lain Allah SWT menggunakan hujah logik bahawa sembahan selain daripada Allah SWT tidak mampu untuk menghalau seekor lalat pun.

Maka apa logiknya mereka itu menyembah sembahan selain dari Allah? Hal ini diceritakan di dalam surah al-hajj ayat 73. Menggambarkan bahawa Allah SWT berbicara dengan manusia yang ada akal.

2) Kedua-dua contoh ini menggambarkan bagaimana Allah SWT mengajar manusia untuk berfikir dengan betul dan sudah pasti menghasilkan pemikiran yang betul.

Tak mungkin Allah cipta akal, dan suruh manusia berfikir dengan akal, tiba-tiba Allah SWT tembungkan Islam dengan akal yang diciptakannya itu.

Beberapa Sistem Dan Solusi Islam

1) Justeru apabila kita melihat kepincangan ideologi-ideologi barat di dalam mencari solusi penyelesaian kepada masalah masyarakat, perlulah kita kembali kepada sistem Islam.

Secara umumnya sistem feqah (hukum) dalam Islam terbahagi kepada empat iaitu ibadat, ekonomi, perkahwinan, jenayah dan sebagainya.

a- Di dalam ibadat, Islam ajarkan bagaimana nak menyembah Allah SWT dengan betul. Bukan dengan cara terikut-ikut dengan adat orang-orang sesat

b- Di dalam ekonomi kita diajar oleh Islam dengan 4 sistem, iaitu sistem percukaian, sistem pengurusan tanah, sistem ‘financing’ dan sistem pengurusan hasil bumi.

c- Di dalam feqah perkahwinan, Islam menyediakan sistem pusaka, sistem perceraian, sistem pengurusan rumah tangga dan sebagainya.

d- Di dalam jenayah dan kehakiman Islam menyediakan sistem pendakwaan hukum hudud hukum qisas takzir Dian saksi dan banyak lagi.

2) Contohnya dalam isu terowong, banglo dan pulau baru di Pulau Pinang kita perlu mengkaji bagaimana sistem pengurusan tanah dalam Islam.

Contoh yang lain apabila munculnya isu liwat, isu Altantuya dan isu semburit hendaklah kita menyemak bagaimana Islam menyediakan sistem kehakiman dan pendakwaan.

3) Apabila Malaysia dilanda dengan krisis ekonomi yang teruk tidak sepatutnya rakyat dimangsakan bahkan gunakan hasil bumi Malaysia untuk menampung keperluan.

Apabila sedang berkecamuk isu pertikaian antara SST dan GST, hendaklah kita kembali kepada konsep zakat yang juga merupakan konsep percukaian dalam Islam.

Tinggalkan komen anda

%d bloggers like this: